Semaikan Sikap Suka Membaca

Menggalakkan anak membaca kadang-kadang mencabar juga, terutamanya pada zaman ini yang berbudaya singkat dengan kata-kata singkatan serta ‘bahasa’ media sosial yang tidak mementingkan ejaan mahupun tatabahasa. Ibu bapa yang ingin menyemai sikap membaca ke dalam jiwa anak mereka perlu mengambil tindakan-tindakan awal yang sewajarnya, di mana lebih awal lebih baik.

Berikut adalah beberapa panduan yang dapat membantu menyemai sikap suka membaca ke dalam diri kanak-kanak.

Ketahui apa yang menarik perhatian mereka
Adakah anak anda suka pada imej kartun? Atau mungkin dia suka melihat gambar-gambar haiwan, tumbuhan, pengangkutan dan sebagainya? Ketahuilah apa yang diminati oleh anak anda untuk memudahkan usaha untuk mencari buku-buku yang pasti menarik perhatiannya. Cara ini lebih efektif untuk memupuk minat membaca dalam diri kanak-kanak berbanding dengan teknik paksaan. Ingat juga bahawa buku-buku pertama si kecil tidak patut mempunyai perkataan yang terlalu banyak sehingga dia hilang semangat untuk cuba membacanya. Bawalah anak anda ke kedai buku supaya dia dapat peluang untuk memilih bahan bacaan sendiri. Setelah membeli buku-buku yang sesuai, jangan lupa untuk mengajak anak anda untuk membaca bersama dan juga menggalakkan dia untuk membaca.

Gunakan flashcards
Tidak kira jika anak anda masih bayi lagi atau pun telah berada dalam taska atau tadika mahu pun Tahun Satu di sekolah. Terdapat satu cara yang efektif untuk memantapkan lagi perbendaharaan kata si kecil anda, iaitu dengan menggunakan flashcards, iaitu set-set kad yang mengandungi gambar/huruf/perkataan atau sukukata-sukukata perkataan dalam pelbagai kombinasi. Kad-kad ini lazimnya berwarna warni dan sudah tentu menarik perhatian kanak-kanak. Lama-kelamaan, kanak-kanak pasti dapat mengenal dan menghafal kandungan kad-kad tersebut dan dengan sendirinya akan pandai membaca. Namun, ibubapalah yang mesti rajin menggunakan alat ajaran ini untuk menggalakkan anak mereka untuk belajar membaca.

Tetapkan ruang khas untuk membaca
Jika tiada ruang untuk mendirikan perpustakaan mini di rumah anda, apa kata hias sahaja bilik anak anda dengan rak buku dan hiasan lain di sudut khas untuk membaca? Dengan adanya tempat khas di mana dia dapat duduk dan membaca dengan tenang, anak anda pasti akan bermotivasi untuk meluangkan masa setiap hari untuk membaca. Pastikan bilik tersebut sentiasa kemas dan bersih, sebab persekitaran seorang kanak-kanak mampu mempengaruhi daya dan minatnya untuk membaca, mengulangkaji pelajaran dan sebagainya.

Penyertaan ibu bapa amat bermakna
Temanilah anak anda ketika dia sedang belajar membaca, kerana kehadiran dan sokongan daripada anda dapat mendorongnya supaya berusaha dengan lebih giat lagi. Sudah tentu kanak-kanak ingin selalu membanggakan ibu bapa. Oleh itu, berjaga-jagalah supaya tidak terlalu mengkritik kesilapan-kesilapan dalam bacaan anak anda. Sebaliknya, pujilah usahanya supaya dia didorong untuk memperbaiki kemahirannya dalam membaca.

Kraf bacaan
Sekali-sekala, cubalah kerja kraf berikutnya untuk mendorong anak anda untuk rajin membaca: Guntingkan huruf-huruf ataupun perkataan-perkataan mudah dan ringkas daripada majalah atau surat khabar dan tampalkan pada kertas lukisan. Anak anda boleh turut serta aktiviti ini. Huruf-huruf boleh ditampal untuk menghasilkan perkataan manakala perkataan-perkataan boleh ditampal pula untuk membina ayat. Mengikut kerajinan masing-masing, bermacam-macam perkataan, ayat, malah juga cerita pendek dapat dihasilkan menggunakan kaedah ini. Kreatif, bukan?

Bacalah, ibu nak dengar!
Galakkan anak anda yang sedang belajar membaca supaya membaca sesuatu di hadapan anda, dan jangan lupa untuk memuji usahanya itu! Ini menunjukkan kepada anak anda yang ibunya ( atau bapanya) memang prihatin dan mengambil berat tentang keinginannya untuk mengasah kemahirannya untuk membaca dengan lancar.

Biar buku jadi teman anak
Amalan suka membaca dapat memastikan kanak-kanak tidak terasa bosan pada bila-bila masa asalkan ada buku dalam tangan mereka. Bukankah itu sesuatu yang melegakan ibu bapa? Nota penting: Pastikanlah anak anda terdedah pada bahan bacaan yang bermanfaat dan sentiasa memantau buku-buku, majalah dan bahan-bahan bacaan lain yang diminati anak anda.


Melentur buluh biarlah dari rebungnya
Peribahasa ini amat bermakna bagi ibu bapa yang ingin menyemaikan sikap suka membaca dalam diri anak mereka, iaitu, biarlah usaha itu bermula sejak anak itu kecil lagi. Sama seperti nilai-nilai murni yang lain, amalan membaca perlu dipupuk sejak awal lagi supaya menjadi satu kebiasaan pada diri mereka.


About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.