Kelas Pengayaan Yang Manakah Paling Sesuai Untuk Anak Saya?

Setiap ibu bapa yang menghantar anak-anak ke pusat pengayaan mungkin mempunyai objektif yang berbeza. Ada yang menginginkan anak kecil mereka cepat mengenal huruf. Ada yang berhasrat mengembangkan bakat anak mereka dalam aktiviti kesenian seperti melukis dan mewarna.

Kepelbagaian aktiviti ini memberi peluang kepada setiap kanak-kanak untuk menguasai sesuatu kemahiran yang diajar berdasarkan keupayaan dan tahap perkembangan mental masing-masing.

Pusat pengayaan berbeza daripada pendidikan sekolah taska. Ia mengaplikasikan pende katan yang bersifat fleksibel berbanding dengan corak pendidikan yang lain. Kanak-kanak didedahkan kepada persekitaran yang menyeronokkan dengan bantuan alat-alat autentik dan alamiah. Pendekatan kaedah pembelajaran mereka lebih kepada konsep kemahiran hidup.

Memilih dan mendaftarkan anak ke kelas pengayaan seharusnya dilakukan menerusi proses yang teliti. Mendaftarkan si kecil secara tergesa-gesa ke suatu pusat pengayaan tanpa mengkaji latar belakang pusat yang ingin dihantar mungkin akan menjurus kepada kesilapan dalam membuat keputusan. Ini kerana, kita tidak mahu ibu bapa merungut di kemudian hari kelak apabila mendapati perkembangan minda dan kemahiran anak mereka tidak mencapai suatu piawaian yang diharapkan.

Setiap pusat pengayaan sudah semestinya mempunyai objektif yang sama iaitu menyediakan peluang pembelajaran dalam pelbagai aspek kemahiran asas kanak-kanak. Namun, kaedah pelaksanaan serta keberkesanan tenaga pengajar dalam menyalurkan pembelajaran dalam suatu aktiviti adalah berbeza-beza di antara satu sama lain.

Kriteria pemilihan pusat pengayaan
Menjadi tanggungjawab anda sebagai ibu bapa untuk memastikan anak mereka didaftarkan ke kelas pengayaan yang terbaik dan sesuai untuk anak mereka. Untuk tujuan ini, anda perlu mengenal pasti beberapa garis panduan berguna semasa memilih pusat pengayaan yang paling sesuai untuk si kecil anda.

Lihat pada falsafah pusat pengayaan
Falsafah setiap pusat pengayaan secara asasnya mempunyai objektif penubuhan yang hampir sama iaitu menyediakan ruang kepada murid untuk mengembangkan minat, daya kreativiti, sifat ingin tahu, bakat kepimpinan serta dapat melibatkan diri dalam membuat keputusan untuk diri, kumpulan dan juga masyarakat.

Apa yang membezakan di antara pusat pengayaan ialah apabila falsafah mereka menyerapkan unsur kurikulum dengan elemen kerohanian. Antara contoh yang boleh dilihat ialah falsafah keseimbangan antara didikan duniawi dan ukhrawi yang diterapkan oleh pusat pengayaan bagi kanak-kanak Muslim.

Kelayakan usia pendaftaran & kurikulum pembelajaran
Di Malaysia, rata-rata pusat pengayaan menerima pelajar seawal usia tiga atau empat tahun. Sesetengahnya pula hanya menerima pelajar berusia enam tahun ke atas. Malah, masih wujud pusat pengayaan yang turut membuka pendaftaran untuk pelajar senior dengan maksimum umur 17 tahun.

Kurikulum atau silibus pembelajaran yang ditawarkan adalah berdasarkan peringkat umur yang dibahagikan mengikut kategori. Murid-murid akan didedahkan kepada pelbagai aktiviti pembelajaran yang meriangkan dan merangsang minda murid mengikut perkembangan umur.

Kelayakan tenaga pengajar
Mengajar kanak-kanak yang masih kecil bukanlah suatu tugas yang mudah. Anak-anak anda semestinya memerlukan guru-guru yang mempunyai kelayakan khas dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Tidak salah sekiranya anda mendapatkan sedikit maklumat mengenai kelayakan tenaga pengajar di suatu pusat pengayaan yang anda pilih. Selain mempunyai sijil kelayakan khas dalam pendidikan awal kanak-kanak, kriteria lain yang perlu diberi perhatian ialah:

  • Berapa tahun pengalaman guru-guru yang mengajar?
  • Bagaimana interaksi guru dengan setiap pelajarnya semasa sesi pembelajaran berlangsung?
  • Adakah guru tersebut mempunyai aura ceria yang boleh menarik minat kanak-kanak mengikutinya semasa sesi pembelajaran di dalam kelas?
  • Apakah kaedah yang diambil oleh tenaga pengajar apabila berhadapan dengan murid yang mengalami kesukaran dalam memahami pembelajaran?

Aspek keselamatan di pusat pengayaan
Keselamatan anak-anak di pusat pengayaan adalah antara keutamaan yang tidak boleh diambil mudah oleh ibu bapa. Seperti kata pepatah yang sering kita dengar, “Malang tidak berbau” dan “Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati”.

Luangkan masa untuk membuat kunjungan ke pusat pengayaan pilihan sebelum mendaftarkan si kecil anda. Sesetengah pusat membenarkan bakal para pelanggan mereka melakukan ‘tour’ supaya mereka dapat mengamati situasi sebenar premis mereka.

Ambil tahu info mengenai pelan keselamatan apabila berlaku kes-kes kecemasan seperti kebakaran, pecah rumah, penderaan murid dan sebagainya. Salah satu ciri keselamatan utama yang seharusnya ada ialah kelengkapan kamera litar tertutup atau CCTV untuk tujuan pemantauan aktiviti guru dan muridnya.

Lain-lain faktor keselamatan yang boleh dinilaikan adalah jarak pusat pengayaan dengan jalan raya utama, pengawalan pintu pagar oleh pekerja keselamatan, kewujudan balkoni bagi bangunan yang melebihi satu tingkat, keadaan lif atau tangga, keselamatan di tandas dan bilik air dan sebagainya.

Jadual pembelajaran dan aktiviti kelas
Seperti yang telah dijelaskan sebelumnya, pusat pengayaan mengaplikasikan pendekatan pembelajaran yang bersifat fleksibel berbanding dengan corak pendidikan yang lain. Dapatkan info lebih lanjut mengenai silibus dan jadual pembelajaran serta maklumat aktiviti dalam kelas lebih awal daripada para tenaga pengajar.

Adakah terdapat elemen berasaskan gred atau markah dalam pemantauan prestasi murid? Pusat pengayaan seharusnya berbeza dengan sekolah harian biasa di mana ia memberi penekanan kepada murid untuk melakukan aktiviti bebas bersifat hands-on yang diterapkan dengan unsur pembelajaran. Aktiviti bebas inilah yang menyumbang kepada pembentukan meta kognitif iaitu kesedaran tentang keperluan memperbaiki kelemahan diri dan mengenal pasti kekuatan yang dimiliki.

Kesesuaian kos dengan kemudahan yang disediakan
Menghantar anak-anak kecil ke pusat pengayaan sudah semestinya melibatkan perbelanjaan kos bulanan yang agak tinggi. Lakukan semakan awal dari pelbagai sudut bagi memastikan sama ada kos bulanan yang dibelanjakan sepadan atau tidak dengan kemudahan yang disediakan.

Anda seharusnya mendapatkan info yang lebih jelas mengenai yuran bulanan yang dibayar. Adakah jumlah yang dibayar itu merangkumi kos makan dan minum, kemudahan menggunakan bahan pembelajaran, rawatan untuk perubatan kecemasan, pakej lawatan pembelajaran dan sebagainya?

Lakukan ini sebelum mendaftarkan anak anda ke pusat pengayaan
Senaraikan sekurang-kurangnya dua atau tiga pusat pengayaan yang menjadi pilihan anda. Langkah ini seharusnya diikuti dengan proses pengumpulan maklumat mengenai setiap pusat yang anda telah senaraikan untuk memudahkan anda melakukan perbandingan di antara senarai yang ada. Catatkan juga perkara-perkara negatif yang mungkin jelas pada pengamatan anda sebagai tanda amaran.


Rujukan: Haslinda Linda menerusi www.academia.edu, www.ukm.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.