8 Tanda Bayi Anda Sihat & Alami Perkembangan

Adakah anda tertanya-tanya sama ada anak anda mendapat cukup makan, tidur dan menepati pencapaian penting yang sepatutnya dicapai pada setiap peringkat umur mereka? Periksa tanda-tanda berikut untuk mengetahui jika si manja anda membesar dengan sihat dan gembira.

Usah risau jika anda tiada pengalaman menjaga bayi baru lahir, selepas beberapa minggu dengan si manja, anda akan mula mengetahui perbezaan tangisannya; jika dia menangis sebab lapar ataupun lampin bocor. Anda juga tahu jika bayi anda ingin berdukung ataupun ingin sendawa. Hari demi hari, anda akan lebih yakin untuk menjaga si manja anda di samping mengasah skil keibubapaan.

Bagi ibu bapa baharu, mereka amat paranoid tentang penjagaan bayi. Jadi, selain mendapatkan info melalui pembacaan, ibu bapa juga akan bertanyakan kepada orang terdekat tentang keadaan bayi mereka- sama ada sihat atau pun tidak, cukup ke dia makan, mengapa bayi masih menangis meskipun sudah ditukarkan lampin, serta banyak lagi. Justeru itu, bagi membantu anda mengenali sama ada bayi sihat atau gembira, kami senaraikan beberapa kriteria di bawah untuk anda jadikan petunjuk. Bawa bertenang, Mama!

1. Tenangnya mendengar suara ibu.
Tandanya: Bonding antara anda dan si manja baik!
Bayi baru lahir kerap menangis. Ini adalah biasa. Meskipun banyak sesi memujuk antara anda dan bayi, namun cara itu sahaja tidak akan mengurangkan tangisan bayi. Ada bayi yang akan bertambah menangis apabila mendengar suara anda kerana ingin bermanja-manja dengan ibunya. Akan tetapi, apabila anda menyentuh sambil memujuk bayi anda, lama-kelamaan dia akan tenang. Bayi baru lahir hanya mahukan ibunya ada di sisi di saat dia terjaga. Apabila dia tenang dengan kehadiran anda, ini salah satu langkah awal dalam jalinan hubungan anda berdua dan merupakan tanda bahawa si manja anda sedang berkembang dari segi emosi.

2. Yeay, bayi saya semakin membesar! Namun, kerap terkencing.
Tandanya: Jangan risau jika anda perlu menukar lampin bayi sebanyak lebih 8 kali sehari. Ini tandanya, si manja anda mendapat susu yang cukup dan sihat.
Untuk pengetahuan anda, bukti bahawa bayi anda minum cukup susu ibu adalah dengan cara melihat kepada kekerapannya membuang air. Walau bagaimanapun, penting untuk anda membawa bayi berjumpa dengan pakar pediatrik supaya doktor boleh memantau akan tumbesaran bayi anda.

Kekerapan bayi membuang air kecil adalah petanda terbaik bahawa dia minum secukupnya. Jika bayi anda sudah boleh makan, jangan hanya melihat kepada berapa banyak dia makan sahaja. Hal ini kerana, bayi tidak makan dalam amaun yang sama setiap hari. Anda hanya perlu memantau kenaikan berat bayi.

3. Bayi memerhati.
Tandanya: Si kecil anda sedang mengawasi sekeliling dan mula belajar.
Minggu-minggu terawal si manja lahir, dia lebih banyak menyusu dan tidur, paling tidak pun menangis. Akan tetapi, sebaik sahaja deria matanya berkembang, bayi mula dapat mengawal otot matanya dan belajar memfokus kepada satu-satu subjek.

Jika anda lihat sesekali bayi anda senyap dan melihat sesuatu, ini bermakna dia sedang memerhatikan sekelilingnya dan sedang memproses informasi baru. Begitu juga jika dia memandang wajah anda lama-lama, bererti dia ingin mengecam muka anda dan ‘menanam’ di dalam kotak fikirannya.

4. Teruja dengar bunyi baharu.
Tandanya: Jika anda melihat si manja menoleh mencari bunyi baru yang didengari, itu bermakna deria pendengarannya sedang berkembang dan bayi menggunakan otaknya untuk mencerap bunyi.
Bayi memang boleh mendengar sejak lahir lagi, namun deria pendengarannya terbatas dan si manja juga sedang berusaha untuk membiasakan diri dengan bunyi-bunyi baharu di luar rahim. Biasanya, bunyi muzik tidak kiralah yang keluar dari dalam radio ataupun mainan, akan cepat menarik perhatian bayi.

Jadi, petanda deria pendengaran si manja berkembang adalah apabila anda melihat si manja berminat apabila mendengar sesuatu bunyi dan rasa ingin tahunya berkembang.

5. Wah! Seronoknya melihat benda bergerak.
Tandanya: Penglihatannya semakin tajam dan otak bayi sedang berkembang.
Anda mungkin tidak memikirkan apa-apa jika bayi sedang asyik merenung kipas siling yang sedang berpusing. Buat pengetahuan anda, deria penglihatan bayi semasa lahir hanya kira-kira 20/100 sahaja dan mereka hanya boleh melihat dengan jelas sejauh 8 hingga 12 inci sahaja,
seperti jarak antara muka anda dan bayi semasa anda sedang menyusukannya.

Semasa bayi memasuki usia 1 bulan, deria penglihatannya akan bertambah kepada jarak 18 inci, dan semasa memasuki usia 2 bulan pula, kebanyakan bayi akan mula berminat melihat objek berbentuk, warna yang terang dan objek bergerak; seperti kereta ataupun kipas.

6. Gemar tersenyih dan ketawa.
Tandanya: Bayi anda sedang belajar bersosial.
Bayi baru lahir banyak menghabiskan masa untuk tidur. Jadi, eye contact anda berdua lazimnya bermula semasa usianya sebulan. Manakala, senyuman pertama bayi pula bermula semasa usianya 2 bulan, berdekut semasa usia 3 bulan dan ketawa semasa usia 4 bulan. Kesemua interaksi ini menunjukkan bayi sedang berhubung dengan anda dan semakin ‘celik’ akan keadaan sekelilingnya. Pada masa yang sama, si kecil juga faham jika anda sedang berinteraksi dengannya. Semasa usia bayi 5 bulan pula, dia akan membalas senyuman orang yang tersenyum ke arahnya.

7. Semakin kurang menangis dan kerap tidur.
Tandanya: Sistem sarafnya sedang berkembang.
Adakah anda rasa rutin bayi anda berubah? Mungkin dari segi kekerapannya menyusu dan kekerapannya tidur. Ini menunjukkan bahawa sistem sarafnya sedang berkembang. Anda akan lihat waktu meridap (nap) si manja semakin meningkat terutama selepas menyusu. Dengan meningkatnya kekerapan meridap si kecil, dia juga akan semakin kurang menangis kerana sudah cukup tidur.

8. Boleh menampung berat badannya sendiri.
Tandanya: Otot mininya semakin kuat.
Kebanyakan bayi boleh mengangkat dan menyeimbangkan kepala mereka pada usia 1 bulan. Memasuki usia 3 bulan, mereka akan semakin kerap dan bertambah yakin untuk mengangkat kepala. Jika bayi anda sudah boleh menggerakkan kepala (menoleh ke kiri dan kanan) semasa anda sedang mendukungnya, ini bermakna dia sedang menyesuaikan diri dengan perkembangan ototnya. Bagi membantu bayi anda mengembangkan kemahiran barunya ini, anda perlu banyak meluangkan masa berkualiti dengannya di luar rumah.

Selain itu, anda juga boleh melakukan tummy time iaitu meniarapkan anak anda di atas lantai. Selain dapat membantu dia menyeimbangkan kepala, ini juga cara untuknya bersenam. Cara ini juga dapat mempercepatkan perkembangan pelbagai jenis otot si manja, termasuklah membiarkannya berguling atau duduk tanpa bantuan.


Sumber: www.parents.com

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.