Menjana pendapatan sampingan untuk perbelanjaan keluarga sudah tentunya sesuatu yang dialu-alukan, namun bukan semua ibu bapa mampu memperolehi pendapatan seumpama itu. Bagi ibu bapa yang berpendapatan tetap setiap bulan, pasti mencabar untuk mencari keseimbangan antara pendapatan yang diperolehi dengan perbelanjaan untuk keperluan keluarga mereka.
Harapan kami, artikel ini dapat membantu dalam menghuraikan isu-isu berhubungan dengan pendapatan tetap dan mencari penyelesaian-penyelesaian yang paling efektif supaya keluarga yang mempunyai pendapatan yang terhad dapat hidup dengan lebih selesa.
Sudah tentunya faktor utama supaya keseimbangan dapat dicapai dengan pendapatan tetap ialah dengan cara hidup yang selaras dengan pendapatan. Cara ini, walau tak semestinya mudah, dan mungkin juga membosankan, dapat menjauhi keluarga daripada berhutang keliling pinggang, sesuatu yang lazimnya berlaku apabila perbelanjaan keluarga lebih daripada sepatutnya.
Tetapkan bajet bulanan yang sesuai
Sebagai permulaan, tentukan jumlah wang yang diperlukan untuk perbelanjaan tetap bulanan keluarga anda. Ini bermaksud segala perbelanjaan atau pembayaran yang perlu dilakukan setiap bulan, seperti pinjaman untuk rumah ataupun bayaran sewa rumah; bil air, elektrik dan telefon; pinjaman untuk kereta; bayaran kad kredit dan sebagainya.
Bajet bulanan juga perlu mengambil kira perbelanjaan untuk pengangkutan ulang-alik seharian untuk kerja; keperluan dapur, keperluan asas bulanan bayi atau anak seperti susu, lampin dan sebagainya, serta juga bayaran untuk pengasuh/taska/prasekolah jika ada.
Setiap keluarga mungkin mempunyai senarai perbelanjaan bulanan yang berbeza sedikit, tetapi yang pentingnya, jumlah wang yang perlu untuk membereskan kesemuanya perlu diasingkan setiap bulan untuk tujuan tersebut. Dengan syarat perbelanjaan bulanan ini tidak melebihi pendapatan sebulan, rancangan yang teliti dari segi bajet pasti dapat memudahkan kehidupan seharian bagi sesebuah keluarga, dan wang selebihnya pula dapat disimpan untuk kegunaan masa depan. Jika jumlah yang diperlu didapati melebihi pendapatan, rombakan dalam perancangan dan perbelanjaan perlu dilakukan supaya keseimbangan dapat dicapai antara pendapatan dan keperluan-keperluan perbelanjaan ini, dan juga supaya tidak berhutang.
Langkah-langkah yang bijak pasti dapat membantu dalam pencapaian status kewangan yang lebih selesa.
Jujur kepada diri sendiri
Terdapat banyak cara untuk mengurangkan perbelanjaan dan menjimat duit, terutama sekali bagi mereka yang sudah biasa berbelanja mengikut kemahuan dan bukan keperluan. Cara yang paling efektif untuk mengatasi situasi ini ialah dengan mengkaji semula perbelanjaan bulanan. Contohnya, adakah sesiapa dalam keluarga yang menonton televisyen setiap hari di rumah? Jika tidak, kenapa masih sanggup membayar bil saluran TV yang agak mahal setiap bulan? Juga, perlukah sebuah keluarga yang tidak melebihi empat orang memiliki dua buah kereta, di mana kedua-dua kereta tersebut perlu diisi minyak, diservis, dan sebagainya?
Walaupun perkara-perkara di atas seperti remeh-temeh saja, namun pada keseluruhannya jika dikaji semula, banyak juga duit yang boleh dijimat melalui tindakan-tindakan yang sewajarnya.
Selain itu, terdapat banyak lagi cara untuk memastikan hidup lebih selesa dengan pendapatan terhad.
Membeli-belah? Senaraikan apa yang hendak dibeli
Kerapkali, apabila membeli-belah, ada sahaja item yang dibeli tanpa dirancang. Kadang-kadang, barang yang betul-betul diperlu belum lagi dibeli tetapi wang dalam saku tiba-tiba habis akibat pembelian-pembelian impulsif. Kejadian seperti ini dapat dielakkan dengan sedikit disiplin. Sebelum keluar membeli belah, senaraikan segala yang hendak dibeli dan patuhlah pada senerai tersebut. Pastikan juga bahawa senarai itu tidak melebihi bajet yang ditetapkan. Cari ini dapat mencegah sebarang pembelian yang tak munasabah atau mengikut nafsu.
Beli barang keperluan tertentu secara borong
Terdapat banyak pasaraya borong seperti Checkers, Segi dan juga Mydin yang menawarkan harga yang agak murah dengan pembelian borong. Ambillah kesempatan untuk menjimat duit dengan memborong barang-barang keperluan yang paling kerap diguna seperti sabun, ubat gigi, syampu, kertas tisu, beras dan sebagainya.
Rancangkan menu mingguan untuk keluarga
Mula-mula sekali, cuba geledah dapur sendiri dan asingkan semua bahan yang tarikh luputnya sudah dekat. Rancang menu untuk seminggu yang akan datang dan gunakan bahan-bahan itu supaya tidak terbazir. Barulah beli bahan-bahan baru, termasuk bahan utama untuk menu minggu seterusnya.
Dalam perancangan menu untuk keluarga, ambillah kira sayur-sayuran yang tengah bermusim. Lazimnya bahan-bahan ini lebih murah pada ketika itu.
Kesihatan keluarga – apa kaitnya?
Kaitannya rapat dengan topik penyaraan hidup keluarga kerana rawatan di klinik persendirian bukannya murah. Jika seorang ahli keluarga asyik jatuh sakit, umpamanya kerana makanan seharian yang tak cukup bernutrisi, ataupun tidak mempunyai kebersihan diri yang baik, maka duit terpaksa disalurkan ke rawatan dan ubat-ubatan ahli keluarga tersebut. Oleh itu, ambillah tindakan-tindakan yang sewajarnya supaya seluruh keluarga sentiasa sihat. Cara-caranya termasuk:
- Melebihkan makanan yang bernutrisi namun murah seperti sayur dan buah-buahan yang sedang bermusim
- Pengambilan suplemen/multivitamin untuk kesihatan
- Mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengelak atau menghapuskan pembiakan nyamuk aedes supaya keluarga tidak dijangkiti demam denggi
- Pastikan setiap ahli keluarga mendapat senaman sederhana ringan setiap hari seperti berjalan, berjogging, berbasikal dan sebagainya supaya sentiasa aktif dan sihat
- Memastikan rumah dan persekitaran rumah bersih dan mempunyai kitaran udara segar yang baik
- Pastikan ahli-ahli keluarga menggunakan sabun mandi serta sabun tangan yang berfungsi anti-bakteria untuk membantu dalam segi kebersihan diri.
Gunalah kemudahan pengangkutan awam
Sistem pengangkutan awam di negara kita kian maju dengan adanya LRT, monorel, MRT, Grabcar, teksi, bas dan sebagainya. Walaupun elok jika sesebuah keluarga memiliki kereta sendiri, tak semestinya kereta itu perlu dipandu ke tempat kerja hari-hari. Bayangkan jumlah duit yang dapat dijimat dari segi petrol, bayaran untuk tempat letak kereta, tol, dan sebagainya, jika seorang atau kedua-dua ibu bapa rajin menggunakan pengangkutan awam untuk ulang-alik ke tempat kerja setiap hari. Tindakan ini mungkin menyusahkan sikit, dan mungkin juga leceh untuk dilakukan setiap hari, namun fikirkan pasal duit yang dapat dijimat dan jika berbaloi, apa salahnya?
Berjalan kaki ke tempat-tempat berdekatan
Apa pula kaitannya dengan kewangan? Mudah saja – Setiap kali kita pilih untuk berjalan kaki ke kedai yang sederhana jaraknya dari rumah, kita pasti jimat petrol dan mungkin juga bayaran untuk parking kereta. Pada masa yang sama juga, badan kita semakin sihat berikutan senaman yang diperolehi melalui aktiviti berjalan kaki. Jadi, jika sesuatu destinasi itu mengambil masa kira-kira 10-20 minit untuk berjalan kaki, apa kata jalan saja?
Peringatan: Untuk keselamatan diri, cuba elak daripada membawa beg tangan semasa berjalan kaki. Sebaliknya, masukkan duit, telefon bimbit dan lain-lain ke dalam saku. Berwaspadalah selalu semasa berjalan kaki dan berilah perhatian pada keadaan sekeliling dan juga lalulintas untuk keselamatan diri.