Cara-Cara Menjimat Kos Perbelanjaan Bulanan Keluarga

Komitmen kewangan yang sukar diseimbangkan dengan jumlah pendapatan bulanan adalah suatu perkara yang merunsingkan bagi sesetengah keluarga. Kesan ini amat dirasai terutama di kalangan ibu bapa kerana mereka perlu menyara anak-anak yang masih kecil dan bersekolah.

Menyedari keadaan ekonomi keluarga yang semakin mendesak, ramai ibu bapa telah mula mengambil langkah bijak dengan mengurangkan kos perbelanjaan melalui pelbagai cara yang mungkin anda sendiri tidak pernah terfikir untuk mengamalkannya.

Untuk menjimatkan kos perbelanjaan bulanan, pertama sekali anda perlu mendidik diri dan ahli keluarga termasuk anak-anak yang masih kecil untuk mengorbankan kepentingan diri. Apabila setiap ahli keluarga memahami asas perkara ini, barulah mereka mampu mengekang diri dari keinginan yang bersifat material.

Corak perbelanjaan setiap keluarga juga adalah berbeza. Jadi agak sukar untuk kita mengenal pasti punca utama ketirisan perbelanjaan yang anda alami. Oleh itu, penting bagi anda untuk duduk seketika, menyediakan kertas dan pen dan mencatat kembali pusingan perbelanjaan keluarga yang diuruskan selama ini. Mungkin dari situ anda boleh mengesan punca sebenar mengapa anda dan pasangan seringkali menghadapi masalah tidak cukup duit sehingga akhir bulan.

Apapun, terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil bagi menjimatkan kos perbelanjaan keluarga. Semoga tips ini dapat membantu anda dan pasangan menyelesaikan kos perbelanjaan keluarga secara lebih bijak.

Jimatkan penggunaan tenaga elektrik
Jarang sekali rumah yang hanya menggunakan satu lampu sahaja. Rata-rata akan menggunakan lebih daripada satu lampu terutama di bahagian ruang tamu, bilik tidur, bilik mandi, tandas dan dapur. Tahukah anda bahawa penggunaan lampu menyumbang sehingga 20 peratus dalam jumlah bil elektrik bulanan anda? Tiada cara lain menjimatkan penggunaan tenaga elektrik menerusi lampu selain daripada menetapkan masa penggunaan mengikut keperluan sahaja. Sebagai contoh, pastikan setiap ahli keluarga anda menutup lampu setiap kali sebelum tidur. Pastikan juga lampu sentiasa ditutup di mana-mana ruangan rumah jika tidak memerlukan. Buka tingkap dan langsir supaya cahaya matahari dapat menerangi ruangan rumah pada siang hari.

Penggunaan penghawa dingin di dalam rumah adalah salah satu punca bil elektrik melambung tinggi. Namun, ini tidak bermakna anda perlu menghentikan serta merta penggunaannya. Hari ini, telah ramai yang berkongsi tips penjimatan elektrik bagi mereka yang menggunakan penghawa dingin di rumah untuk keselesaan keluarga.

  • Pasang pendingin hawa yang bersesuaian dengan kapasiti saiz ruangan.
  • Tetapkan suhu sederhana antara 24°C – 26°C sahaja. Semakin rendah suhu, maka akan semakin tinggi penggunaan penggunaan elektrik akan berlaku.
  • Tetapkan blower (kipas penyejuk) pada kelajuan yang rendah sahaja.
  • Elakkan memasang pendingin hawa berhampiran dengan tingkap.
  • Tutup pintu dan tingkap setiap kali pendingin hawa dihidupkan.
  • Hadkan tempoh penggunaan melalui tetapan auto-off terutama pada waktu malam.
  • Cuci penapis minimum sekali sebulan.

Anda juga boleh menjimatkan tenaga elektrik dengan menetapkan hari tertentu sahaja untuk kerja-kerja mencuci dan menyeterika pakaian. Gunakan cucian air bersuhu biasa kerana cucian air panas akan memerlukan penggunaan tenaga elektrik yang lebih tinggi.

Image source: feweek.co.uk

Menurunkan taraf polisi insurans / takaful
Pasti ramai di kalangan ibu bapa yang membeli polisi insurans dan takaful untuk perlindungan diri dan keluarga. Bertanya kepada penasihat insurans anda jika terdapat tawaran polisi pada harga yang lebih murah di mana anda mampu membayarnya setiap bulan. Kenal pasti pelan yang sesuai bagi ahli keluarga yang tidak menghadapi masalah kesihatan dan pergantungan terhadap ubat-ubatan secara kekal.

Kerap memasak untuk mengelakkan makan di restoran
Tidak salah untuk membawa anak-anak dan isteri makan di restoran luar sekali-sekala sekadar untuk mempelbagaikan selera dan menikmati suasana. Mungkin sebelum ini anda biasa membawa anak-anak makan di restoran mahal sehingga mencecah perbelanjaan puluhan malahan ratusan ringgit bagi sekali lawatan.

Adalah lebih bijak sekiranya kos yang mahal ini dialihkan ke atas perbelanjaan barangan dapur untuk menu masakan istimewa sendiri di rumah. Barangan mentah yang dibeli seperti ayam, daging, ketam, ikan, udang dan sebagainya mampu bertahan untuk berhari-hari lamanya jika disimpan di dalam peti sejuk.

Bayangkan berapa banyak kos yang mampu dijimatkan jika anda boleh mengekalkan sekurang-kurangnya dengan menyediakan hidangan makan malam selama seminggu di rumah? Memasak sendiri di rumah pasti lebih menjimatkan. Dalam masa yang sama, masakan anda yang sedap itu pasti mampu menambat hati setiap ahli keluarga anda.

Membeli-belah secara atas talian
Hari ini anda boleh membeli pelbagai jenis barangan secara online tanpa perlu membuang duit mengisi duit minyak kereta ke pasaraya dan pasar. Dengan kemudahan teknologi telefon pintar, anda boleh melayari pelbagai laman web pembelian online dan membuat perbandingan harga dengan lebih mudah di hujung jari sahaja.

Produk yang terdapat di kedai dalam talian biasanya lebih murah berbanding dengan kedai fizikal. Ia turut menawarkan promosi potongan harga hebat seperti pada hari Black Friday yang menawarkan penjimatan berganda ke atas wang perbelanjaan anda.

Adalah lebih baik sekiranya anda menetapkan jumlah tertentu sahaja dalam akaun bank untuk tujuan pembayaran secara online. Pembelian secara online juga boleh terdedah kepada budaya pembaziran kerana pengguna menjadi rambang mata apabila melihat pelbagai tawaran promosi dan barangan menarik yang ditawarkan. Jika tidak dapat dikawal, anda mungkin akan menghabiskan perbelanjaan ke atas barangan yang tidak sepatutnya anda beli.

Sediakan bekalan makanan untuk suami dan anak-anak
Selain memasak untuk makan malam, amalkan penyediaan hidangan makanan tengah hari sebagai bekalan untuk suami, isteri dan anak-anak ke sekolah. Anda tidak perlu pening menyediakan begitu banyak lauk sebagai makanan tengah hari mereka. Sejenis lauk utama bersama hidangan sayur seperti terung goreng cili padi yang dimakan bersama dengan nasi putih pasti membuatkan mereka kenyang sehingga ke petang. Anda boleh menambah hidangan sampingan seperti kuih-muih atau buah-buahan sebagai menu pencuci mulut.

Cuba amalkan ini selama sebulan penuh. Dalam pada masa yang sama, berikan wang perbelanjaan sekolah kepada anak-anak separuh atau satu per empat daripada jumlah biasa yang anda berikan kepada mereka. Begitu juga anda dan pasangan. Cara ini dapat mengelakkan anda daripada makan di luar yang semestinya menelan belanja antara belasan sehingga puluhan ringgit setiap hari.

Santapan hiburan untuk keluarga
Rancangan video penstriman berbayar, menonton wayang, membeli DVD dan langganan filem-filem terbaik di televisyen adalah santapan hiburan keluarga secara berbayar yang sering menjadi pilihan ramai ibu bapa sebagai hiburan anak-anak mereka di rumah dan di luar.

Semak semula berapa jumlah peruntukan wang yang anda belanjakan setiap bulan ke atas semua unsur-unsur hiburan ini. Untuk lebih bersederhana, anda sebenarnya hanya memerlukan dua saluran utama. Salah satunya ialah sambungan ke internet di mana ia menjadi satu keperluan pada masa kini untuk kemudahan pelbagai jenis urusan dan ia juga termasuk sebagai salah satu saluran hiburan. Sebagai pilihan, anda boleh melanggan saluran penyedia perkhidmatan televisyen bersatelit dan radio berbayar tanpa tambahan langganan khas yang lainnya seperti tontonan filem box-office dan sebagainya.

Pilih filem-filem terbaru di pawagam yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Rancangan menonton wayang di luar mungkin boleh dilakukan setiap dua bulan sekali. Ini sudah memadai terutama bagi peringkat kanak-kanak yang masih kecil.

Image source: www.mobilefuse.com

Manfaatkan kemudahan pengangkutan awam
Penggunaan pengangkutan awam mungkin hanya sesuai bagi mereka yang tinggal di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur. Pelbagai jaringan pengangkutan awam anda boleh manfaatkan untuk berulang-alik ke tempat kerja. Pertama sekali, cuba catatkan perbandingan kos di antara penggunaan kenderaan sendiri dengan kos penggunaan pengangkutan awam seperti bas dan LRT. Minyak kereta, bayaran tol dan keperluan tempat letak kereta berbayar adalah salah satu punca kegagalan anda untuk mengurangkan kos perbelanjaan bulanan.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.