Ibu hamil pasti mengalami pelbagai dugaan fizikal dan mental. Jika anda enggan jatuh mangsa kepada dugaan-dugaan kehamilan, ikutilah artikel ini.
Cabaran-cabaran ibu hamil termasuk morning sickness, angin, sakit badan, lenguh dan sudah pastinya ukuran badan yang semakin naik. Walau bagaimanapun, keceriaan tetap dapat dirasai jika anda sanggup berusaha untuk mencapainya. Ada yang berpendapat bahawa kegembiraan adalah sesuatu pilihan hidup. Namun, ia bukannya semudah itu untuk setiap orang. Kebanyakan orang memerlukan syarat-syarat tertentu supaya dapat merasa gembira. Tidak kiralah apa pendapat atau pendirian peribadi anda, yang pentingnya adalah supaya anda dapat mencapai perasaan gembira dan ceria sepanjang kehamilan anda.
Berikut merupakan beberapa cara mudah untuk memastikan diri sentiasa ceria.
Berikan perhatian sewajarnya kepada kesihatan diri
Mengikut sains, kesihatan seseorang itu berkait rapat dengan keceriaannya, di mana kehidupan individu tersebut akan jauh lebih ceria jika dia seorang yang sihat. Oleh itu, jagalah kesihatan supaya peluang untuk mencapai kegembiraan lebih tinggi. Perhatikan gaya hidup anda sekarang dan jujurlah dengan diri sendiri jika ada yang perlu diperbaiki, seperti pemakanan, senaman,dan sebagainya. Jauhi daripada meghabiskan masa dengan mereka yang mempunyai gaya hidup yang memburukkan kesihatan seperti merokok, makan tak tentu, tidak aktif dan sebagainya. Sebaliknya, habiskan masa dengan mereka yang sefahaman dengan apa yang anda ingin mencapai, iaitu, kesihatan diri untuk keceriaan yang berpanjangan.
Gaya hidup yang sihat pada keseluruhannya dapat membantu mengubah pandangan anda terhadap kehidupan. Semuanya bermula dari anda, jadi, cubalah sendiri dan perhatikan perbezaannya.
Manjakan diri!
Bila lagi nak memanjakan diri kalau bukan semasa hamil, bukan? Sesungguhnya, mereka yang baik pada diri sendiri dan menjaga keperluan badan dari segi fizikal dan mental jauh lebih gembira daripada mereka yang selalu mencari alasan untuk mengelak daripada memanjakan diri.
Jadi, buatlah temujanji dengan pendandan rambut atau SPA kesukaan anda dan dapatkan rawatan kecantikan yang selamat untuk memanjakan diri dari hujung kepala ke hujung kaki supaya berseri-seri dan lebih pentingnya, supaya anda rasa ceria dan bahagia.
Jauhi mereka yang bersikap negatif
Adakah antara kenalan anda yang bersikap negatif dan jarang mempunyai khabar baik untuk disampaikan kepada anda? Perasan tak bahawa mereka ada sahaja berita buruk untuk dikongsi setiap kali bertemu? Untuk kebaikan diri sendiri, jauhi individu-individu yang bersikap demikian kerana tiada apa yang baik yang akan datang daripadanya, namun sebaliknya, anda juga mungkin akan lebih murung dengan berita-berita dan idea-idea negatif yang kerap disampaikan. Biarlah diri dikelilingi oleh mereka yang membawa kegembiraan dan keceriaan supaya anda dapat membina sikap dan fikiran positif untuk kebaikan diri dan kesihatan kehamilan anda.
Marah? Bawalah bertenang, Mama
Semasa hamil, tidak dapat dinafikan bahawa perasaan mudah disinggung dan ada kalanya tahap kesensitifan seakan-akan tak masuk akal. Semua ini disebabkan oleh perubahan hormon si ibu mengandung, oleh itu, bersedialah untuk menghadapinya tanpa menyusahkan atau menyakiti hati mereka yang rapat dengan anda. Jika berada dalam situasi di mana anda marah atau tersinggung, cuba tarik nafas sedalam-dalamnya, kira dari 1 hingga 5, dan hembus kembali perlahan-lahan. Ulangi sehingga perasaan marah atau baran reda. Seterusnya, cubalah bawa bertenang dan teruskan perbualan jika perlu, atau bawa diri ke tempat lain supaya tidak mengeluarkan kata-kata kesat yang mungkin anda kesali di kemudian masa.
Usah tolak tawaran untuk membantu
Semakin sarat mengandung, semakin susah untuk mengendalikan tugas-tugas harian. Ada juga wanita hamil yang rasa letih dan lesu sejak awal kehamilan lagi. Dalam situasi-situasi begini, usahlah menolak jika ahli keluarga atau pun sahabat ingin membantu. Ingatlah bahawa menerima bantuan orang semasa hamil bukan ertinya anda lemah atau tidak berupaya. Sebaliknya, dengan menerima bantuan yang ikhlas, ertinya anda tidak sombong untuk mengaku had atau batasan diri sendiri, lalu tidak akan memaksa diri walaupun tidak terdaya – lebih-lebih lagi untuk melakukan kerja-kerja yang melibatkan pergerakan yang mungkin akan menjejaskan kesihatan diri anda dan bayi dalam kandungan.
Bersyukurlah selalu
Apa gunanya kehidupan jika tidak bersyukur sentiasa? Mereka yang selalu bersyukur akan sentiasa ingat betapa berharganya kehidupan ini dan tidak mungkin mensia-siakan masa dengan membandingkan situasi diri dengan orang lain yang mungkin lebih kaya, lebih cantik dan sebagainya. Ingatlah bahawa bukannya semua yang nampak indah semestinya indah, tetapi jika hati bersih dan sentiasa bersyukur, diri akan sentiasa tenang dan ceria.