Memelihara Haiwan Semasa Hamil

Haiwan peliharaan telah dianggap sebagai salah satu anggota keluarga bagi mereka yang memeliharanya. Tidak dapat dinafikan, kewujudan haiwan peliharaan memberikan keseronokan dan hiburan kepada seisi keluarga. Malah, nama timangan yang diberikan kepada haiwan peliharaan menunjukkan betapa rapatnya ikatan antara mereka. Namun, wajarkah wanita hamil terus membela haiwan peliharaan?

Tiada masalah untuk anda membela haiwan peliharaan, namun yang menjadi halnya adalah apabila anda disahkan mengandung. Bukan semua haiwan peliharaan selamat untuk kehamilan anda. Wanita hamil perlu berhati-hati terutama jika haiwan peliharaan mereka dibela di dalam rumah. Anda perlu tahu bagaimana penjagaan haiwan peliharaan yang betul dan selamat semasa kehamilan.

Perihal kucing peliharaan
Anda mungkin pencinta kucing, namun semasa hamil anda perlu berhati-hati dengan si comel ini. Awas dengan toxoplasma semasa anda mengendalikan sisa buangan kucing. Toxoplasma iaitu sejenis protozoa yang terdapat pada najis kucing adalah berbahaya kepada ibu hamil dan kandungannya (terutama semasa trimester pertama). Jika infeksi berlaku pada kandungan, bayi yang lahir berkemungkinan akan mempunyai masalah seperti sawan, masalah perkembangan dan penglihatan. Anda mungkin akan terkena toxoplasma semasa membersihkan pasir kucing atau tersentuh tanah yang mana mengandungi najis kucing semasa anda sedang berkebun.


Awas!
Anda juga boleh mendapat toxoplasma dari makanan yang tidak dimasak dengan sempurna, terutamanya daging kambing atau daging rusa. Bukan itu sahaja, anda juga perlu membasuh tangan selepas mengendalikan makanan mentah semasa di dapur.


6 LANGKAH UNTUK MENGELAK DARIPADA TOXOPLASMA:

  • Minta pasangan anda untuk mengemas bekas pasir kucing anda setiap hari.
  • Biar kucing anda berada di dalam rumah sepanjang kehamilan anda dan usah biarkannya keluar dari rumah
  • Elakkan daripada menyentuh kucing jalanan.
  • Basuh tangan anda menggunakan sabun dan air sejurus selepas menyentuh najis kucing atau selepas berkebun.
  • Jangan berikan kucing anda makanan yang mentah.
  • Pakai sarung tangan semasa membuang najis kucing atau berkebun.

Alergi bulu haiwan
Sebagai pencinta haiwan atau kucing, anda berkemungkinan untuk mendapat alergi bulu kucing. Jadi, anda boleh berjumpa dengan doktor anda untuk mengetahui ubat alergi yang boleh dan tidak boleh diambil semasa hamil.

Namun, tiada cara untuk mengetahui sama ada bakal bayi anda alergi kepada bulu haiwan peliharaan anda ataupun tidak. Sesetengah kajian menyatakan bahawa kanak-kanak yang membesar dengan haiwan peliharaan adalah kurang berisiko mendapat alergi kepada bulu binatang, namun masih tiada sebarang pengesahan tentang perkara ini. Jika anda mengesyaki bayi anda mengalami alergi kepada bulu haiwan, dapatkan nasihat daripada pakar pediatrik tentang hal ini.

Hamster dan tikus belanda
Haiwan peliharaan bukanlah semata-mata kucing sahaja. Jika anda membela hamster dan tikus belanda (guinea pig), haiwan ini membawa virus yang dipanggil lymphocytic choriomeningitis (LCMV), iaitu jangkitan yang boleh menyebabkan masalah keguguran atau kecacatan kelahiran yang teruk. Jadi, jika anda membela haiwan-haiwan seperti ini, elakkan daripada membersihkan sangkarnya, dan juga, elak daripada menyentuh air liurnya, kencing, darah atau najisnya. Sesetengah ibu hamil akan meletakkan sangkar haiwan ini di bilik atau tempat lain supaya mereka tidak terlalu berdekatan dengan haiwan peliharaan mereka itu sepanjang kehamilan.

Haiwan-haiwan lain
Sementara itu, jika anda pembela haiwan seperti labi-labi ataupun haiwan eksotik lain, anda mungkin perlu mengambil berat akan kuman seperti salmonella yang dibawa oleh mereka. Elakkan daripada berdekatan dengan haiwan reptilia anda buat sementara waktu – mintalah bantuan suami atau rakan untuk membersihkan tempatnya, memberikannya makan dan sebagainya. Jika anda tersentuh haiwan tersebut, pastikan anda terus mencuci tangan dan juga pastikan tempat-tempat yang disentuhi oleh haiwan tersebut juga dibersihkan.

Elak daripada si comel tertimpa perut anda
Bagi mereka yang membela anjing ataupun kucing yang besar, elakkan daripada haiwan ini tertimpa perut anda. Ada kalanya, tanpa diduga, haiwan peliharaan anda ingin bermesra dengan tuannya yang mengandung dan melompat sehingga terkena perut. Begitupun, anjing atau kucing dikatakan tidak memberi risiko yang banyak kepada tuan mereka yang hamil. Malah ramai yang mendapati bahawa haiwan-haiwan peliharaan ini akan menjadi lebih penyayang dan manja dengan tuannya semasa tempoh tersebut. Namun, ingat bahawa anda masih perlu berhati-hati!


Featured image source: blog.pregistry.com/pregnancy-babies-cats

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.