Bolehkah Ibu Ambil Ubat Jika Menyusukan Bayi?

Susu ibu merupakan diet yang terbaik untuk bayi terutamanya buat bayi baru lahir. Ia mengandungi nutrisi yang lengkap dan merupakan antibodi semula jadi bayi. Akan tetapi, ada ketikanya si ibu perlu mengambil ubat untuk keadaan-keadaan tertentu. Adakah pengambilan ubat tersebut akan memberi kesan kepada bayi yang minum susu ibu?

Ramai ibu dinasihati untuk berhenti menyusukan bayi atau mengelakkan pengambilan ubat kerana bimbang ubat tersebut akan membawa kesan sampingan kepada bayi. Nasihat seperti ini selalunya bukan berdasarkan bukti bahawa ubat tersebut adalah merbahaya sebaliknya, ia lebih kepada faktor tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai ubat tersebut; atau maklumat yang ada hanya terhad kepada ujian terhadap haiwan sahaja.

Memang benar, kebanyakan ubat secara umumnya akan diserap masuk melalui susu tetapi dalam kandungan yang sangat sedikit (kurang daripada 1%). Kehadiran ubat dalam susu tidak bermaksud akan membawa apa-apa kesan kepada bayi ataupun sebaliknya.

Sebenarnya, terdapat banyak faktor yang perlu dipertimbangkan bagi menentukan sama ada penyusuan susu ibu di kala mengambil ubat adalah selamat bagi bayi. Pertama sekali adalah sifat kimia dan farmakologi ubat tersebut seperti saiz molekulnya, tahap kelarutan dalam lemak, tahap penyerapan ke dalam badan dan sebagainya. Sifat-sifat ini akan mempengaruhi tahap kandungan ubat dalam badan bayi. Profil kesan advers ubat tersebut juga merupakan salah satu faktor yang penting kerana alahan kepada ubat tidak bergantung kepada tahap kandungan ubat. Bukan itu sahaja, kandungan ubat yang sama juga memberikan kesan yang berbeza terhadap bayi yang lahir cukup umur atau dilahirkan pramatang. Ubat yang diambil untuk jangka masa yang panjang atau pendek juga perlu diambil kira.

Bolehkah ibu terus menyusukan susu ibu jika mengambil ubat?
Seperti faktor-faktor yang dinyatakan di atas, jawapannya adalah bergantung kepada jenis ubat yang diambil. Bagi kebanyakan ubat, jawapannya adalah ya. Ibu boleh terus menyusukan anak walaupun sedang mengambil ubat. Hanya segelintir ubat sahaja yang langsung tidak boleh diambil semasa menyusukan susu ibu (kontraindikasi). Contoh ubat tersebut adalah ubat-ubat sitotoksik, ubat radioaktif, dadah rekreasi dan ubat yang menghentikan laktasi.

Bagaimana untuk mengurangkan kandungan ubat dan kesan kepada si manja?
Secara umumnya, langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan pemindahan ubat kepada bayi termasuklah:

  • Menggunakan ubat yang mempunyai tahap penyerapan ke dalam darah yang rendah seperti memakai ubat semburan hidung untuk rawatan hidung tersumbat
  • Dos efektif yang paling rendah
  • Menyusu semasa kandungan ubat dalam susu adalah paling minima seperti mengambil ubat sejurus selepas menyusukan bayi, atau sebelum masa tidur bayi yang paling lama
  • Memerah dan membuang susu sepanjang rawatan jikalau rawatan ubat hanya untuk jangka masa yang pendek. Ibu boleh memberi bekalan susu simpanan (jika ada) dalam jangka masa rawatan

Apakah ubat-ubat lazim yang selamat untuk diambil?
Secara lazimnya, jikalau ubat tersebut mempunyai formulasi untuk kanak-kanak, ubat itu dikira selamat untuk diambil semasa menyusukan anak. Ubat-ubat lain adalah seperti:

  • Ubat tahan sakit/ demam: Paracetamol adalah ubat tahan sakit/demam yang paling selamat digunakan. Ibuprofen juga boleh digunakan jika paracetamol tidak sesuai. Aspirin dos tinggi adalah tidak digalakkan kerana mempunyai risiko untuk bayi mendapat Reye’s syndrome. Sekiranya dos rendah aspirin diambil untuk tujuan antiplatelet (75-150mg), elakkan menyusu anak (direct latch) 1-2 jam selepas mengambil aspirin
  • Ubat batuk dan selesema: Antihistamin yang disyorkan adalah jenis yang tidak mengantuk iaitu loratadine. Jika perlu mengambil chlorpheniramine atau diphenhydramine (antihistamin jenis mengantuk), satu dos sebelum tidur mungkin memadai dan boleh meminimakan kesan ubat terhadap bayi. Kombinasi antihistamin dengan pseudoephedrine adalah tidak digalakkan kerana boleh mengganggu bekalan susu
  • Antibiotik: Secara umumnya, antibiotik mempunyai potensi untuk mengubah kandungan flora dalam usus bayi dan mungkin boleh menyebabkan cirit-birit dan jangkitan kulat. Antibiotik dalam kumpulan penicillin, cephalosporin dan macrolide adalah dianggap selamat untuk ibu menyusu dan bayi. Jikalau ibu mempunyai bekalan susu yang banyak, ibu boleh memberikan anak bekalan susu simpanan tersebut sepanjang rawatan antibiotik

Akhir kata, sekiranya ibu tidak sihat dan memerlukan rawatan, adalah wajar untuk memberitahu doktor bahawa ibu masih menyusukan anak supaya doktor boleh memberikan ubat yang paling sesuai. Sekiranya ingin mendapat maklumat daripada internet, pastikan maklumat di laman sesawang adalah daripada sumber yang sah. Bukan semua maklumat yang didapati daripada internet boleh dipercayai. Jika ragu tentang kesan ubat, boleh berjumpa dengan doktor atau ahli farmasi untuk memahami dengan lebih mendalam setiap ubat yang diambil.


Rujukan:
http://toxnet.nlm.nih.gov/newtoxnet/lactmed.htm
https://www.breastfeedingnetwork.org.uk/detailed-information/drugs-in-breastmilk/drugs-factsheets/
http://www.medsafe.govt.nz/profs/puarticles/lactation.htm
http://www.kemh.health.wa.gov.au/health/breastfeeding/drugs_breastfeeding.htm


Artikel diambil daripada laman www.doktorbudak.com dan dijawab oleh Wong Yeng Pooi, Pegawai Farmasi di hospital kerajaan

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.