Rata-rata ibu baru sering tertanya-tanya adakah susu badan mereka cukup untuk bayi. Ada ibu yang mengalami masalah susu tiada, susu tidak keluar dan susu sedikit. Masalah-masalah ini merunsingkan ibu dan sesetengahnya terfikir untuk memberikan bayi susu formula. Bagaimanakah untuk mengatasi masalah kurang susu? Ketahui 10 rahsia untuk ibu merangsang pengeluaran susu badan.
- Terus menyusukan bayi sebaik sahaja melahirkan. Pada ketika ini, peranan pihak hospital adalah amat penting untuk membantu ibu baru menyusukan anak mereka selepas sedar daripada bersalin.
- Bertenang dan relaks semasa menyusukan bayi. Emosi ibu turut mempengaruhi pengeluaran susu badan.
- Urut payudara. Lakukan urutan lembut pada sekeliling payudara bagi merangsang susu badan untuk keluar.
- Kerap susukan bayi. Lazimnya, ibu mengalami masalah susu sedikit kerana tidak menyusukan bayi dengan kerap. Sebaik-baiknya, susukan bayi antara 8 hingga 12 kali sehari dengan tempoh minimum 10 minit sehingga 30 minit bagi merangsang pengeluaran susu ibu berjalan lancar.
- Mandi air panas. Air panas dapat meningkatkan penghasilan susu badan.
- Pam susu. Bagi ibu bekerjaya, walaupun bayi tiada di sisi, biasakan diri untuk mengepam susu dalam tempoh tiga jam sekali. Biarpun ibu berada di rumah dan bayi sedang tidur, anda masih perlu mengepam susu untuk melancarkan perjalanan susu badan.
- Ambil makanan yang sihat. Ada pendapat yang mengatakan sesuatu jenis makanan dapat merangsang susu badan. Sebaik-baiknya, anda ikuti pola pemakanan yang betul. Antara makanan yang disarankan dapat membantu peningkatan susu ibu ialah lobak putih dan sawi.
- Minum air kosong. Pastikan tubuh anda sentiasa terhidrat dengan mengamalkan minum air kosong enam hingga lapan gelas sehari.
- Makanan tambahan. Terdapat makanan tambahan yang boleh meningkatkan pengeluaran susu. Walau bagaimanapun, berbincanglah dengan doktor anda sebelum mengamalkan makanan tambahan bagi mengelakkan kesan sampingan kepada bayi.
-
Dua belah payudara. Jika bayi anda habis menyusu di sebelah payudara, cuba tawarkan payudara sebelah lagi bagi membiasakan dia dengan kedua-dua belah payudara. Bayi akan menghisap payudara sebelah jika dia masih lapar.
Featured image source: iStock