Berpantang merupakan tradisi kesihatan yang sangat digalakkan bagi wanita yang baru melahirkan anak. Apabila bercerita tentang amalan berpantang ini, perkara paling utama yang dititikberatkan ialah pemakanan. Setiap sesuatu yang anda makan sekurang-kurangnya dalam tempoh 40 hari selepas bersalin amat mempengaruhi proses penyembuhan dalaman dan luaran.
Wanita yang meninggalkan amalan berpantang makanan sering menghadapi masalah kesihatan di kemudian hari. Lalu, apakah kategori makanan yang harus dielakkan dalam tempoh berpantang? Teruskan membaca tentang perkongsian topik ini.
Sebelum meneruskan lebih lanjut mengenai jenis-jenis makanan yang perlu dijauhi dalam tempoh berpantang, penting bagi anda untuk mengetahui keadaan fizikal yang dialami oleh seorang wanita selepas bersalin.
a) Kehilangan darah
Wanita yang bersalin secara normal dianggarkan mengalami kehilangan darah sebanyak 500 ml. Jumlah ini adalah sekali ganda lebih tinggi bagi wanita yang terpaksa melalui pembedahan Caesarian iaitu sebanyak 1000 ml darah. Jumlah darah ini tidak termasuk dengan kuantiti darah yang keluar menerusi vagina dan kesan pembedahan episiotomi dalam tempoh antara dua sehingga empat minggu selepas bersalin. Ada juga kes di mana wanita bersalin tersebut mengalami tumpah darah iaitu apabila pendarahan yang berlaku melebihi anggaran normal.
Kehilangan darah selepas bersalin sering menyebabkan wanita mengalami kelesuan. Ditambah pula dengan keletihan bersalin. Sudah pasti mereka memerlukan tenaga tambahan secukupnya serta makanan yang sesuai bagi menggantikan tenaga dan darah yang hilang.
b) Pengecutan rahim
Pengecutan rahim akan berlaku sebaik sahaja anda bersalin dan ia akan mengambil masa untuk kembali ke saiz rahim yang normal. Ramai juga wanita yang mengalami kesakitan rengat, iaitu rasa ketidakselesaan yang dialami ketika proses pengecutan rahim berlaku. Rasa sakit ini berbeza bagi setiap wanita. Ia digambarkan seolah-olah kesakitan kontraksi ketika hendak bersalin. Oleh itu, penjagaan selepas bersalin amat penting termasuk cadangan berpantang dalam pemakanan.
c) Keseimbangan hormon
Keseimbangan hormon dalam badan wanita tidak lagi normal terutama dalam tempoh beberapa minggu selepas bersalin, terutamanya melibatkan hormon estrogen dan progestron. Hormon ini akan mempengaruhi tubuh anda secara fizikal dan juga boleh memberi kesan kepada keadaan emosi anda. Wanita tersebut mungkin akan mengalami perasaan sensitif, kesedihan, kesakitan, mudah marah serta rasa tidak sabar berbanding biasa. Menjaga pemakanan adalah salah satu kaedah untuk memastikan keseimbangan hormon dalam badan.
d) Ketegangan urat saraf
Kesakitan badan, ketegangan urat, sakit pinggang dan kesakitan di sekitar bahagian peranakan selepas bersalin adalah suatu perkara normal. Keadaan ini dipanggil sebagai bentan. Bentan dikatakan terjadi disebabkan wanita tersebut meninggalkan amalan berpantang sebaik sahaja selepas bersalin. Punca terjadinya bentan sering dikaitkan dengan kegagalan wanita tersebut mengikuti amalan berpantang dalam pelbagai perkara termasuk dari aspek pemakanan.
Jauhi makanan ini semasa berpantang
Sekarang anda sudah pun mengetahui keadaan keadaan fizikal wanita selepas bersalin. Sudahkan anda melihat betapa pentingnya amalan pantang dalam pemakanan dan kaitannya dengan keadaan fizikal selepas bersalin?
Dalam mengamalkan amalan berpantang makanan selepas bersalin, kunci utama yang anda perlu sentiasa ingat dan pastikan ialah makanan yang seimbang dan sihat. Sekiranya anda berpantang sesuatu jenis makanan, pastikan ia digantikan dengan sumber yang mengandungi nutrien dan khasiat yang sama bagi memastikan badan menerima zat yang secukupnya.
Berikut ialah beberapa jenis makanan yang perlu dijauhi semasa tempoh berpantang.
Jenis-jenis ikan dan makanan laut yang perlu dielakkan
Secara lazimnya, anda masih boleh menikmati beberapa jenis hidangan ikan selepas bersalin. Namun, terdapat sesetengah ikan yang dianggap ‘bisa’ sehingga tidak sesuai dimakan oleh wanita yang baru bersalin.
Elakkan daripada mengambil hidangan ikan yang diperam atau yang telah diproses. Contohnya ikan masin dan ikan kering. Selain itu, elakkan juga daripada makan beberapa jenis ikan lain. Ini termasuklah ikan keli, bawal hitam, terubuk, duri, pari, sembilang, parang, kembung, tamban, cencaru dan ikan tongkol. Anda juga tidak digalakkan sama sekali menikmati sotong, udang dan juga kerang.
Kesemua jenis ikan dan makanan laut di atas mampu melambatkan proses penyembuhan luka dalaman. Terdapat pelbagai jenis ikan yang masih selamat untuk dinikmati oleh wanita selepas bersalin.
Antara ikan yang selamat dinikmati selepas bersalin ialah ikan haruan, yu, selar, gelama, jenahak, merah, tenggiri, kurau, bawal putih, senangin, bilis dan salmon.
Bagaimana pula dengan sayur?
Mungkin ramai yang menyangka bahawa sayur adalah hidangan yang paling selamat untuk dinikmati oleh sesiapa sahaja, termasuklah wanita selepas bersalin. Ini sebenarnya merupakan satu tanggapan yang salah!
Ubi-ubian seperti keledek, keladi dan ubi kayu adalah antara jenis sayuran yang tidak digalakkan untuk dimakan selepas bersalin. Selain itu, elakkan sayur-sayuran yang dikatakan sejuk. Antaranya ialah timun, labu, petola, bayam, kacang panjang, kangkung, terung, kubis, seladeri, pucuk ubi, paku pakis, rebung, tomato dan juga jering. Cili padi dan asam keping juga tidak sesuai ditambah dalam sebarang jenis menu masakan berpantang.
Kesemua jenis sayur-sayuran ini boleh menyebabkan timbulnya masalah angin dalam badan yang mungkin memerlukan kepada rawatan bertungku panas dengan lebih kerap untuk mengeluarkan angin yang berkumpul dalam badan. Mengelakkan makanan sejuk juga dikatakan sangat membantu para ibu mempercepatkan proses penyembuhan dan melancarkan pengaliran darah dalam badan.
Gantikan hidangan sayur-sayuran sejuk ini dengan sayuran yang selamat dimakan daripada jenis ulam-ulaman seperti halia, serai, lengkuas, pegaga, mengkudu, ulam raja, jantung pisang, daun, ubi cekur, bunga kantan, kunyit hidup, daun kaduk, daun kesum, pudina dan daun kari. Kesemua jenis ulam-ulaman ini amat sesuai dan sedap jika dijadikan menu berpantang.
Saya amat menggemari lauk ayam dan daging. Adakah ia selamat untuk dinikmati selepas bersalin?
Secara asasnya, tiada masalah untuk wanita menikmati ayam dan daging selepas bersalin. Bagi yang mampu, pilihan ayam kampung adalah lebih baik berbanding ayam bandar yang disuntik. Cuba nikmati bahagian isi daging dengan meninggalkan sama sekali bahagian kulit ayam dan lemak daging yang sememangnya digemari oleh ramai penggemar daging.
Perhatikan juga dari segi kaedah penyediaan menu. Anda digalakkan untuk merebus, mengukus atau membakar hidangan daging dan ayam berbanding dengan kaedah menggoreng. Ini kerana, menggoreng akan melibatkan penggunaan minyak secara berlebihan. Ini semestinya tidak sihat bagi wanita selepas bersalin yang sedang melalui proses penyembuhan dalam dan luaran.
Hati-hati dalam pemilihan buah-buahan
Sama seperti sayur-sayuran, terdapat beberapa jenis buah-buahan yang tidak sesuai dimakan oleh wanita selepas bersalin. Ia turut dikategorikan sebagai makanan sejuk dan bisa yang boleh mengganggu proses pengaliran darah dalam badan serta pengumpulan angin dalam badan.
Antara buah-buahan yang perlu dijauhi semasa berpantang ialah mangga, betik, durian, pisang, kelapa, sengkuang, jagung, manggis, tembikai, jambu, nanas, ciku, langsat, nangka, cempedak, kiwi dan epal hijau.
Kebanyakan buah-buahan yang perlu dielakkan adalah terdiri daripada buah-buahan tempatan. Manakala, kebanyakan buah-buahan import seperti anggur, kurma, oren dan strawberi paling sesuai untuk dijadikan pilihan semasa berpantang.
Kurangkan makanan yang diproses
Makanan proses secara asasnya tidak sesuai dinikmati oleh sesiapa sahaja apatah lagi jika dimakan dalam kuantiti yang berlebihan. Semasa menyediakan menu hidangan berpantang, adalah lebih elok jika sekiranya anda tidak mencampurkan unsur makanan yang telah diproses seperti menggunakan mee dan bihun yang diproses untuk hidangan masakan berunsur sup. Sebaliknya, anda boleh mengelakkan mee dan bihun yang diproses ini dengan menghasilkannya sendiri di rumah.
Akhir sekali…
Dalam keinginan kuat anda untuk menjaga pantang larang pemakanan, pastikan anda mengetahui secara tepat keperluan zat dan nutrien dalam badan. Menjauhi makanan tertentu tidak bermakna tiada alternatif untuk makanan tersebut dalam kategori hidangan yang sama. Sebagai contoh, jika ingin mengurangkan pengambilan air putih, anda boleh mencukupkan kuantiti 8 gelas air sehari dengan minuman air halia yang sememangnya diperakui baik untuk proses pembuangan angin berlebihan dalam badan. Begitulah juga untuk kategori hidangan makanan yang lainnya. Pastikan zat dan nutrien yang diambil sentiasa mencukupi untuk menjana semula penghasilan darah dan tenaga dalam badan yang hilang selepas anda bersalin.