5 Sebab Praktikal Berkeluarga Besar

Ramai yang berpendapat bahawa mempunyai anak yang ramai akan membawa 1001 masalah, seperti:

  • Membawa kemudaratan pada populasi manusia di dunia yang sudah terlalu ramai
  • Mengganggu waktu tidur, kebebasan dan ruang peribadi
  • Merosakkan hubungan erat antara suami dan isteri kerana lari fokus kepada kepentingan anak-anak
  • Mendatangkan stres yang lebih memudaratkan daripada biasa
  • Perlu ubah atau tidak dapat meneruskan rancangan hidup untuk capai kejayaan dalam kerjaya atau bisnes yang dibina

Tidak dinafikan ada benarnya isu dan masalah di atas sekiranya kita mempunyai anak yang ramai dan tidak dapat memberikan jagaan dan kasih sayang yang secukupnya sehingga anak-anak kita terbiar dan paling menyedihkan, tidak menjadi insan yang berguna dan membahagiakan kita.

Namun, bukanlah tugas seorang anak sepenuhnya untuk membahagiakan kita kerana kita sebagai ibubapa juga harus membahagiakan mereka. Walau apapun kelebihan dan kekurangan anak-anak kita, kita harus menerima mereka seadanya dan sama-sama membentuk mereka menuju ke arah masa depan yang cemerlang.

Untuk kebanyakan kita yang inginkan anak, tujuan utama dan kebiasaannya yang kita tahu adalah kerana mahu menyambung keturunan, legasi dan generasi keluarga kita.

Namun, mempunyai anak yang ramai ada juga kebaikannya.

1. Untuk menyambung keturunan dan meneruskan nama keluarga turun-temurun
Sambungan zuriat dari moyang kita ke atok dan nenek ke ibu dan bapa dan kita dalam sesebuah keluarga amatlah penting untuk menyambung legasi keluarga kita. Semakin ramai anak-anak, semakin besar potensi untuk menyambung zuriat. Kerana di sebalik populasi manusia di muka bumi, ada yang menghadapi kematian dan kebarangkalian untuk tidak berkahwin dan beranak. Oleh itu, anak yang ramai akan berperanan membawa nama keluarga selama yang mungkin di dalam kehidupan ini.

2. Melatih diri untuk lebih bersabar dan penyayang
Sebagai ibubapa, kadang-kadang kita harus melakukan sesuatu dengan pantas dengan sumber yang terhad, untuk anak-anak. Jadi kita akan menjadi seseorang yang bertindak dengan lebih kreatif sebagai penyelesaian ekspres sementara mendapatkan penyelesaian sebenar. Contohnya anak kita mahu ke Zoo Negara melihat binatang-binatang hidup. Namun musim-musim Perintah Kawalan Pergerakan ini, kita tidak dapat memperkenankan keinginan anak itu. Jadi, kita cipta sendiri situasi dalam Zoo Negara tersebut dengan patung-patung haiwan sambil buat bunyi-bunyi haiwan tersebut untuk hiburkan anak-anak. Walaupun tidak sama, namun sekurang-kurangnya anak kita terhibur dan mereka hargai usaha kita. Begitu juga dengan peningkatan tahap kesabaran kita. Dengan anak-anak, kita akan lebih bijak mengawal emosi dan perasaan. Untuk lebih bertimbangrasa. Jika dengan orang dewasa, mungkin kita akan terus melepaskan amarah kita. Namun dengan anak-anak, ia adalah seperti satu latihan mengawal diri kita. Percaya kata kami, kita akan menjadi insan yang lebih tabah dengan anak-anak yang ramai.

3. Untuk menjadi ibubapa yang lebih baik dari ibubapa sendiri
Mungkin ada antara kita yang menghadapi beberapa pengalaman buruk ketika dibesarkan ibubapa sendiri sebelum, ini terutamanya pada zaman-zaman dahulu yang kebanyakannya berfikiran konservatif dan mungkin sedikit kolot. Samada segala-galanya dikawal terlalu ketat, atau pun kita langsung tidak diambil peduli. Apapun, ia pasti memberi kesan kepada kita sebagai ibubapa. Adakah kita akan melakukan yang sama atau kita akan perbaiki situasi ini bila kita menjaga dan mendidik anak-anak kita pula? Jadi, dengan anak yang ramai, inilah peluang kita untuk tidak benarkan anak kita merasai perasaan negatif seperti yang telah kita lalui.

4. Tekanan sosial, keluarga, masyarakat dan sekeliling

“Bila nak tambah anak? Sunyi anak you sorang-sorang tu!”
“Dah berumur, tak elok mengandung lambat sangat”
“Mama teringin sangat nak ada cucu satu lagi. Along tak mahu ke mengandung lagi?”

Beginilah tekanan dan kata-kata orang di sekeliling kita. Namun samada kita benar-benar terkesan atau tidak ambil peduli, ianya adalah hak kita. Mungkin kita akan rasa terganggu dengan kata-kata ini namun sampai satu tahap, kita akan memahami bahawa mereka sebenarnya ambil berat tentang kita dan keluarga kita. Kebanyakan soalan-soalan tentang menambah anak ini sebenarnya ada kebaikannya. Tidak akan terdetik hati seseorang untuk bertanya soalan ini jika Tuhan tidak izinkan. Jadi, ada hikmahnya di sebalik soalan-soalan ini kepada kita. Jangan ambil hati. Terimalah dengan hati yang positif dan jika ada rezeki, adalah rezeki untuk kita tambah lebih ramai anak lagi.

5. Supaya bila kita sudah berumur, ada anak-anak yang boleh uruskan penjagaan kita di hari tua
Ini adalah sebab yang popular. Sememangnya bila kita sudah tua dan tidak berdaya, anak-anak kitalah yang menjadi tempat bergantung kerana mereka masih kuat dan bertenaga. Jadi bila kita ada ramai anak, makin ramailah yang boleh diharapkan. Namun kami nasihatkan untuk cuba bertanggungjawab ke atas diri sendiri dari awal dan tidak terlalu mengharapkan anak-anak untuk bertanggungjawab ke atas kita di hari tua nanti walaupun itu adalah tanggungjawab mereka. Ketahuilah anak-anak kita akan punyai hidup dan cabaran tersendiri di mana kita tidak dapat tentukan samada ketika hari tua kita nanti, mereka akan berkemampuan untuk menjaga kita 100%. Jadi istilah mempunyai anak ramai adalah supaya masing-masing boleh bergilir-gilir untuk menjaga kita. Jika seorang anak saja, mungkin ianya akan menjadi sesuatu yang berat untuknya. Jadi, mempunyai anak yang ramai dikatakan boleh membantu kita di hari tua.

Semoga sebab-sebab ini membuka mata dan minda anda semua yang membaca. Sesuatu yang boleh anda fikirkan sebelum mempunyai anak. Adakah perlu anak yang ramai atau tidak, sesuatu yang boleh anda bincangkan sesama suami isteri. Ini adalah keputusan dan tanggungjawab yang harus dipikul bersama.

Anak adalah anugerah terindah untuk kita. Jadi, hargailah mereka seperti mana kita mahu mereka hargai kita.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.