Berpantanglah Untuk Kebaikan Diri

Alam berpantang merupakan tempoh yang mungkin membosankan bagi kebanyakan ibu baru kerana perlu berjaga-jaga dari setiap sudut termasuk dari segi pemakanan dan kegiatan harian. Jika tidak mematuhi amalan berpantang, ibu berisiko untuk mengalami bentan, meroyan, luka lambat pulih dan lain-lain yang mungkin meninggalkan kesan pada tubuh dan kesihatan pada jangka masa panjang.

Membiasakan diri dengan rutin baharu pasti menjadi cabaran buat si ibu. Selain menjaga bayi baru serta menjalankan tugas-tugas lain di rumah, ibu juga perlu bertanggungjawab terhadap kesihatan diri sendiri selepas bersalin. Jika kita lihat nenek moyang kita dahulu, mereka amat mementingkan penjagaan ibu selepas bersalin. Tidak kiralah masyarakat Melayu, Cina ataupun India, kesemuanya akan membantu dan memberi sokongan kepada ibu baru bersalin supaya menjalani amalan berpantang dengan sempurna.

Tidak kira semoden mana pun, ibu generasi kini tidak patut memandang ringan amalan berpantang. Ada yang menganggap amalan berpantang tidak perlu ekoran terlampau sibuk dengan mengejar kejayaan korporat atau pun perniagaan masing-masing. Ada juga ibu baru yang menganggap bahawa badan mereka mampu berfungsi seperti biasa selepas bersalin dan amalan berpantang tidak mustahak untuk diikuti.

Usah menolak tawaran bantuan
Dalam memudahkan rutin baharu anda selepas bersalin, janganlah segan untuk menerima bantuan daripada sesiapa yang ingin membantu, termasuklah daripada suami, ibu bapa, mertua, keluarga (adik-beradik atau ipar-duai) mahupun kawan baik. Beritahu dengan jelas bantuan yang diperlukan – sama ada membasuh pakaian, memasak, membersihkan halaman rumah, atau lain-lain bantuan. Komunikasi ini amat penting supaya bantuan yang dihulurkan adalah yang diperlukan atau diingini.

Jika berkemampuan, upahlah perkhidmatan penjagaan semasa berpantang. Lazimnya, khidmat jenis ini merangkumi penjagaan si-ibu dan juga bayi baru, termasuk khidmat urut, bertangas, masakan untuk ibu berpantang, penjagaan bayi baru lahir, mengajar teknik penyusuan bayi, dan lain-lain.


Peringatan sewaktu pantang
Kerja-kerja lain seperti memasak, mengemas rumah, membasuh baju ataupun membeli barang dapur perlu diketepikan sementara dan diserahkan kepada suami atau orang yang menjaga anda.


Penat? Berehatlah!
Usah mengabaikan kesihatan diri sendiri sehingga mengalami masalah insomnia (tidak cukup tidur), pening kepala ataupun meroyan. Amalkan langkah-langkah berpantang yang patut, termasuk berehat secukup-cukupnya.


Tips Untuk Ibu Berpantang
Rehat secukupnya
Memandangkan bayi baru lahir menyusu sebanyak tujuh hingga lapan kali sehari dan tidak mempunyai jadual penyusuan yang tetap, tidak hairanlah jika seorang ibu baru merasa letih dan kadang-kadang tidak terdaya untuk melakukan sebarang kerja lain. Masa tidur si ibu juga tidak menentu. Oleh itu, cubalah cari (atau curi) waktu untuk tidur dan rehatkan badan. Ingatlah bahawa tidur dan rehat yang secukupnya amat perlu untuk memastikan bahawa tubuh badan si ibu cepat sembuh dan kekal sihat.

Pemakanan yang berkhasiat
Selepas bersalin, ibu masih perlu menitikberatkan hal pemakanan. Bagi memastikan ibu baru mendapat sumber protein, zat besi dan kalsium, diet yang seimbang diperlukan. Amalkan pengambilan lima hingga tujuh hidangan yang mengandungi kabohidrat untuk tenaga, dua hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran untuk vitamin, zat galian dan serat, serta dua hingga tiga hidangan daging dan produk tenusu rendah lemak untuk protin dan kalsium yang diperlukan. Kesemua ini adalah nutrien penting yang diperlukan oleh ibu selepas bersalin untuk keperluan tubuh yang sihat dan juga penyusuan bayi.


Pengambilan kalori ibu menyusu
Ibu yang menyusukan bayi memerlukan 500 kalori yang berlebihan berbanding pengambilan kalori harian iaitu antara 1,800-2,000 kalori.


Hidrasi
Ada cerita yang mengatakan bahawa ibu berpantang tidak boleh minum air yang banyak kerana tubuh akan menyimpan lebihan air dan melambatkan proses penurunan berat badan. Ini hanyalah mitos, Mama!

Setiap manusia harus mendapat air yang mencukupi dalam tubuh mereka, termasuk juga ibu yang baru bersalin. Sekurang-kurangnya lapan gelas air perlu diminum supaya badan kekal terhidrat dan tubuh mampu menghasilkan susu tanpa rasa lesu dan ternyahhidrat.

Gejala baby blues
Disebabkan perubahan hormon selepas bersalin, sesetengah ibu mungkin akan mengalami gejala ‘baby blues’ dua hingga empat hari selepas melahirkan bayi. Ini adalah normal tetapi berjaga-jaga supaya tidak sampai menyebabkan tekanan yang berlebihan atau perasaan tersentap yang berpanjangan atau berlebihan. Berundinglah dengan doktor sekiranya ada tanda-tanda baby blues yang tidak dapat dikawal.

Amalan-amalan semasa berpantang
Selepas bersalin, rahim ibu baru akan mengecut secara perlahan-lahan dengan mengambil masa antara enam hingga lapan minggu. Urutan selepas bersalin akan membantu proses mengecutkan rahim. Walau bagaimanapun, pastikan urutan selepas bersalin dilakukan oleh tukang urut yang terlatih dan berpengalaman. Ibu yang bersalin secara pembedahan bagaimanapun perlu memastikan luka pembedahan sudah pulih sebelum berurut. Berbengkung juga satu amalan yang amat bermanfaat kepada ibu yang telah bersalin untuk membantu kembalikan bentuk badan yang menarik.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.