Usah Abaikan Vaksinasi Bayi Dan Kanak-kanak

Vaksinasi memainkan peranan penting untuk kesihatan bayi dan anak kecil di seluruh dunia. Sesetengah penyakit berjaya dikawal dengan mengunakan vaksin seperti hepatitis, pertussis, tetanus, meningitis, demam campak dan cacar.


Perbezaan antara Vaksin, Vaksinasi dan Imunisasi
Vaksin: Mengandungi organisma pembunuh dan pelemah yang menghasilkan imuniti kepada penyakit.
Vaksinasi: Suntikan atau pelalian vaksin yang disuntik terus ke badan untuk menghasilkan imuniti dalam tubuh bagi menentang penyakit.
Imunisasi: Proses di mana manusia atau haiwan dilindungi daripada jangkitan penyakit. Vaksin akan menyebabkan imunisasi, namun ada sesetengah jenis penyakit yang memberikan imunisasi kepada individu tertentu selepas dia pulih daripada penyakit tersebut.


Asal-usul vaksin
Vaksin pertama cacar air dipercayai direka oleh Edward Jenner bagi menyahkan penyakit tersebut yang dulunya menjadi salah satu penyakit pembunuh bayi dan kanak-kanak. Dan, sehingga ke hari ini, vaksin jenis ini masih lagi digunakan untuk melindungi manusia khususnya bayi dan kanak-kanak yang masih belum cukup kuat imun tubuh daripada jangkitan penyakit.

Vaksin mengandungi antigen, yang diperolehi daripada virus atau bakteria yang mati atau dilemahkan. Bakteria atau virus akan diproses melalui salah satu cara iaitu mendedahkannya kepada haba yang tinggi atau mengubah unsur genetik sel mereka. Bakteria atau virus ini kemudiannya dijadikan vaksin dan dimasukkan ke dalam tubuh dengan cara disuntik atau dimakan.

Perlindungan yang efektif bagi bayi
Vaksin boleh diberikan secara tunggal untuk satu jenis penyakit dan ada juga vaksin yang dibuat dalam bentuk kombinasi, iaitu dengan menggabungkan beberapa jenis vaksin dalam satu suntikan. Tujuannya adalah untuk memberikan perlindungan beberapa jenis penyakit kepada kanak-kanak dengan hanya satu suntikan sahaja.

Pemberian vaksin bermula semasa bayi kerana sistem imun tubuh mereka lemah berbanding orang dewasa, jadi mereka lebih mudah dijangkiti penyakit. Vaksin yang diberikan kepada bayi peringkat demi peringkat mengikut usia dapat membantu menguatkan sistem imun tubuh mereka, seterusnya melindungi mereka daripada penyakit yang boleh mengancam nyawa. Justeru, ibu bapa digalakkan untuk memberikan anak mereka vaksin mengikut jadual imunisasi yang sudah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Vaksin adalah selamat dan perlu
Vaksinasi adalah selamat. Setakat ini, vaksinasi merupakan perlindungan terbaik untuk mencegah jangkitan penyakit yang berbahaya. Kesemua vaksin ini telah melalui pemantauan dan penyelidikan yang rapi selama bertahun-tahun oleh doktor, saintis, pakar dan kerajaan bagi memastikan ianya selamat untuk diberikan kepada individu.

Vaksinasi dapat melindungi kanak-kanak daripada penyakit yang berbahaya dan perlindungan kepada komplikasi yang memudaratkan seperti kudung pada tangan atau kaki, lumpuh anggota badan, hilang deria pendengaran atau pekak, sawan, kerosakan pada otak dan kematian akibat penyakit-penyakit tertentu.


Tindakan vaksin dan tubuh badan
Antigen dalam vaksin bertindak merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun) untuk menghasilkan antibodi khusus terhadap penyakit tertentu. Ia menguatkan imuniti melalui rangsangan kepada sel pertahanan supaya mengenali virus atau bakteria tertentu untuk dilawan pada masa hadapan.


Usah diabaikan
Sesetengah ibu bapa menganggap bahawa vaksinasi suatu opsyen sahaja dan bukan suatu keperluan buat anak mereka. Namun, perlu diingatkan bahawa sebagai manusia, penyakit kadang-kadang datang tanpa dijangka. Bagi bayi dan kanak-kanak yang sudah divaksin, tubuh mereka terlindung daripada komplikasi teruk akibat penyakit tertentu setelah mendapatkan vaksin.

Sekiranya seseorang kanak-kanak itu tidak divaksin, mereka boleh menyebarkan penyakit kepada kanak-kanak lain (khususnya yang belum mencapai tahap umur untuk menerima vaksin yang dijadualkan) atau kanak-kanak yang lemah sistem imun badannya, seperti mereka yang mengalami kanser atau penyakit berbahaya lain. Perkara ini akan memberi komplikasi jangka panjang kepada individu tersebut atau boleh juga menyebabkan kematian. Penyakit yang boleh dihindari melalui vaksin adalah seperti campak, beguk ataupun batuk kokol yang boleh memberikan ancaman kepada individu lain.

Sesetengah vaksin perlu diberikan selama beberapa kali (iaitu dos pertama, kedua, ketiga dan juga dos tambahan) kerana perlindungan yang diberikan terhad. Bagi mendapatkan perlindungan yang berkesan, anda perlu memastikan anak mendapat dos vaksin yang secukupnya mengikut jadual yang ditetapkan.

Program Imunisasi Kebangsaan
Setiap ibu bapa perlu tahu akan keperluan vaksin kepada bayi mereka. Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menetapkan imunisasi wajib yang perlu diambil bagi setiap bayi, di mana Program Imunisasi Kebangsaan telah diperkenalkan pada awal tahun 1950-an.

Sebanyak lapan vaksin diberikan secara percuma di bawah program ini untuk melindungi bayi dan kanak-kanak daripada penyakit-penyakit seperti tuberculosis (batuk kering), hepatitis B, difteria, pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, Haemophilus influenza type b, measles (campak), mumps (beguk), rubella, human papillomavirus (HPV) dan Japanese encephalitis (JE). Jadual mengenai vaksin wajib juga turut disediakan oleh KKM. Justeru itu, tidak ada alasan untuk ibu bapa tidak mengetahui tarikh yang diperlukan untuk membawa anak mereka ke hospital atau klinik.

Vaksin tambahan yang tidak terdapat dalam Program Imunisasi Kebangsaan:
Pneumokokal (conjugated vaccine) – Disyorkan 3 dos; dos pertama diberi selepas umur 6 minggu.
Rotavirus – Dos pertama disyorkan selepas umur bayi 6 minggu.
Hepatitis A – Disyorkan 2 dos; dos pertama diberi untuk kanak-kanak 1 tahun ke atas.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.