Perubahan paling ketara pada tubuh seorang ibu yang telah bersalin ialah peningkatan berat badannya. Jika dahulu bersaiz S atau M, kini selepas bersalin saiz badan mungkin berubah kepada L atau XL. BMI selepas bersalin juga berubah. Pasti ibu tidak sabar untuk mendapatkan kembali susuk tubuhnya seperti asal.
Ikuti beberapa rahsia untuk mendapatkan semula berat badan ideal dengan selamat dan efektif.
1. Berikan perhatian kepada diet harian
Makanan yang diambil oleh ibu baru seharusnya bernutrisi tinggi untuk memberikannya tenaga yang diperlukan untuk menyusu bayinya. Jangan sesekali membiarkan diri sendiri kelaparan kerana ini akan menjejaskan kesihatan, terutama sekali jika sedang menyusu badan. Bayi yang menyusu badan mengambil nutrien daripada ibunya, oleh itu, pastikan makanan yang diambil adalah daripada kumpulan makanan yang berkhasiat. Lebihkan makanan yang mengandungi protein juga vitamin untuk membantu menguatkan otot dan menganjalkan kulit yang menggelebeh.
2. Menyusu badan – baik untuk bayi dan juga untuk ibu
Pemberian susu ibu bukan hanya dapat mengeratkan jalinan ibu dan bayi, bahkan juga dapat membantu ibu untuk mendapatkan kembali susuk tubuh yang menawan.
Ada mitos yang mengatakan bahawa menyusu badan akan menghalang usaha seorang ibu untuk melangsingkan badannya, kerana dia akan sentiasa lapar. Kenyataan itu tidak benar, dan jikalau seorang ibu yang menyusu badan terasa lapar, dia pasti dapat menilai dengan sendiri makanan jenis apa yang patut diambilnya demi kesihatan diri dan juga bayinya.
Penyusuan dan pemakanan seimbang dapat membantu menurunkan berat badan kerana kalori akan dibakar setiap sesi penyusuan. Selain itu, penyusuan juga membantu dalam pengecutan rahim ibu.
3. Bergerak selepas makan
Bakarlah lebih kalori dengan senaman ringan seperti berjalan santai kira-kira 250 langkah, biarpun di dalam rumah saja, setengah jam selepas menikmati hidangan. Selain dapat membakar kalori, aktiviti berjalan ini juga dapat membantu dalam penghadaman.
4. Lebihkan meminum air
Minumlah air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengelakkan dehidrasi. Air yang mencukupi dalam badan dapat membantu dalam meningkatkan metabolisma tubuh badan, maka secara tidak langsung dapat membantu dalam usaha menurunkan berat badan.
5. Jangan abaikan sarapan pagi
Sarapan pagi amat penting untuk mengekalkan paras tenaga dan juga untuk memastikan tubuh tidak terlalu penat atau terlalu lapar. Jika terlalu lapar, kemungkinan besar seseorang akan terlebih makan dan juga makan ikut nafsu dan bukan mengikut keperluan badan. Oleh itu, makanlah sarapan pagi yang berkhasiat semasa sedang berusaha untuk menurunkan berat badan.
Sarapan pagi juga dapat membantu tubuh anda meningkatkan metabolisma sekaligus menyebabkan kadar pembakaran tenaga berlaku dengan lebih cepat.
6. Elakkan makan bersulam air
Walaupun air sangat mustahak kepada kesihatan manusia, makan bersulam air mampu meninggalkan kesan buruk kepada sistem penghadaman tubuh, di mana makanan tidak dapat dihadam dengan baik. Selain itu, makan berselang-seli dengan air juga mampu menyebabkan lemak pada perut berkumpul dengan cepat. Sebab itulah makan bersulam air tidak digalakkan jika seseorang itu sedang berusaha untuk menurunkan berat badan.
Sebaliknya, minumlah air sebelum makan dan/atau setengah jam selepas makan. Menurut kajian, meminum air sebelum makan dapat mengurangkan berat badan anda dan meningkatkan metabolisme tubuh badan.
7. Dapatkan tidur yang cukup
Walau macam mana sukar pun, cuba dapatkan tidur yang secukupnya supaya tubuh cukup bertenaga untuk melakukan seharian dan juga senaman untuk menurunkan berat badan. Tanpa cukup tidur, tubuh tentu lesu dan tidak terdaya, dan keadaan ini akan menghalang sebarang usaha untuk menurunkan berat badan.
Nota: Dalam satu kajian, ibu baru yang tidur lima jam sehari atau kurang didapati sukar untuk menurunkan berat badan berbanding dengan mereka yang tidur tujuh jam sehari. Jadi, cuba tidur atau rehat sekerap mungkin, terutama semasa bayi anda tidur.
8. Memakai bengkung
Memakai bengkung selepas bersalin merupakan pengamalan tradisonal sejak zaman nenek moyang kita. Amalan ini amat bermanfaat bagi membantu ibu baru supaya dapat kembali pada bentuk badan yang asal dengan cepat dan efektif. Jika rajin diamalkan, berbengkung dapat merampingkan pinggang dan memejalkan otot-otot di perut dan pinggul.
9. Senaman untuk tenaga
Senaman adalah perlu untuk semua orang, termasuk ibu baru bersalin. Pergerakan badan, walau pun hanya sekadar berjalan sahaja, dapat melancarkan pengaliran darah ke seluruh tubuh.
Setelah luka sembuh atau selepas berpantang, rutin senaman boleh dipelbagaikan, contohnya dengan bangkit tubi, senaman lantai pelvik, senaman kaki dan senaman abdomen. Senaman-senaman ini bertujuan untuk mengempiskan perut, merapatkan kembali otot faraj serta membantu menguatkan otot abdomen.
Jika dilakukan secara rutin, perbezaannya tentu ketara. Bukan sahaja tubuh kembali ramping tetapi juga badan akan lebih bertenaga.
10. Usah bandingkan diri dengan selebriti
Ramai ibu baru mudah tergoda dengan gaya hidup para selebriti sehingga ingin mengikut atau mencontohi mereka. Masalahnya, selebriti-selebriti tersebut mungkin terpaksa hilang berat badan secepat mungkin demi kerjaya masing-masing, sehingga kesihatan mereka pun terpaksa diabaikan. Oleh itu, bersyukurlah dengan keadaan diri sendiri dan ambillah masa yang diperlukan untuk melangsingkan tubuh badan secara selamat.