Adakah anak anda cepat tersinggung atau tidak dapat menerima teguran dengan hati terbuka? Teruskan membaca untuk mengetahui kemungkinan di sebaliknya.
Interaksi sihat kunci teguran yang efektif
Kanak-kanak akan melalui pelbagai situasi yang akan mengajar mereka tentang kelakuan yang wajar dan tidak wajar. Adakalanya mereka akan tersinggung akibat malu dengan perbuatan sendiri atau pun tidak dapat menerima teguran dengan baik. Sebagai ibu bapa, adalah menjadi tugas kita untuk menetapkan batasan untuk anak namun kita perlu juga mengajar mereka menerima kesan perbuatan mereka dengan baik. Perkara ini memerlukan kesabaran dan juga teknik keibubapaan yang sempurna.
Ingatkah apa yang akan terjadi apabila kita sendiri melakukan kesalahan semasa kecil dahulu? Sudah pasti kena marah atau dijeling dengan tajam sekali. Tujuan ibu bapa membuat demikian ialah supaya kita akan mengaitkan sesuatu perbuatan atau pun kelakuan dengan perasaan malu atau takut, dan seterusnya menjauhi daripada mengulangi perbuatan tersebut di masa hadapan.
Perasaan malu sebagai faktor mengelak daripada kesalahan
Rasa bersalah dan malu adalah sebahagian daripada kehidupan dan pembelarajaran kerana tanpa kewujudannya, masyarakat pasti huru hara dengan pelbagai kelakuan dan perbuatan yang negatif dan para pesalah pula tidak perlu bertanggung jawab. Masyarakat memerlukan kita bertanggungjawab ke atas tindakan kita. Oleh itu, apabila kita melakuan kesalahan, kita dituduh ke atas kesalahan itu, mengakibatkan kita berasa bersalah dan malu. Ini cara masyarakat memajukan individu dengan mengurangkan dan mencegah kesalahan, kerana sebahagian daripada motivasi dan tindakan ini adalah untuk mengelak daripada merasa malu dan bersalah, dan oleh itu, menjauhi daripada perbuatan yang tidak baik. Namun, apabila kita mengajar perkara ini kepada kanak-kanak, kita juga perlu membantu mereka menyedari bagaimana perbuatan atau kelakuan negatif mereka meninggalkan kesan kepada orang lain dan persekitaran dan bukan sahaja terhadap diri mereka sendiri.
Bukan semua kanak-kanak serupa – ada yang tak beberapa mengambil hati apabila kena tegur (walau pun mereka tetap belajar daripada insiden tersebut), dan ada pula yang mudah tersinggung apabila dimarah atau ditegur dengan kasar. Ibu bapa harus ingat bahawa kanak-kanak masih mentah dan sedang belajar, dan kesilapan pasti berlaku, lebih-lebih lagi jika mereka bertindak mengikut emosi masing-masing. Kanak-kanak yang bertindak mengikut emosi juga merupakan golongan yang cepat terasa apabila dimarah atau ditegur, dan mereka perlu diberikan perhatian yang wajar supaya mereka tidak akan melalui kesan negatif yang berpanjangan.
Berikan fokus kepada perkara yang betul
Bukannya perkara luar biasa bagi ibu bapa atau guru untuk memarahi kanak-kanak apabila mereka membuat kesilapan, tetapi, adakah kanak-kanak itu tahu sebab mereka ditegur atau dimarahi? Kemungkinan besar, perkataan atau ekspresi yang digunakan oleh orang dewasa menyebabkan kanak-kanak salah faham dan mengaitkan teguran itu dengan diri mereka, dan berasa malu terhadap diri sendiri, bukannya terhadap kelakuan mereka. Ibu bapa dan guru perlu berhati-hati agar tidak terlalu fokus pada kesalahan yang akan mewujudkan lebih banyak perasaan bersalah dan malu dalam diri kanak-kanak. Di sini, kita sebagai dewasa harus menjelaskan bahawa teguran itu dimaksudkan untuk perbuatan mereka dan bukannya terhadap diri mereka sendiri.
Contohnya, daripada mengatakan: Ada apa dengan kamu ini? Kenapa buat perkara bodoh macam ini?
Lebih baik jika anda mengatakan: Perbuatan kamu itu tidak elok dan mungkin akan mencederakan orang lain. Jangan buat lagi, ok?
Dengan cara ini, kanak-kanak dapat belajar daripada kesilapan mereka tanpa perlu dilabel sebagai bodoh, jahat, cuai, malas dan sebagainya. Mereka dapat menerima kesilapan mereka dengan hati yang lebih terbuka, dan memperbaiki kelakuan mereka, lalu maju ke hadapan tanpa bebanan perasaan bersalah yang melampau atau berpanjangan.
Interaksi sihat kunci teguran yang efektif
Kanak-kanak pasti melakukan pelbagai kesilapan semasa membesar. Sebahagian daripada proses pembesaran dan menjadi dewasa adalah mempelajari bagaimana hendak menguruskan perasaan bersalah dan malu, terutama sekali semasa berinteraksi dengan mereka yang telah dikecewakan akibat kesilapan, contohnya ibu atau bapa. Jika perasaan seperti ini dipendam, ia menjadi beban dan boleh membawa kepada gangguan emosi seperti kemurungan dan kegelisahan.
Perasaan bersalah yang mendalam boleh membawa kepada rasa malu dan benci pada diri sendiri, dan jika ia berlarutan, ia boleh mengakibatkan kemurungan dan juga kemarahan tidak bertempat terhadap orang lain apabila kanak-kanak itu mencecah umur remaja nanti.
Interaksi yang sihat dan terbuka antara anak dengan ibu bapa adalah penting supaya mendapat maklum balas yang seimbang dan didikan yang sempurna. Kanak-kanak perlu tahu yang mereka dihargai dan tidak dipandang rendah kerana kesilapan yang telah mereka lakukan.
Kaedah disiplin positif lebih efektif dan berfaedah
Apa yang boleh kita lakukan untuk menggalakkan perasan bersalah dan malu yang sihat? Kaedah utama adalah dengan fokus kepada cara disiplin positif, di mana kelakuan dijadikan sasaran disiplin. Contohnya, jika anda mahu mendisiplinkan anak untuk menyiapkan kerja sekolah, memarahi dan melabelnya sebagai “malas” hanya akan memburukkan lagi keadaan, kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada emosi, lantas menjejaskan produktiviti.
Sebaliknya, menggunakan strategi yang meningkatkan fokusnya dalam kerja sekolah akan lebih berfaedah. Memalukan kanak-kanak kerana kesilapan mereka adalah cara disiplin negatif, kerana ia biasanya akan diakhiri dengan denda. Cara yang lebih produktif adalah dengan menggalakkan kelakuan yang diingini, daripada menumpukan pada kelakuan yang tidak diingini. Dengan menumpukan pada perkara positif, anda akan rasa lebih bersemangat berbanding kecewa. Ini juga akan mengurangkan perasaan bersalah dan malu bagi kedua-dua pihak. Semestinya ada masa apabila denda diperlukan, tetapi sentiasa bantu anak anda menghadapi perasaan bersalah dan malu selepas mendenda mereka. Lebih mudah untuk memusnahkan keyakinan diri daripada membinanya. Maka, ingatlah tujuan anda semasa mendisiplinkan anak.
Kuasa kemaafan
Satu cara penting untuk menangani perasaan bersalah dan malu adalah konsep kemaafan. Didik anak tentang kemaafan apabila mereka cukup matang untuk memahaminya. Sebagai orang dewasa, amalkannya secara terbuka dengan satu sama lain agar menjadi contoh kepada anak-anak. Kemaafan ialah tindakan bermakna yang membantu individu melepaskan rasa bersalah, dan akhirnya mengurangkan perasaan malu mereka. Apabila mendidik anak anda bertanggungjawab atas kelakuan mereka, ajar juga mereka untuk meminta maaf dan bantu mereka belajar daripada kesilapan.
Penting untuk anda memaafkan mereka dengan ikhlas, jika tidak, anda sendiri akan menanam rasa bersalah secara tanpa sedar dengan mengingatkan mereka tentang kesilapan mereka dan kekecewaan anda. Keikhlasan dan kehormatan ialah komponen yang sangat penting dalam kemaafan. Pupuk nilai ini dalam anak anda untuk mengendalikan rasa malu dan bersalah. Jika tidak, kanak-kanak akan terlalu memikirkan kesilapan mereka, atau boleh kehilangan perasaan tersebut sama sekali.
Jauhi daripada melabelkan anak
Kanak-kanak harus belajar bertanggungjawab atas kelakuan mereka, tetapi jangan label diri mereka berdasarkan kesilapan mereka, contohnya: cuai, malas, bodoh, dan sebagainya. Ingat, kanak-kanak hanya boleh belajar daripada kesilapan mereka jika mereka mengakuinya, membetulkannya dan meneruskan kehidupan mereka. Adakah anda sanggup mengakui diri sendiri sebagai cuai, malas atau bodoh? Begitu juga dengan kanak-kanak!