Rumah Bersih, Penghuni Selesa

Istilah Rumahku, Syurgaku tidak seharusnya tertumpu kepada dekorasi rumah sahaja, bahkan lebih daripada itu. Tumpukan perhatian juga kepada kebersihan rumah dan kawasan sekitarnya, supaya rumah anda menjadi kediaman yang selamat dihuni untuk seisi keluarga.

Keadaan di dalam dan luar rumah boleh mempengaruhi kesihatan dan kebahagiaan penghuni rumah tersebut, tidak kira usia. Jika rumah anda turut dihuni bersama anak kecil, harus diingat bahawa mereka berisiko tinggi jika sentiasa terdedah kepada kekotoran dan pencemaran di dalam rumah dan di persekitarannya.

Memastikan rumah sentiasa elok untuk dihuni oleh keluarga tersayang adalah tanggungjawab ibu-bapa dan bulan ini, MP ingin berkongsi tips berikut dengan para pembaca.

Pastikan udara di dalam rumah segar dan bersih
Ramai yang beranggapan pencemaran hanya berlaku di luar rumah sahaja. Jangan tersilap, ya! Pencemaran dalam rumah juga boleh terjadi. Asap dari rokok dan dapur gas, bulu haiwan, debu, pewangi rumah, bauan dari bahan pencuci rumah dan banyak lagi boleh menyebabkan udara di dalam rumah anda tercemar, sekali gus boleh membahayakan kesihatan seluruh keluarga anda. Udara yang tercemar di dalam rumah adalah lebih buruk kesannya kerana udara ini yang kita sedut sepanjang hari.

Bagaimana mahu meningkatkan kualiti udara di dalam rumah?

  • Pasang penapis udara untuk membersihkan udara dalam rumah di samping menyegarkan udara. Penapis udara juga dapat membantu mengurangkan virus, bakteria, bau dan kulat.
  • Jika boleh, elakkan penggunaan permaidani supaya dapat mengurangkan pengumpulan habuk dan debu.
  • Gunakan pembersih vakum yang mengandungi penapis HEPA yang berfungsi untuk memerangkap habuk sekali gus mengurangkan alergen di dalam rumah.
  • Pastikan penyaman udara anda kerap dibersihkan dan diservis.
  • Kerap bersihkan bilah kipas siling dan kipas meja.

Bekalan air yang elok dan bersih
Air adalah sumber penting yang digunakan setiap hari. Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan air yang digunakan setiap hari adalah bersih dan selamat untuk diminum atau untuk kegunaan harian. Jangan terlalu yakin bahawa bekalan air di rumah cukup bersih. Cara paling mudah untuk mendapatkan air yang selamat adalah dengan memasak air sebelum minum. Satu alternatif yang bijak adalah memasang penapis air untuk mendapatkan air yang berkualiti untuk kegunaan keluarga. Mesin-mesin penapis air yang moden dapat menghasilkan air yang bersih, jernih dan tidak berbau.

Elak gigitan nyamuk
Gigitan nyamuk pasti tidak selesa untuk sesiapa pun. Bukan sekadar ketidakselesaan sahaja, tetapi gigitan nyamuk tertentu seperti aedes boleh menyebabkan penyakit merbahaya seperti denggi.

Setiap tahun, beratus orang maut atau jatuh sakit berpunca daripada gigitan nyamuk aedes ini. Jauhkan nyamuk daripada rumah dan persekitaran dengan langkah-langkah berikut:

  • Buang atau terbalikkan semua bekas yang boleh menakung air dan tidak digunakan
  • Pastikan longkang sentiasa bersih dan tidak tersumbat
  • Gunakan semburan serangga, alat penghalang serangga elektronik, atau lingkaran nyamuk untuk membunuh atau menghalang nyamuk
  • Pastikan tingkap dan pintu rumah dipasang dengan skrin penghalang serangga
  • Gunakan ubat penghalang nyamuk yang sesuai pada kawasan kulit yang terdedah apabila berada di luar rumah pada waktu subuh dan senja
  • Tukar air dalam pasu bunga dengan kerap

Tips ringkas untuk menghalang pengumpulan habuk dan debu di rumah

  • Lap semua permukaan yang susah dicapai dan tangga dengan kain lembap.
  • Habuk dan debu sangat ringan; Oleh itu, mulakan proses pembersihan dari tempat paling tinggi ke tempat paling rendah.
  • Bawa semua bantal, kusyen dan hamparan ke luar rumah dan tepuk pada setiap satu untuk membuang debu dan habuk.
  • Amalkan tabiat mengelap semua permukaan yang boleh dilap sekerap mungkin.
  • Gunakan pengering rambut untuk membersihkan habuk jambangan bunga sintetik.
About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.