Menangis Sehingga Muka Menjadi Biru

Adakah anda pernah berdepan dengan situasi ini; muka anak berubah menjadi biru semasa menangis akibat menahan nafas? Ikutilah penjelasannya.

Breath-holding spell (menahan nafas) adalah keadaan di mana bayi atau kanak-kanak menangis kerana sakit, takut atau marah seterusnya muka bertukar menjadi pucat atau biru. Breath-holding spell berlaku secara tiba-tiba, tidak disengajakan dan tidak dapat dikawal oleh kanak-kanak tersebut.

Kebiasaannya, episod menjadi biru itu mengambil masa kurang dari 1 minit, ia mungkin kelihatan seperti sawan namun sekiranya ujian EEG dilakukan (untuk memeriksa gelombang sawan di otak) ia adalah normal.

Walaupun episod breath-holding spell kelihatan menakutkan buat ibu bapa dan penjaga namun ianya biasanya tidak membawa kemudaratan kepada kanak-kanak tersebut.

Statistik
Episod breath-holding sebenarnya agak lazim berlaku dan kira-kira 4% hingga 5% kanak-kanak mengalaminya. Ia bermula dari usia 6 hingga 18 bulan dan kebanyakannya berhenti berlaku ketika kanak-kanak berumur 4 hingga 7 tahun. Adalah amat penting bagi ibu bapa membawa anak berjumpa dengan doktor pakar bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut. Ini untuk memastikan episod biru atau cyanosis bukanlah berpunca daripada masalah jantung, paru-paru atau sawan.

Image source: www.drkids.co.il

Rupa dan deskripsi
Breath-holding spell kerap kali tercetus apabila kanak-kanak atau bayi itu marah, sakit atau kecewa (frustrated). Kanak-kanak itu akan mula menangis dan tidak mengeluarkan suara walaupun seolah-olah kelihatan seperti masih menangis. Mereka akan menghela nafas keluar dan tidak menarik nafas masuk.

Terdapat dua jenis breath-holding spell bergantung kepada perubahan warna muka kanak-kanak.

  • Episod cyanosis (biru) tercetus apabila kanak-kanak itu marah atau kecewa. Biasanya, kanak-kanak akan menangis kuat selama kurang daripada 15 saat, kemudian menjadi senyap, berhenti bernafas dan dengan pantas muka bertukar menjadi biru. Kebiasaannya, mereka akan menjadi lembik dan pengsan. Kadang-kadang badan mereka boleh mengeras seolah-olah mereka mendapat sawan. Tidak lama selepas itu, mereka akan menarik nafas yang dalam, bernafas seperti biasa dan mula sedarkan diri namun mungkin akan kelihatan penat selepas episod breath-holding spell tersebut.
  • Selain dari cyanosis, kanak-kanak atau bayi boleh mendapat serangan pucat yang selalu tercetus oleh kesakitan atau ketakutan. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak berlari, tiba-tiba terjatuh dan kepala terhantuk. Ini boleh mencetus breath-holding spell bukan kerana kecederaan di kepala tetapi lebih kepada sakit yang tidak dijangka dan berlaku secara tiba-tiba. Kanak-kanak tersebut akan berteriak sekejap, bertukar menjadi pucat seterusnya pengsan dan mungkin kelihatan sedikit kebiruan. Acap kali badan mengeras atau menggigil seolah-olah mendapat serangan sawan dan berlaku tidak sampai 1 hingga 2 minit. Selepas itu, mereka akan sedarkan diri namun mungkin akan kelihatan letih dan tidur untuk beberapa jam. Episod ini dipanggil Reflex Anoxic Seizure di dalam bahasa perubatan.

Pada peringkat permulaan, breath-holding spell terjadi setiap beberapa minggu atau bulan namun ia mungkin akan menjadi lebih kerap dan boleh berlaku hampir setiap hari. Walaupun breath-holding spell kelihatan menakutkan namun ia sebenarnya tidak membawa kesan kepada kanak-kanak tersebut seperti kerosakan otak atau penyakit epilepsi (sawan berulang-ulang).

Punca
Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami breath-holding spell sebenarnya adalah sihat. Breath-holding spell berlaku secara tiba-tiba dan tidak dijangka. Ia tidak dapat dikawal oleh kanak-kanak tersebut dan tidak bermaksud yang kanak-kanak itu mengalami masalah tingkah laku. Gangguan emosi mencetus tindak balas refleks yang menyebabkan perubahan dari segi pernafasan, nadi dan tekanan darah.

Ujian
Pemeriksaan dan pengambilan sejarah pesakit secara terperinci termasuklah deskripsi episod breath-holding sudah memadai untuk membuat diagnosis. Ujian seperti scan otak (CT atau MRI) mahupun EEG untuk melihat gelombang sawan di otak selalunya tidak diperlukan. Namun jika simptom tidak tipikal maka ujian lanjutan mungkin dilakukan.

Rawatan
Sebenarnya tiada rawatan untuk breath-holding spell melainkan jika kanak-kanak itu mengalami masalah kurang sel darah merah (anemia). Sekiranya darah merah rendah, maka zat besi tambahan mungkin boleh diberi untuk mengurangkan kekerapan episod breath-holding. Tindak balas biasa ibu bapa atau penjaga sekiranya anak menjadi biru atau pucat adalah dengan mengangkat dan mendukung kanak-kanak. Namun, hakikatnya mendukung anak anda boleh menyebabkan episod cyanosis (biru) itu lebih berpanjangan. Begitu juga jika anak pengsan, baring dan meletakkan kepalanya lebih rendah daripada badan boleh mempercepat dan melancarkan peredaran darah ke otak. Sebaiknya, kanak-kanak itu diletakkan baring mengiring dan di pantau sehingga kanak-kanak itu mula bernafas dengan baik dan warna berubah kepada sedia kala.

Adalah amat penting untuk tidak terlalu memanjakan dan memberi perhatian yang lebih hanya semata-mata untuk mengelakkan daripada anak anda menangis agar tidak mendapat breath-holding spell. Memang ia sukar, namun tindakan ini hanya akan menyebabkan kanak-kanak itu mendapat masalah tingkah laku di kemudian hari. Layanan anda seharusnya sama seperti anak anda yang lain.

Dapatkan bantuan jika perlu Bukan mudah untuk membesarkan anak yang mengalami breath-holding spell. Sebagai ibu bapa sekiranya anda merasa tertekan, adalah baik untuk mendapatkan bantuan dari pakar psikologi atau pakar terapi untuk mempelajari mengenai ‘parenting technique’.

Kesimpulannya
Breath-holding spell tidak memudaratkan anak anda. Ia tidak sepatutnya menyebabkan kerosakan otak atau menjejaskan perkembangan anak anda. Ia mungkin mengerikan untuk melihat anak anda menangis dan menjadi biru atau pucat lalu longlai. Ingatlah bahawa kekerapan breath-holding spell berkurangan apabila kanak-kanak berusia 2 tahun dan hampir 50% tidak mengalaminya ketika mereka mencecah 4 tahun. Sekiranya anak anda mempunyai masalah biru atau pucat ketika menangis, berjumpalah dengan doktor untuk kepastian dan pemeriksaan lanjut.

Artikel diambil daripada laman www.doktorbudak.com dan ditulis oleh Pakar Pediatrik, Dr Maryamjameelah Razali, MBBS(UIA), MRCPCH(UK)

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.