Antara kesukaran yang biasa dialami oleh para ibu ialah proses cerai susu. Proses ini perlu dilakukan secara berperingkat mengikut kesesuaian umur bayi. Cerai susu tidak boleh dilakukan terlalu awal kerana satu-satunya sumber makanan terbaik untuk tempoh enam bulan pertama mereka bersumber dari susu ibu.
Begitu juga, bayi tidak sepatutnya cerai susu terlalu lewat melebihi usia dua tahun. Bermulanya usia bayi mencapai enam bulan, anda sudah boleh memulakan proses pemberian makanan pejal sebagai salah satu persediaan awal untuk proses cerai susu.
Setelah usia bayi mencapai enam bulan, sebarang jenis susu sama ada susu ibu mahupun susu formula tidak lagi mampu menampung keperluan zat dan tenaga bayi yang semakin bertambah. Adalah mustahil untuk mengenyangkan bayi anda dengan hanya memberikan susu semata-mata selepas mereka berusia enam bulan. Oleh itu, pemberian makanan pejal menjadi suatu kemestian yang tidak boleh diabaikan.
Fasa peralihan daripada pemberian susu sepenuhnya bagi menggantikannya dengan makanan pejal perlu dilaksanakan secara berhati-hati. Bagi mereka yang kali pertama bergelar ibu, anda mungkin masih teragak-agak untuk menyuapkan si kecil yang masih belum tumbuh gigi dengan makanan pejal kerana khuatir bayi mereka akan tercekik.
Adakah bayi anda bersedia menerima makanan pepejal?
Semakin meningkatnya usia bayi, perkembangan deria mereka terhadap rangsangan luar akan semakin baik. Ini termasuklah perkembangan deria bau dan deria rasa apabila melihat makanan Keterujaan dan keinginan mereka untuk mencuba sesuatu makanan saling tidak tumpah seperti orang dewasa!
Bayi anda akan menunjukkan beberapa tanda apabila mereka bersedia mencuba makanan baru selain daripada susu.
- Mereka mampu menegakkan kepala dan badan ketika duduk.
- Keterujaan mereka meningkat apabila melihat makanan yang anda makan. Mereka ingin sekali menyentuh makanan tersebut!
- Bayi tidak meludahkan semula makanan sebaliknya menelan makanan tersebut dengan baik. Anda boleh mengujinya dengan meletakkan sedikit makanan lembut ke dalam mulut mereka. Jika mereka meludahkan semula makanan tersebut, bermakna mereka belum bersedia menerima makanan pepejal.
- Bayi masih menunjukkan tanda lapar walaupun telah menghisap susu dalam kuantiti yang banyak.
- Berat badan bayi semakin bertambah.
- Bayi membuka mulutnya apabila dihulurkan dengan makanan.
Sebelum usia bayi mencapai enam bulan, sistem penghadaman mereka belum cukup sedia menerima sebarang jenis makanan selain daripada susu. Pemberian makanan pejal sebelum sampai masanya boleh mengakibatkan komplikasi kepada usus si kecil.
Makanan pejal pertama untuk bayi anda!
Tiada syarat-syarat khas tentang penetapan makanan pejal pertama untuk bayi anda. Pilihlah makanan dari sumber semulajadi yang bebas dari kandungan bahan kimia, bahan pengawet dan perasa tambahan.
Kebanyakan ibu cenderung menyediakan makanan lembut yang dikisar menjadi puri yang mana ia lebih mudah untuk dikunyah, ditelan dan dihadam oleh sistem pencernaan si kecil. Ibu-ibu boleh menukar menu makanan secara berperingkat mengikut pertambahan usia mereka dari bulan ke bulan. Sebagai cadangan, anda boleh mengikuti garis panduan ini sebagai rujukan awal dalam penyediaan makanan pejal pertama untuk bayi anda.
A) Puri nasi pilihan terbaik untuk si manja anda
Ia sesuai untuk bayi yang berusia antara 6 sehingga 9 bulan. Beras atau nasi adalah pengenalan makanan bijirin pertama yang terbaik untuk bayi anda. Resepi terbaik untuk bayi anda merupakan bubur nasi yang dimasak dengan sukatan air tertentu.
Elakkan daripada mencampurkan nasi dengan sebarang perasa tambahan seperti garam dan gula. Nasi yang telah lembut dan masih basah dengan lebihan air kemudian dibiarkan sejuk seketika sebelum dikisar menggunakan blender atau alat pengisar elektrik. Maka, jadilah ia puri nasi paling ringkas sebagai makanan pejal pertama bayi anda.
Tips Menyedapkan Puri Nasi
Sesetengah ibu akan mencampurkan bersama cebisan isi ayam semasa memasak nasi untuk menambahkan rasa dalam air rebusan nasi. Selain isi ayam, pilihan seperti lobak merah, ubi kentang dan isi ikan juga baik untuk keenakan puri nasi.
B) Buah-buahan dan sayur-sayuran semestinya makanan yang sihat
Untuk buah, anda boleh memilih buah-buahan yang kurang kandungan gulanya. Antara pilihan yang sihat ialah buah aprikot, kranberi, raspberi, kiwi, strawberi, oren, betik dan buah tembikai susu. Kebanyakan buah-buahan yang kurang manis terdiri daripada buah-buahan yang diimport dari luar negara, manakala kebanyakan buah-buahan tempatan di Malaysia pula mengandungi gula yang lebih tinggi.
Selain menyediakan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam bentuk puri atau bubur, bayi yang berusia sembilan bulan ke atas yang sudah mampu mengunyah dan memegang sendiri makan boleh menikmatinya dalam bentuk jejari kecil yang dipotong halus.
C) Makanan yang bersifat alergenik
Dianggarkan terdapat lebih daripada 150 makanan bersifat alergenik. Kesan alergenik setiap makanan ini berbeza di antara satu sama lain. Ada yang kesannya begitu merbahaya sehingga boleh membawa maut. Ada juga yang menyebabkan alahan kecil sahaja seperti kemerahan pada kulit yang tidak kekal.
Tujuh makanan yang paling kerap dikenalpasti menjadi punca alahan di kalangan kanak-kanak ialah susu lembu, telur, kekacang seperti walnut dan kacang badam, ikan, kacang soya, gandum serta makanan laut seperti kerang.
Elakkan memberi makanan tersebut kepada bayi anda sehingga mereka mencapai usia yang lebih matang. Risiko alahan makanan ini lebih tinggi jika mana-mana daripada anggota keluarga termasuk ibu dan bapa bayi tersebut pernah atau sememangnya alah terhadap sesuatu jenis makanan.
D) Mulakan dengan sejenis makanan
Bagi memudahkan anda mengenal pasti makanan yang menjadi punca alahan, elakkan daripada mencampurkan makanan dalam satu hidangan. Anda boleh menetapkan menu yang sama untuk tempoh satu minggu sehingga sebulan sebelum menukarnya dengan menu yang baru. Penetapan jadual ini juga bertujuan supaya bayi anda dapat membiasakan diri dengan suatu jenis makanan.
E) Makanan jejari yang lembut
Anda boleh mengajar si kecil untuk memegang sendiri makanan dengan memberikan mereka makanan jejari. Walau bagaimanapun, Sebelum bayi anda tumbuh gigi, jangan tawarkan sebarang jenis makanan keras kerana ia menyukarkan bayi untuk mengunyahnya. Ia juga boleh menyebabkan bayi tercekik. Apa jua jenis makanan yang diberikan termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran, pastikan ia makanan yang lembut. Pisang adalah antara buah-buahan lembut yang sesuai untuk bayi. Cara lain melembutkan makanan jejari ialah dengan merebus atau mengukus.