Kawalan Kelahiran – Apakah Yang Patut Dipercayai?

Terdapat banyak cara yang dapat digunakan untuk mengawal kelahiran. Namun, sebagai manusia, kita agak mudah percaya pada mitos dan juga pendapat orang ramai yang hanya berdasarkan ideologi turun temurun yang tidak pernah dibuktikan. Jadi, yang mana benar dan yang mana mitos? Mari kaji bersama.

Ibu yang menyusu badan takkan mengandung
Walaupun ada kebenaran di sebalik penyataan ini, jangan terlalu bergantung kepadanya. Memang benar bahawa hormon yang membantu dalam pengeluaran susu badan adalah hormon sama yang melambatkan (tetapi tidak menghalang) pembentukan hormon pembiakan. Sebab itulah kebanyakan wanita tidak berovulasi mahu pun datang haid semasa mula-mula menyusu badan. Akan tetapi, kitaran haid akan kembali semula selepas beberapa minggu, dan oleh itu, si ibu mungkin akan hamil jika menjalin hubungan intim tanpa perlindungan. Sebagai panduan, seorang ibu boleh bergantung kepada penyusuan badan sebagai kawalan kelahiran hanya jika dia dapat jawab ‘Ya’ kepada semua soalan berikut:

  • Adakah anda masih tidak berhaid?
  • Adakah anda menyusu badan dengan kerap siang dan malam?
  • Adakah bayi anda berumur kurang dari 6 bulan?

Seks kali pertama tak mungkin menyebabkan kehamilan
Ini adalah mitos klasik yang telah menyebabkan banyak kehamilan yang tidak dirancang. Perlu diingati di sini bahawa selagi ada haid, risiko kehamilan sentiasa ada. Juga, lebih muda umur seorang wanita, lebih mudah untuk hamil. Jadi, usahlah menjadi mangsa mitos seperti ini, terutama sekali jika ingin mengawal kehamilan.

Wanita yang berumur 45 ke atas tak mungkin akan mengandung
Sama ada seorang wanita dapat mengandung atau tidak tak semestinya bergantung pada umur, tetapi lebih kepada kitaran haidnya. Dalam lain kata bagi wanita, selagi ada haid dan tiada masalah berkaitan dengan kesuburan, boleh saja mengandung. Untuk mengelak kehamilan, seorang wanita harus sentiasa anggap bahawa dia sentiasa berisiko untuk mengandung sehinggalah dia putus haid.

Membasuh faraj selepas seks akan menghalang kehamilan
Walaupun wanita yang sedang cuba untuk hamil kadang-kadang dinasihati supaya jangan basuh faraj selepas melakukan hubungan intim, perbuatan itu tidak semestinya dapat menghalang kehamilan. Harus diingat di sini bahawa sperma lazimnya akan mula berenang ke arah destinasinya (telur) sebaik saja menembusi faraj. Kebanyakan kali, membasuh selepas seks tidak dapat menghalang perjalanan ini.

Sudah lama ‘berpuasa’ jadi takkan hamil
Untuk ratusan wanita, sekali sahaja sudah cukup untuk hamil, tidak kira selepas berapa lama tidak melakukan hubungan seks. Selagi tubuh badan sihat dari segi kesuburan, dan kitaran haid adalah normal, kehamilan masih boleh berlaku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.