9 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Selesema Bayi

Selesema merupakan satu jangkitan yang sudah dianggap biasa dalam kalangan masyarakat kita. Menurut American Academy of Pediatrics (AAP), kebanyakan kanak-kanak yang sihat mengalami selesema dan jangkitan virus sebanyak lapan hingga 10 kali dalam tempoh dua tahun pertama kehidupan mereka atau (enam hingga lapan kali selesema pada tahun pertama). Selesema dan jangkitan virus lebih mudah terdedah kepada golongan bayi yang baru lahir, kerana mereka merupakan golongan yang berisiko tinggi, terutama sekali untuk tempoh empat hingga enam minggu pertama. Sistem imun setiap bayi yang baru lahir masih lemah. Oleh itu, mereka memerlukan masa bagi memastikan sistem imun mereka benar-benar berdaya dalam melawan setiap penyakit dan jangkitan kuman.

Secara amnya, selesema ialah jangkitan virus yang melibatkan hidung dan tekak. Terdapat lebih daripada 200 virus yang boleh menyebabkan jangkitan selsema berlaku. Virus yang paling biasa ialah rhinovirus, manakala virus lain termasuklah coronavirus, parainfluenza, adenovirus, enterovirus, dan virus pernafasan syncytial.

1. Bagaimanakah Bayi Boleh Dijangkiti Selesema?
Pada kebiasaanya, virus yang boleh menyebabkan tersebarnya selesema adalah melalui sentuhan dari kulit ke kulit, penyebaran melalui titisan batuk atau bersin, dan sentuhan dengan objek yang telah tercemar.

Sentuhan dari individu ke individu lain boleh menyebabkan bayi dijangkiti selesema. Sebagai contoh, di pusat asuhan atau dari ahli keluarga sendiri. Individu yang batuk atau bersin akan menyebarkan virus yang berkemungkinan boleh sampai ke hidung atau mulut bayi. Bayi juga boleh dijangkiti selesema melalui abang atau kakak mereka yang pulang dari atau daripada orang dewasa yang menjadi kontak rapat dengan individu yang menghidap virus selesema. Virus selesema juga boleh hinggap pada permukaan seperti mainan dan meja. Jadi apabila bayi menyentuh permukaan ini, mereka akan dijangkiti virus dengan lebih cepat.

2. Apakah Simptom-Simptomnya?
Antara simptom yang biasa dialami termasuklah, tekak berasa gatal, hidung berair atau tersumbat dan bersin. Pada awalnya hingus mungkin akan kelihatan jernih tetapi ia boleh bertukar menjadi pekat kekuningan atau kehijauan. Gejala lain termasuklah demam, meragam, sukar tidur, dan masalah menyusu. Walau bagaimanapun, tahap kesihatan bayi biasanya masih berada pada tahap yang tidak membimbangkan dan tahap tenaga yang normal.

3. Bagaimana Selesema Bayi Bermula?
Bayi mungkin akan lebih mudah meragam daripada biasa selama tiga hari pertama, demam dan selera makan yang berkurangan. Selain itu, hidung bayi juga akan kelihatan berair dan berlaku pada hari kedua atau ketiga. Semasa fasa pertengahan selesema, demam akan mula kebah, namun lendir pada hidung akan menjadi pekat dan kekuningan.

4. Berapa Lamakah Tempoh Tersebut?
Jangkitan selesema yang tersebar akan berada dalam badan selama tujuh hingga 10 hari atau boleh berlanjutan sehingga 14 hari. Tempoh inkubasi untuk selesema adalah antara satu hingga empat hari. Virus ini akan menular sehari atau dua hari sebelum gejala muncul tetapi boleh disebarkan apabila selesema sudah berlaku. Risiko jangkitan akan mula menurun apabila hidung mula kering dan selesema akan hilang dengan sendirinya selepas beberapa hari.

Sekiranya gejala yang dialami semakin teruk, atau bayi tersebut berusia kurang daripada satu bulan, anda perlu segera berjumpa dengan pakar pediatrik bagi pemeriksaan secara menyeluruh.

5. Apakah Kesan Sampingan Selsema Yang Boleh Mempengaruhi Kesihatan Bayi?
Kesan sampingan yang biasanya dialami oleh bayi selepas dijangkiti selesama adalah jangkitan pada telinga (otitis media), berdehit, sinusitis yang biasanya berlaku semasa bayi semakin meningkat dewasa serta jangkitan lain seperti radang paru-paru, bronkiolitis dan croup.

6. Bagaimakah Cara Untuk Merawat?
Kebiasaannya jangkitan selesema ini akan sembuh walaupun tanpa rawatan. Ubat-ubat yang ada tidak dapat membuatkan jangkitan selesema itu hilang dengan cepat. Sebaliknya ia hanya boleh membantu dalam mengurangkan gejala yang dialami. Tambahan lagi, antibiotik juga biasanya tidak diperlukan melainkan ketika waktu kecemasan iaitu ketika ia berkembang menjadi jangkitan telinga atau radang paru-paru. Doktor akan menyarankan pengambilan paracetamol bagi mengurangkan demam, semburan hidung untuk membersihkan lendir hidung atau semburan dekongestan hidung bagi melegakan hidung tersumbat. Walau bagaimanapun, ubat batuk hanya sesuai diberikan untuk kanak-kanak berumur dua tahun ke atas.

7. Bilakah Waktu Yang Sepatutnya Anda Berjumpa Doktor?
Walaupun simptom selesema adalah ringan, anda digalakkan untuk berjumpa pakar penjagaan kesihatan jika bayi anda berumur di bawah satu tahun dan mengalami simptom ini:

  • demam
  • muntah dan tidak mahu menyusu
  • kurang kencing (dehidrasi)
  • tidak aktif, mengantuk dan tidur lebih lama daripada biasa
  • bernafas dengan laju
  • batuk yang bertambah teruk selepas beberapa hari atau berterusan selama lebih daripada lima hari
  • ruam, mata merah, atau mata berair
  • kulit menjadi pucat atau kebiruan
  • meragam
  • berhingus

8. Bagaimanakah Cara Penjagaan Tepat Oleh Ibu Bapa Untuk Bayi Mereka Semasa Berada Di Rumah?
Walaupun selesema yang dihadapi oleh bayi ini masih boleh dirawat di rumah, namun perlu dingatkan supaya ibu bapa mestilah peka dengan gejala-gejala yang ditunjukkan oleh bayi mereka. Jika ia berlarutan dan bertambah teruk (seperti yang dinyatakan di atas) segeralah berjumpa doktor atau pakar pediatrik. Berikut ialah beberapa petua dalam merawat selesema bayi semasa berada di rumah:

  • Jika kanak-kanak mengalami demam, mandian menggunakan span dengan air suam boleh membantu
  • Berikan susu ibu sekerap mungkin untuk memastikan bayi sentiasa terhidrasi
  • Makanan seperti bubur dan sup sangat disyorkan untuk bayi mengamalkan diet ringan
  • Nasal saline atau saline gel, atau penyedut cecair hidung juga boleh membantu hidung tersumbat
  • Pastikan bayi mendapat rehat secukupnya

9. Apakah Cara Terbaik Untuk Mencegah Selesema Bayi?
Cara pencegahan terbaik adalah dengan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga kerana tiada vaksin yang ditemui untuk selesema biasa. Sebagai langkah perlindungan terbaik adalah dengan cara anda kerap mencuci tangan sebelum memegang bayi, menjauhkan bayi daripada individu yang tidak sihat, serta kerap membersihkan mainan dan puting bayi.


Dr Diana Bt Osman,
Perunding Pediatrik
Sri Kota Specialist Medical Centre, Klang

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.