Pentingnya Pendidikan Awal Untuk Kanak-Kanak

Lapan tahun pertama kehidupan kanak-kanak adalah tempoh yang penting untuk perkembangan otaknya. Ketika peringkat umur awal kanak-kanak, pembelajaran dan perkembangan mereka baik dari segi mental, emosi dan sosial adalah amat kritikal. Disebabkan itulah, pendidikan awal kanak-kanak dianggap sebagai pelaburan yang cukup penting oleh ibu bapa buat anak mereka.

Menurut Persatuan Kebangsaan Pendidikan Kanak-kanak Kecil, pendidikan awal kanak-kanak didefinisikan sebagai program berkualiti tinggi yang dibuat untuk kanak-kanak dari lahir hingga usia 8 tahun.

Di Malaysia, pendidikan awal kanak-kanak menggunakan istilah prasekolah, taska, tadika atau tabika yang melibatkan kanak-kanak berumur di bawah enam tahun. Kanak-kanak di peringkat usia ini akan diajar oleh tenaga pengajar yang mahir dalam suasana pembelajaran yang sesuai dengan usia mereka.

Persepsi Ibu Bapa Dulu & Sekarang
Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberikan pendidikan asas yang kukuh kepada anak-anak mereka. Jika dahulu, pendidikan asas untuk anak-anak adalah semasa usia mereka enam tahun, iaitu sebelum mula bersekolah di darjah satu. Namun kini, ramai ibu bapa yang sudah mula ‘celik mata’ dengan memasukkan anak mereka ke prasekolah seawal usia tiga hingga lima tahun. Ibu bapa dahulu merasakan bahawa kanak-kanak sebelum enam tahun masih belum matang dan belum mampu menerima pelajaran yang diajar di tadika.

Berbeza dengan keadaan kini, di mana senario menghantar anak berusia empat dan lima tahun ke prasekolah adalah perkara yang normal. Malah, kesedaran ibu bapa tentang pendidikan awal kanak-kanak juga semakin meningkat di mana seusia bayi lagi ada ibu bapa yang memasukkan anak ke play school, pusat pengayaan dan prasekolah.

Kepentingan pendidikan awal kanak-kanak
Ramai pakar kanak-kanak yang bersetuju bahawa dengan menyertai pusat pendidikan awal kanak-kanak akan menyediakan mereka untuk ke tadika dan sekolah. Malah, banyak juga kajian yang membuktikan bahawa kanak-kanak pelajari banyak perkara di prasekolah. Di prasekolah juga, kanak-kanak akan terdedah kepada pembelajaran nombor, huruf dan bentuk, iaitu perkara-perkara asas yang akan mereka pelajari di tadika. Selain itu, anak anda juga akan belajar cara bersosial dengan rakan sebaya, mahupun orang yang lebih besar dari mereka (guru). Lazimnya, semasa sesi bulatan (di prasekolah), anak anda akan belajar untuk bergaul dengan rakan-rakan, belajar berkongsi dan bertolak-ansur.


Info
Pembelajaran di prasekolah amat berbeza dengan yang ada di sekolah, di mana kanak-kanak akan belajar tentang sesuatu perkara secara santai. Malah, kebanyakan prasekolah menggunakan teknik bermain sambil belajar supaya kanak-kanak lebih tertarik mendalami ilmu.


Selain aspek sosial, kanak-kanak juga akan belajar cara menghormati orang dan penyelesaian masalah. Prasekolah menyediakan tempat untuk anak anda mengenal diri mereka, mengembangkan karakter positif dalam diri mereka dan meningkatkan keyakinan diri. Malah, jika anda perhatikan, anak di usia empat hingga lima tahun mempunyai sifat ingin tahu, dan akan sering bertanyakan perkara-perkara di sekeliling mereka seperti mengapa burung terbang atau bagaimana ikan boleh hidup di dalam air.

Kesimpulannya,pendidikan awal amat penting sebagai asas yang kukuh untuk zaman persekolahan kanak-kanak.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.