Sistem Pendidikan yang Dikagumi di Dunia

Kehidupan yang baik bermula dengan pendidikan yang kukuh. Tanpa pendidikan, anda akan ketinggalan dari setiap segi. Tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan jugalah yang menjadi asas kepada perubahan kehidupan seseorang.

Generasi kini merupakan pemangkin pembangunan negara. Generasi muda sekaranglah yang akan menggantikan pemimpin pada hari ini untuk mentadbir negara, justeru aspek pendidikan adalah paling utama untuk melahirkan anak muda yang boleh memacu negara ke arah kejayaan. Dan, pendidikan perlu bermula sejak kecil lagi. Disebabkan itulah, semua negara berlumba-lumba membekalkan pendidikan yang terbaik untuk melahirkan generasi yang berpelajaran, bukan sahaja dalam bidang akademik malah boleh menjadi individu yang berkaliber.

Minda kanak-kanak terbentuk bukan sahaja melalui pendidikan di rumah, bahkan juga pengalaman di sekolah. Oleh itu, sistem pendidikan di sesebuah negara adalah pengukur terbaik untuk kejayaan masa hadapan. Penting untuk kanak-kanak mendapat pendidikan yang berkualiti dan persekitaran yang selamat untuk belajar. Sistem pendidikan awam yang baik bermula dengan asas pembelajaran yang holistik. Pernahkah anda terfikir tentang sesetengah negara yang berjaya dalam setiap aspek, sementara sesetengahnya pula masih jauh tertinggal di belakang? Lihatlah pada negara-negara yang berjaya dan anda akan tahu rahsia mereka, iaitu penawaran sistem terbaik dalam pendidikan. Berikut adalah antara sistem pendidikan yang diiktiraf terbaik di dunia:

Finland
Sistem pendidikan Finland konsisten dalam kedudukan teratas sistem pendidikan seluruh dunia. Negara ini sebenarnya dikenali dengan pendekatan yang tidak ortodoks dalam pendidikan, menjadikannya sebagai model pendidikan popular merapati sistem pendidikan barat. Jika dibandingkan para pelajarnya dengan pelajar negara lain, kanak-kanak sekolah di Finland jarang menduduki peperiksaan atau melakukan kerja sekolah sehinggalah usia mereka 16 tahun.

Mereka akan menghabiskan segala kerja sekolah di dalam kelas, tanpa perlu membawa pulang kerja di rumah. Walaupun pelajar-pelajar di sini tidak dinilai semasa enam tahun pertama di sekolah, namun, mereka setaraf dengan golongan pelajar yang mendapat masa tutor tambahan dan dinilai beberapa kali semasa persekolahan mereka.

Di Finland juga, semua kanak-kanak tidak kira apa keupayaan mereka (bijak ataupun kurang bijak) akan diletakkan dalam kelas yang sama. Pelajar juga mendapat masa rehat selama 75 minit setiap hari. Kanak-kanak akan mula bersekolah semasa usia 7 tahun, di mana ketika ini mereka sudah bersedia untuk belajar dan fokus. Mereka juga hanya wajib bersekolah selama sembilan tahun sahaja. Selepas gred ke-9, pelajar boleh memilih untuk menyambung pelajaran di sekolah menengah tinggi, sekolah vokasional ataupun bekerja.

Jepun
Orang Jepun paling cemerlang dari segi adab. Mengikut budaya Jepun, adalah penting untuk mengajar anak kecil etika dan adab yang sempurna berbanding dengan mengajar mereka pendidikan standard. Disebabkan itulah kanak-kanak di Jepun tidak perlu mengambil sebarang ujian sehingga gred ke-4 kerana mereka benar-benar percaya bahawa karakter kanak-kanak perlu dipupuk dahulu, bukannya pencapaian (seperti ujian, peperiksaan dsb) semasa proses pembelajaran.

Hormat kepada orang lain turut diajar di dalam kelas. Selain itu, hubungan antara guru dan pelajar turut dititikberatkan di mana para pelajar dididik untuk menghormati guru mereka. Pelajar turut diajar membersihkan diri dan kelas di samping melakukan kerja pembersihan lain seperti kebersihan di sekeliling mereka.

Bukan itu sahaja, para pelajar juga disediakan makanan yang berkhasiat di sekolah di mana, setiap pelajar diajar untuk memilih makanan yang sihat sejak kecil lagi. Hidangan yang disediakan di sekolah adalah kolaborasi di antara pakar penjagaan kesihatan profesional dan chef terlatih serta menggunakan bahan yang segar.

New Zealand
Sistem pendidikan di New Zealand pun merupakan antara yang terbaik di dunia. Mengikut penskoran, sistem di sini mendapat tahap tertinggi untuk literasi, matematik dan sains. Sistem pendidikan awam pula adalah salah satu sistem pembiayaan yang terbaik di dunia di mana New Zealand mencatatkan peratusan tertinggi pembiayaan awam dalam pendidikan di seluruh dunia.

Jadi, apa yang menjadikan New Zealand unik? Ia berdasarkan beberapa perkara; pertama, penduduk asal New Zealand percaya setiap orang berhak mendapat pendidikan. Terdapat banyak sekolah swasta di sini, akan tetapi negara ini turut menyediakan sekolah awam terbaik. Selain itu, sistem pendidikan di sini memfokuskan kepada kedua-dua pencapaian akademik dan praktikal. Sistem pendidikan awam New Zealand juga memfokuskan kepada fikiran terbuka dan membiarkan kanak-kanak untuk meneroka dan belajar mengikut cara yang mereka mampu.

Estonia 
Mengikut Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), pengukur pendidikan global terulung, dihimpunkan oleh Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi, keputusan pelajar Estonia berusia 15 tahun adalah yang terbaik di Eropah dan antara yang terkukuh di seluruh dunia.
Kajian PISA pada tahun 2015 tertumpu kepada sains semula jadi dan juga menguji pelajar dalam matematik dan pembacaan fungsi. Menurut kajian tersebut, pengetahuan dan kemahiran pelajar Estonia berusia 15 tahun dalam biologi, geografi, fizik dan kimia adalah yang terbaik di seluruh dunia – yang pertama di Eropah dan ketiga dalam skala global. Bilangan pelajar terbaik yang dapat menyelesaikan ujian yang sukar adalah lebih tinggi daripada yang pernah dicatatkan sebelum ini – iaitu sebanyak 13.5 peratus, sementara purata OECD adalah lapan. Di antara negara-negara di Eropah, Estonia mencatatkan bilangan paling sikit untuk pelajar yang rendah pencapaian – menurut kenyataan daripada Kementerian Pelajaran Estonia.

Bagi subjek matematik pula, pelajar Estonia menduduki tangga kedua di Eropah selepas Switzerland, dan kesembilan di dunia. Hampir 90% anak muda di Estonia mempunyai sekurang-kurangnya asas pengetahuan dalam matematik, yang meletakkan Estonia di antara lima negara terbaik di dunia.

Barbados
Sistem pendidikan sekolah di Barbados hampir mengikut norma British. Pendidikan sekolah rendah selama enam tahun bermula semasa umur kanak-kanak 4 tahun. Pada usia anak 11 tahun pula, mereka akan menduduki peperiksaan kemasukan bagi melayakkan mereka ke sekolah menengah. Pelajar akan memasuki sekolah menengah sehingga umur 18 tahun, pun begitu dua tahun terawal adalah tidak diwajibkan. Pelajar akan menduduki peperiksaan Caribbean yang mirip GCE O-Level. Pelajar yang masih berada pada 2 tahun terakhir akan menduduki peperiksaan Caribbean lain yang membawa kepada pendidikan peringkat tiga atau tinggi.

Singapura
Lebih daripada sedekad, Singapura berjaya muncul sebagai salah satu sistem pendidikan terbaik yang ditawarkan di seluruh dunia. Secara keseluruhannya, pembelajaran di kelas adalah seragam untuk semua tahap dan subjek. Sistem pendidikan sekolah rendah Singapura memfokuskan kepada liputan kurikulum, transmisi pengetahuan prosedur dan fakta, serta menyiapkan pelajar untuk semester akhir dan peperiksaan tinggi nasional.

Pembelajaran di sini berlangsung dengan cara guru akan memantau pembelajaran pelajar dan menyediakan maklum balas dan sokongan pembelajaran kepada pelajar. Selain itu, guru juga akan mengajar berpandukan buku teks, latihan kerja dan kebanyakan latih tubi serta amali.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.