Penjagaan Rambut Si Manja

Rambut bayi dan kanak-kanak mudah kering dan kusut. Oleh itu, pastikan anak anda mendapat penjagaan rambut yang betul.

Bayi dan kanak-kanak mempunyai rambut yang halus serta kulit kepala yang lebih sensitif berbanding dengan orang dewasa. Rambut mereka perlu penjagaan rapi supaya menjadi sihat dan tidak mudah rosak.

Syampu yang dipilih biarlah yang dibuat khas untuk kegunaan bayi dan kanak-kanak. Lazimnya syampu bayi dan kanak-kanak lebih selamat untuk kulit kepala mereka yang sensitif berbanding dengan syampu orang dewasa. yang mungkin mengandungi bahan-bahan berunsur kimia.

Penjagaan rambut kanak-kanak bukan hanya tertumpu kepada pemilihan syampu, tetapi juga kekerapan mensyampu rambut mereka. Mengikut kebanyakan pakar, rambut bayi hanya perlu disyampu seminggu sekali untuk beberapa bulan pertama, manakala rambut kanak-kanak pula boleh disyampu dua kali seminggu atau apabila ia kotor atau berbau sahaja.

Ingat, sedikit sahaja syampu yang diperlukan setiap kali mensyampu.

Anak tak gemar mensyampu rambut?
Anak kecil anda mungkin tidak suka jika rambutnya disyampu. Alihkan perhatiannya semasa menyampu kepalanya. Cuba bermain buih bersama si manja ataupun menyanyi bersama sambil meletakkan syampu dan mengurut-urut kulit kepalanya. Semasa menyampu rambutnya, anda boleh menyuruh si manja bermain buih atau bermain dengan mainan yang ada di dalam besen mandian.

Pilih syampu
Ada antara kanak-kanak yang tidak suka bersyampu kerana takut syampu tersebut memedihkan mata mereka. Jika anak anda pun begitu, pilihlah syampu kanak-kanak yang berformulasi tidak memedihkan mata.


Bilas dengan teliti
Pastikan rambut si manja dibilas bersih selepas bersyampu kerana sisa syampu yang tidak dibersihkan akan menyebabkan kelemumur dan juga kulit kepala yang gatal.


Keringkan rambut
Bagi mengeringkan rambut, lapkan rambut anak anda dengan menggunakan tuala lembut, secara perlahan-lahan supaya dapat mengelakkan rambut kusut dan rosak. Selain itu, elak daripada ‘memerah’ rambut kerana perbuatan itu akan hanya menyebabkan kerosakan pada rambutnya.

Pilihan sikat
Semasa rambut si manja basah, gunakan sikat yang bergigi jarang untuk menyikatnya. Elakkan daripada menggunakan sikat bergigi rapat pada rambut yang basah kerana ia akan menyebabkan kekusutan dan juga rambut akan mudah rosak.

Berus rambut
Memberus rambut dapat membantu merangsang kapilari darah dan meningkatkan peredaran darah pada kulit kepala si manja. Selain itu, dengan memberus rambut juga dapat membantu dalam merangsang kelenjar minyak bagi mengekalkan minyak semula jadi pada rambut. Ingat, memberus rambut biar apabila rambut kering.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.