Sesetengah bayi memang ditidurkan dalam bilik nurseri sendiri, dan ada pula yang hanya akan memiliki bilik sendiri apabila mencecah umur 5 tahun atau lebih. Jika si manja anda sudah bersedia untuk tidur di bilik sendiri, bilik tersebut perlulah dihiasi dengan perabut dan alatan-alatan lain yang bersesuaian dengan umur si manja anda.
Ikutilah tip-tips berikut supaya dapat insprasi atau idea yang mungkin dapat membantu anda membuat pilihan hiasan yang paling sesuai. Hiasan di ruang bilik anak boleh menjadi salah satu penarik untuk membuatkan si kecil berminat tidur di dalam biliknya sendiri. Jadi, hiasilah bilik si manja agar kelihatan nyaman dan menarik.
1. Gabungkan sekurang-kurangnya dua warna berkontra
Ini dapat menaikkan seri bilik anak anda. Ruangan tidur dan ruangan mainan di bilik berkenaan serta ruang rehat harus diasingkan supaya dapat dibezakan fungsi ruang. Permainan warna dan perabot perlulah berpadanan supaya menimbulkan suasana bilik yang segar.
2. Warna lembut untuk anak perempuan
Jika hendak, anda boleh pilih warna yang sesuai untuk anak gadis anda bagi menyerlahkan ruang dia yang tersendiri. Rekaan susun perabot yang melekap di dinding memberikan ruang yang selesa di samping menjimatkan ruang.
3. Gaya klasik yang menarik
Gaya klasik termasuklah perabut jenis kayu yang berwarna coklat gelap, atau hitam. Jika dipadankan dengan warna putih, bertambah berseri bilik anak anda! Hiasan tambahan seperti bunga, cermin dan tirai langsir wajar diambil kira supaya berpadanan dengan tema.
4. Susunan yang sesuai dengan citarasa anak
Susunan perabut dan alat-alat lain di bilik si kecil perlulah bersesuaian dengan citarasa mereka dan juga perlu praktikal supaya mereka dapat mencapai benda atau keperluan dengan mudah. Susunan yang sesuai akan menimbulkan perasaan megah dalam diri mereka di mana lebih mudah untuk mereka diajar untuk menjaga kebersihan dan kecantikan bilik mereka itu.
Jika anak anda cerewet warna
Hiasi bilik anak anda mengikut warna kegemarannya. Namun, jika anak anda hanya menyukai satu jenis warna sahaja, cuba gabungkan tona-tona berbeza warna tersebut – contohnya biru laut, biru tua serta tona-tona kebiruan yang lain bagi menyerikan lagi ruang bilik. Jika anda bijak bermain dengan warna, ruang bilik yang kecil akan kelihatan luas dan ruang yang suram akan menjadi ceria.
5. Ruang mainan yang disusun dan mudah dikemas.
Sediakan ruang mainan yang menarik namun mudah dikemaskan. Pastikan setiap mainan ada tempat simpanannya supaya mudah untuk anak anda mengemaskan biliknya selepas bermain. Jika katil si manja jenis yang mempunyai ruang besar di bawah (lazimnya katil bertangga), anda dapat juga menyediakan sudut mainan di bawah katil.
6. Warna tema
Pemilihan perabot yang berpadanan dengan warna tema dapat menonjolkan suasana keceriaan kepada anak anda. Jika menggunakan banyak warna, minimakan hiasan lain supaya tidak kelihatan terlalu sarat.
7. Almari baju yang praktikal tetapi padan dengan tema bilik
Jika anda menghiasi bilik si kecil dengan perabut berasingan (bukan jenis set), pastikan almari baju anak anda jenis yang bersesuaian untuk umur dan ketinggiannya supaya mudah baginya untuk mencapai bajunya dan juga untuk dia menyusun almarinya dengan sendiri.
8. Hiasan di sekeliling biar membawa seri
Dari setiap sudut, hiasan bilik anak anda perlu teliti supaya suasana bilik ‘naik seri’ dan tidak kusam. Jika perlu, berikan perhatian kepada hiasan seperti cadar, langsir, deko dinding dan sebagainya.
Jangan lupa aspek keselamatan
Bilik anak anda harus selamat dan bebas daripada risiko bahaya seperti wayar terdedah, tikar yang terlalu licin, bucu-bucu yang tajam, dan sebagainya.
Featured image source: Pinterest