Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Darah Tali Pusat Bayi

Tahukah anda apakah kepentingan darah tali pusat bayi dan juga manfaatnya jika disimpan? Penyelidikan darah tali pusat atau cord blood telah lama wujud di Malaysia. Mungkin anda boleh mempertimbangkan untuk menyimpan darah tali pusat bayi anda selepas lahir nanti selepas membaca artikel ini.

Di kalangan orang Melayu, plasenta dianggap sebagai bahan buangan yang tidak diperlukan sebaik sahaja kelahiran bayi. Darah tali pusat merujuk kepada darah yang berada di dalam salur tali pusat dan plasenta yang keluar bersama-sama dengan bayi semasa lahir.

Image source: www.sifunutrisi.com

Mengikut amalan tradisi Melayu, plasenta atau uri dan tali pusat akan dibersihkan dahulu sebelum ditanam. Menurut kepercayaan, uri perlu ditanam sebagai menghormati fungsinya selama sembilan bulan bersama-sama bayi di dalam kandungan. Akan tetapi, kajian dan penyelidikan menemui bahawa darah tali pusat mengandungi sumber sel stem yang boleh menyelamatkan nyawa bayi anda dan juga ahli-ahli keluarga yang mungkin akan memerlukannya di masa depan!

KAITAN ANTARA DARAH TALI PUSAT, PLASENTA DAN SEL STEM
Darah tali pusat atau biasanya disebut sebagai sel stem ialah sel master atau sel utama yang membentuk pelbagai tisu, organ dan sistem dalam tubuh kita. Sel stem yang ada di dalam tali pusat adalah sel darah awal yang biasanya ditemui di dalam tulang sum-sum.

Sel ini boleh membentuk tiga jenis sel darah matang yang terdapat pada tubuh kita iaitu sel darah merah, sel darah putih dan platelet (sel yang akan memulihkan kecederaan). Sesetengah penyakit serius seperti kanser kanak-kanak, penyakit darah dan kerosakan sistem imun memerlukan rawatan yang menggunakan radiasi dan kemoterapi – cara-cara rawatan ini lazimnya akan membunuh sel-sel kanser dan sebagainya. Tetapi malangnya, sel-sel yang sihat turut dimusnahkan juga.

Sel stem boleh menghasilkan darah yang dapat dipindahkan kepada kanak-kanak yang sakit dan ia membantu menghasilkan sel-sel baru yang sihat. Rawatan ini dapat membantu daya penghasilan darah kanak-kanak itu di samping mempertingkatkan sistem imun tubuhnya.

MENYIMPAN DARAH TALI PUSAT
Sel-sel stem banyak terdapat di dalam darah tali pusat bayi. Ia boleh digunakan untuk menyelamatkannya jika mendapat penyakit serius, dan juga menyelamatkan ahli keluarga anda yang lain. Menyimpan darah tali pusat boleh dilihat sebagai persiapan awal sekiranya terdapat gejala kesihatan serius dalam ahli-ahli keluarga di masa depan.

Bagi kebanyakan ibu bapa yang terdedah kepada pengetahuan tentang sel stem, mereka menganggap ia sebagai insurans untuk anak dan keluarga mereka. Namun, kesedaran tentang hal ini masih belum menyeluruh terutama mereka yang tinggal di luar bandar.


INFO TAMBAHAN
Sel stem boleh juga diperoleh daripada tulang sum-sum, akan tetapi prosedurnya lebih berisiko berbanding pengambilan darah tali pusat bayi.


PROSEDUR MENGAMBIL DARAH TALI PUSAT
Pengumpulan darah tali pusat dilakukan sebaik sahaja selepas kelahiran normal atau pembedahan, iaitu semasa bayi dipisahkan daripada tali pusat. Proses ini menggunakan kit istimewa. Pengeluaran darah daripada pembuluh darah tali pusat dilakukan oleh pakar yang terlatih.

Biasanya, selepas kelahiran normal, tali pusat akan dikepit pada kedua-dua hujungnya dan dipotong. Darah tali pusat akan dikumpul sebelum plasenta dikeluarkan. Satu bahagian tali pusat akan dilepaskan dan sebuah tiub kecil akan dimasukkan ke dalam pembuluh darah tali pusat. Selain itu, darah ini juga boleh dikumpulkan daripada permukaan plasenta.

Prosedurnya berbeza sedikit untuk kes kelahiran secara pembedahan, di mana darah tali pusat hanya boleh dikumpul selepas ibu dibedah. Malah, cara ini memberikan kuantiti darah tali pusat yang kurang berbanding kelahiran normal.

Lazimnya, proses pengumpulan darah tali pusat untuk penyimpanan sel stem ini adalah mudah, tidak menyakitkan dan selamat untuk bayi anda.


URUSKAN SEAWAL-AWALNYA
Ibu bapa perlu membuat urusan awal dengan bank darah tali pusat pilihan mereka. Lazimnya, sampel darah akan diambil dan diproses dalam tempoh 48 jam untuk memastikan sel stem mempunyai kadar ketahanan yang lebih tinggi.


HUBUNGILAH BANK SEL STEM PILIHAN ANDA!
Berdasarkan kajian-kajian, sel stem boleh bertukar kepada sel-sel dan tisu gantian untuk merawat lebih daripada 70 jenis penyakit, termasuki penyakit Parkinson’s, Alzheimer, leukemia, strok, serangan jantung, kencing manis, talasemia, anemia, lumpuh saraf tunjang dan banyak lagi.

Berbanding sel stem yang didapati daripada tulang sum-sum dewasa, sel stem darah tali pusat adalah lebih mudah diterima oleh badan dan mempunyai risiko penolakan yang rendah. Masa yang diambil hanyalah lima minit sahaja untuk mengumpul sel stem selepas bayi dilahirkan.

Simpanan sel stem amat disarankan terutama bagi mereka yang mempunyai sejarah ahli keluarga berpenyakit genetik seperti talasemia atau leukemia. Menyimpan darah tali pusat bayi amat digalakkan kerana ia mungkin akan diperlukan oleh ahli keluarga anda untuk kegunaan pada masa akan datang.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.