Percutian semasa hamil telah menjadi suatu trend di kalangan keluarga moden, di mana pasangan yang bakal mendapat cahaya mata dapat meluangkan masa bersama sebelum bayi mereka dilahirkan. Percutian seperti ini digelar Babymoon, dan ia membolehkan bakal ibu dan bapa rehat sebentar daripada rutin seharian semasa menunggu kelahiran bayi baru. Babymoon kian popular di kalangan pasangan.
Jika anda sedang merancang untuk ber’babymoon’, terdapat beberapa perkara yang perlu anda titikberatkan.
Bila waktu yang sesuai?
Bagi kebanyakan wanita hamil, masa yang paling sesuai untuk bercuti adalah semasa trimester kedua. Ketika ini, loya-loya atau mabuk hamil semasa trimester pertama sudah berkurangan. Menurut American College of Obstetrics and Gynecology, tempoh paling selamat untuk wanita hamil bercuti adalah antara minggu ke 18 hingga minggu ke-24.
Di mana hendak bercuti?
Percutian semasa hamil perlu dirancang bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini. Lokasi yang sesuai amat penting. Meskipun banyak destinasi yang boleh anda pilih, namun pertimbangkanlah destinasi yang tidak memerlukan anda terlalu lama berada di dalam kenderaan. Terlalu banyak destinasi yang boleh dinikmati – pantai, pulau, kawasan-kawasan bukit ataupun di tengah-tengah bandar – asalkan anda tidak terlalu menggunakan tenaga atau menjadi terlalu penat.
Berikut merupakan beberapa panduan dalam membantu anda mendapatkan percutian babymoon yang menyeronokkan
Tips 1 : Cari tempat percutian yang berhampiran. Ingat, tujuan anda ber’babymoon’ adalah untuk merehatkan tubuh dan minda. Jadi, pilih lokasi yang sesuai dan tidak memakan tempoh perjalanan yang panjang.
Tips 2 : Antara aktiviti yang boleh anda lakukan semasa babymoon ialah berenang. Aktiviti renang bukan sahaja dapat menyokong berat anda, malah juga membantu anda untuk melegakan sakit-sakit dan sengal-sengal badan.
Tips 3 : Pakai pakaian yang bersesuaian dengan tempat percutian anda. Fikir tentang keselesaan semasa bercuti.
Tips 4 : Maklumkan kepada doktor anda tentang perancangan percutian kerana mungkin perjalanan yang jauh berisiko untuk kandungan anda.
Tips 5 : Dapatkan vaksinasi yang perlu jika anda ingin melancong ke luar negara. Perkara ini amat penting untuk kesihatan diri dan bayi dalam kandungan.
Tips 6 : Pastikan terdapat kemudahan perubatan berhampiran dengan tempat percutian anda.
Tips 7 : Semak dengan syarikat penerbangan anda tentang peraturan menaiki penerbangan terhadap ibu hamil. Sesetengah syarikat penerbangan mempunyai peraturan berbeza dalam membenarkan ibu hamil menaiki penerbangan.
Tips 8 : Bawa bekalan ubatan dan vitamin yang diperlukan sepanjang percutian.
Sumber rujukan : www.babymoonguide.com