Postpartum mood disorder sememangnya menjadi suatu kebimbangan di kalangan wanita selepas bersalin. Ia merupakan sindrom tekanan perasaan yang dialami oleh segelintir wanita yang menyebabkan mangsa mengalami kecelaruan emosi. Ini termasuklah perasaan kebimbangan, ketakutan, kemurungan, rasa bersalah, rasa diri seolah-olah tidak berguna, menangis tanpa sebab, hilangnya kemampuan untuk bersosial dan sebagainya.
Semua perasaan negatif ini membawa kepada kegagalan ibu tersebut untuk melaksanakan tanggungjawab terhadap diri sendiri serta mengabaikan bayi kecil mereka yang baru dilahirkan.
Setiap ibu yang baru melahirkan bayi amat berisiko menghidapi postpartum mood disorder. Sindrom ini terbahagi kepada beberapa kategori yang berbeza iaitu berdasarkan kepada intensiti keadaan pesakit. Antara kategori subnya termasuklah postpartum depression (PPD), postpartum psychosis (PPP) dan ‘baby blues’.
Masyarakat Melayu di Malaysia khususnya mengenali masalah ini dengan istilah meroyan. Ramai yang beranggapan bahawa hanya ibu yang melahirkan anak sulung sahaja berisiko mengalami masalah meroyan. Sebenarnya tanggapan sebegini tidak tepat sama sekali. Ibu yang melahirkan anak kedua, ketiga dan seterusnya juga berisiko tinggi mengalami masalah meroyan.
Bila dan apakah penyebab masalah kemurungan di kalangan ibu baru?
Kemurungan selepas bersalin boleh terjadi pada bila-bila masa. Terdapat wanita yang mula menunjukkan simptom kemurungan ini selepas beberapa hari pulang dari hospital, iaitu sebaik sahaja rutin penjagaan bayi secara sepenuh masa bermula di rumah. Ada pula yang hanya mengalaminya selepas beberapa bulan, malahan mungkin setahun selepas melahirkan bayinya.
Antara salah satu penyebab terjadinya kemurungan selepas bersalin adalah kegagalan untuk menyesuaikan diri dengan dunia baru setelah memiliki anak kecil. Mereka yang bergelar ibu bagi anak sulung sukar mengadaptasi diri dengan tugasan hakiki seperti menyusukan, memandikan, membersihkan najis bayi dan berjaga pada waktu malam ketika mendengar bayi menangis.
Kepenatan menggalas pelbagai tugasan dan tanggungjawab ini telah menyebabkan mereka merasa tertekan sehingga terjadilah masalah meroyan. Wanita selepas bersalin seharusnya diberi ruang masa untuk berehat dengan secukupnya bagi memulihkan semula tenaga dalaman.
Punca kemurungan selepas bersalin sebenarnya pelbagai. Antara perkara lain yang boleh mengganggu kestabilan emosi wanita selepas bersalin ialah:
- Masalah ekonomi keluarga yang tidak stabil. Suami gagal menyediakan kelengkapan yang sempurna untuk isteri dan bayi yang baru lahir.
- Kurangnya sikap tanggungjawab dan kerjasama dari pihak suami.
- Komitmen harian yang penuh termasuk tanggungjawab sebagai pekerja.
- Tiada kerjasama dari kalangan kedua belah ahli keluarga sama ada keluarga sendiri mahupun sebelah mentua.
- Kurangnya pendedahan terhadap dunia luar menyebabkan si ibu terkurung di rumah untuk melaksanakan tanggungjawab rumahtangga.
- Meninggalkan amalan berpantang selepas bersalin
- Belum bersedia melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu.
- Kurang terapi fizikal seperti senaman dan tidur yang cukup.
- Terbeban dengan kerja rumah seharian tanpa henti.
- Tiada teman yang boleh diajak berbicara hati ke hati.
Usah biarkan si kecil menjadi mangsa kemurungan
Kita pernah membaca beberapa kes di mana ibu meroyan secara tidak sedar telah membunuh bayi yang baru dilahirkan dengan tangan sendiri. Kejadian sadis seperti mengelar leher bayi yang baru berusia beberapa bulan dengan pisau yang tajam adalah suatu kesedihan yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata! Ada juga yang bertindak mencederakan diri sendiri sehingga membawa kepada kes bunuh diri.
Berita seumpama ini sudah cukup mengerikan dan sudah pasti kita tidak ingin perkara ini berlaku sama ada kepada isteri mahupun sesiapa sahaja dari kalangan ahli keluarga wanita yang bakal melahirkan anak kecil tidak lama lagi.
Bagi ibu yang normal, tangisan bayi yang lapar sudah cukup meruntunkan naluri keibuan mereka. Namun, perkara ini tidak dirasai oleh wanita yang sedang menghadapi kemurungan. Mereka sebaliknya menjadi takut dan berusaha mengelakkan diri dari melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai ibu. Akhirnya, bayi dibiarkan terabai tanpa penjagaan yang sewajarnya.
Siapakah yang seharusnya memainkan peranan dalam menjaga kestabilan emosi seorang ibu baru?
Sokongan paling utama bagi seorang wanita ialah di pihak suami mereka sendiri. Selain itu, ahli keluarga terdekat sama ada keluarga sebelah kandung mahupun keluarga mentua juga perlulah memainkan peranan dengan memberi sokongan moral dan bantuan yang sewajarnya mengikut keperluan ibu tersebut.
Selain suami dan ahli keluarga terdekat, anda juga boleh berharap kepada rakan taulan yang paling rapat dan memahami.
Bagi wanita yang bekerja selepas tamatnya tempoh cuti bersalin, langkah pertama yang anda perlu lakukan sebaik sahaja menyambung semula tugasan adalah berjumpa dengan ketua atau pihak atasan di tempat kerja. Terangkan kepada mereka lebih awal tentang kesulitan yang mungkin anda terpaksa hadapi dalam urusan kerja seperti keperluan mengambil cuti kecemasan demi menjaga anak yang sakit, keperluan masa untuk mengepam susu dan had pergerakan yang mungkin masih dirasai kesan daripada pembedahan Caesarean dan episiotomi ketika bersalin.
Pendek kata, selain daripada anda mengharapkan orang sekeliling memahami emosi dan keadaan diri, adalah lebih baik sekiranya anda menyuarakan terlebih dahulu jenis pertolongan yang anda perlukan. Langkah ini bertujuan untuk memudahkan mereka yang terbabit memahami serta menghulurkan pertolongan mengikut kesesuaian dan kemampuan mereka.
Langkah-langkah yang boleh diambil bagi menstabilkan emosi seorang ibu baru
1) Sediakan makanan berpantang yang sihat untuk si ibu
Makanan berpantang yang mencukupi dari segi zat dan nutrisi sangat membantu para ibu untuk proses penyembuhan luka dalaman dan luaran. Tugas menyediakan makanan berpantang ini seharusnya diambil alih oleh salah seorang ahli keluarga sama ada suami, keluarga kandung ataupun keluarga mentua. Wanita yang baru selepas bersalin tidak seharusnya disuruh menyediakan makanan untuk diri sendiri mahupun untuk keluarga. Jika mampu, anda boleh juga mengambil upah orang yang berkebolehan dalam urusan penjagaan wanita selepas bersalin. Mereka ini sudah semestinya pakar dalam penyediaan menu untuk wanita berpantang.
2) Tidak meninggalkan amalan berpantang seperti bertungku dan berurut
Bertungku dan berurut adalah salah satu kaedah terapi yang berkesan untuk memberikan ketenangan terhadap fizikal dan mental si ibu. Kedua-dua amalan ini bertujuan bagi menjaga kesihatan wanita. Urutan selepas bersalin mampu melancarkan semula perjalanan darah dari hujung kaki sehingga ke hujung kepala. Bertungku dan berurut juga membantu mengeluarkan angin daripada badan dan darah kotor menerusi vagina dengan lancar.
3) Elakkan daripada melakukan kerja-kerja berat
Ibu yang baru melahirkan bayi seharusnya diberikan ruang dan masa untuk berehat secukupnya dari kerja-kerja rumah yang memberatkan. Dalam hal ini, jika suami belum bersedia menyediakan orang gaji yang berkemahiran menggantikan tugas membuat kerja rumah, maka suami seharusnya memainkan peranan mereka. Anda bolehlah mengambil alih tugasan sementara seperti mencuci, menyidai dan melipat pakaian. Anak-anak yang telah besar juga boleh membantu sekadar yang termampu.
Dengan cara ini juga, suami berpeluang untuk belajar menguruskan keadaan bayi mereka seperti memandikan, membersihkan kekotoran najis, menyediakan susu dan sebagainya.
4) Jangan memendam perasaan
Memendam perasaan tanpa berkongsi dengan orang lain adalah salah satu punca tekanan menjadi lebih parah. Sebarang rasa tidak puas hati, keinginan meminta pertolongan, atau rasa sakit yang dialami tidak sewajarnya disimpan bersendirian. Anda seharusnya memahami bahawa kehidupan berumahtangga adalah suatu perkongsian. Oleh itu, jadikan perbincangan dua hala sebagai satu kemestian dalam rumah tangga. Dalam hal ini, suami perlulah menjadi pendengar yang baik dan sabar dalam menghadapi karenah isteri yang mungkin memerlukan seseorang untuk bercerita.
5) Jangan memaksa isteri melakukan hubungan intim
Selepas bersalin, wanita memerlukan tempoh masa penyembuhan dari luka bersalin antara dua sehingga enam minggu. Dalam tempoh ini, perhubungan intim yang dilakukan akan mengakibatkan tekanan terhadap fizikal dan mental seorang wanita. Rasa sakit daripada luka pembedahan dan pengecutan semula rahim pastinya mengambil masa yang agak panjang. Oleh itu, suami tidak seharusnya memaksa si isteri untuk meneruskan hubungan intim.
6) Lakukan amalan rohani
Amalan rohani boleh diamalkan mengikut ajaran agama masing-masing. Pendekatan amalan rohani adalah salah satu cara bagi seseorang mencari ketenangan dalam diri supaya sentiasa positif, serta persediaan dalam menghadapi apa jua bentuk cabaran. Amalan rohani mampu mendekatkan diri dengan Pencipta anda, sekaligus merasa yakin akan setiap pertolongan dalam setiap kesukaran yang dihadapi termasuk dalam urusan menjaga diri dan keluarga.
Featured image source: www.lightmindcounseling.com