Anda dan suami sudah bersedia untuk menambah bilangan ahli keluarga? Bagi pasangan yang sedang merancang untuk hamil, debaran menantikan ucapan “Tahniah positif” atau “Tahniah! Anda Hamil!” adalah saat yang mengujakan. Namun ia memerlukan anda bersabar. Selepas anda bersama suami, bilakah waktunya untuk anda mengetahui anda sudah ‘lekat’? Ketahui perkara yang perlu diambil kira saat pertama kali melakukan ujian kehamilan.
Mungkin ada di kalangan wanita yang tidak tahu bilakah waktu yang sesuai untuk mereka melakukan ujian kehamilan. Ada yang baru lewat haid sehari sudah melakukan ujian kehamilan. Ada juga yang tidak datang haid dua bulan, baru hendak melakukan ujian kehamilan. Kebiasaannya, masalah ini sering dihadapi oleh pasangan yang baru berkahwin memandangkan kurangnya pengetahuan asas tentang perkara ini, dek kerana belum berpengalaman. Namun, jangan tidak tahu, ada juga segelintir ibu yang sudah berpengalaman hamil masih tidak tahu bilakah waktu yang sesuai untuk mereka melakukan ujian kehamilan.
Anda hamil apabila telur telah disenyawakan dengan sperma. Bagaimanapun, adalah mustahil untuk mengetahui mengenai kehamilan anda dengan kadar segera kerana kehamilan hanya boleh dikesan sebaik sahaja badan mengeluarkan hormon human chorionic gonadotrophin (hCG). Dan hormon ini tidak akan terhasil sehinggalah telur yang telah disenyawakan menempel pada dinding rahim.
Info
Hormon hCG di dalam tubuh manusia dihasilkan oleh plasenta iaitu uri yang menempel pada dinding rahim selepas telur disenyawakan.
Bagi sesetengah wanita, penempelan telur mungkin akan berlaku enam hari selepas ovulasi manakala penempelan telur bagi sesetengah wanita lain pula hanya terjadi selepas mereka terlewat haid.
Pada awal kehamilan, kandungan hCG akan meningkat dua kali ganda pada setiap dua hari. Kehadiran hormon hCG boleh dikesan melalui urin yang terdapat dalam air kencing mereka. Bagaimanapun, kehadiran urin ini juga turut boleh diukur dengan menggunakan ujian darah, tetapi ia perlu dilakukan di dalam makmal.
Justeru, cara paling mudah untuk mengesan kehamilan adalah dengan menggunakan alat penguji kehamilan yang bukan hanya terdapat di klinik atau di hospital, tetapi juga banyak dijual di farmasi. Ia boleh dilakukan secara sendiri di rumah dengan membaca manual ringkas yang diberikan.
Tahukah anda?
Ujian darah adalah lebih sensitif daripada ujian air kencing. Melalui ujian darah, kehamilan anda sudah boleh dikesan
kira-kira seminggu selepas ovulasi.
Ujian Darah vs Ujian Air Kencing
Meskipun ujian darah boleh dilakukan lebih awal bagi mengetahui kehadiran hormon hCG (seminggu selepas ovulasi), namun sekarang ini, ada juga alat penguji kehamilan yang sudah boleh mengesan hormon hCG seawal empat hari sebelum tempoh haid (bagi mereka yang mempunyai kitaran haid normal).
Mungkin bagi wanita yang sudah lama merancang untuk hamil tidak mempunyai keberanian untuk terus pergi berjumpa doktor bagi memeriksa keputusan kehamilan. Kebanyakan wanita kini lebih selesa memilih untuk melakukan ujian kehamilan di rumah kerana lebih privasi. Selain itu, keputusannya juga adalah tepat sama seperti jika melakukannya di klinik atau hospital. Paling penting ialah keputusan segera bakal diperoleh dalam tempoh beberapa minit selepas ujian selesai dilakukan.
*Jika anda masih boleh bersabar, lakukan ujian kehamilan sehari selepas tarikh anda sepatutnya datang haid. Namun, waktu terbaik dan tepat untuk mengesan hCG ialah dua minggu selepas anda lewat haid.
Ujian air kencing
Anda perlu membeli alat penguji kehamilan jika ingin melakukan kaedah ini. Anda boleh menitiskan beberapa titik air kencing pada alat tersebut atau mencelup alat penguji di dalam bekas air kencing anda. Selepas beberapa minit, indikator pada alat akan menunjukkan keputusan sama ada anda hamil atau tidak. Anda boleh melakukan ujian ini sebaik sahaja anda terlewat waktu haid anda.
Ujian darah
Terdapat dua jenis ujian darah: kualitatif hCG dan kuantitatif hCG (juga dipanggil ujian hCG beta). Anda boleh mengambil ujian ini dalam masa tujuh hingga 12 hari selepas waktu ovulasi, iaitu lebih awal daripada ujian air kencing. Bagaimanapun, keputusannya tidak boleh didapati secara terus. Doktor akan mengambil contoh darah anda. Ujian kualitatif hCG mengesan kehadiran hormon pada darah anda sementara ujian kuantitatif hCG akan mengukur kandungan hormon dengan tepat.
Tips
- Bagi mendapatkan keputusan yang tepat, lakukan ujian pada urin pertama anda di waktu pagi kerana kandungan hCG adalah sangat tinggi ketika itu.
- Jika anda terlepas urin pertama, anda masih boleh menguji kandungan hCG pada bila-bila masa, namun anda dinasihatkan untuk tidak membuang air kecil 4 jam sebelum ujian dilakukan.
- Jangan minum terlalu banyak air bagi mengelakkan keputusan ujian tidak tepat.
Cara menggunakan alat penguji kehamilan
- Baca label dan arahan. Ikuti arahan dan langkah yang disertakan semasa anda membeli alat penguji kehamilan.
- Selepas anda melakukan ujian (sama ada menitiskan urin pada kayu pengukur atau mencelupkan kayu pengukur pada bekas urin), tunggu beberapa minit sebelum lihat hasilnya.
- Jika terdapat dua garisan muncul, kebarangkalian anda hamil adalah 99 peratus. Bagaimanapun, jika hanya satu garisan muncul (hasilnya negatif), anda mungkin tidak hamil.
- Jika keputusan ujian positif (hamil), anda perlu merujuk kepada doktor bagi mengesahkan kehamilan anda. Jika anda ragu-ragu dengan ujian tersebut (keputusan ujian negatif), anda boleh merujuk kepada doktor dengan melakukan ujian imbasan.