Urutan Legakan Ketidakselesaan Bayi

Bergelar ibu dan bapa baharu tentunya menjadi momen yang bermakna dan mengujakan. Namun, ia juga boleh jadi detik yang mencemaskan buat semua ibu bapa bukan sahaja ibu bapa baharu, bahkan juga ibu bapa yang berpengalaman. Ini kerana setiap anak adalah unik dan boleh memberikan pengalaman serba baharu pada ibu bapa.

Sebagai ibu bapa, kita seboleh-bolehnya mahu mencegah dan merawat keadaan yang menyebabkan ketidakselesaan pada anak-anak. Akan tetapi, ada sesetengah keadaan yang biasa berlaku pada anak kecil turut mampu mendatangkan tekanan pada ibu bapa. Contohnya, refluks gastro-esofageal, atau dikenali GER yang biasa dihadapi oleh anak kecil, yang mengakibatkan bayi kerap meludah atau muntah selepas menyusu. Gejala ini biasanya dialami bersama sakit perut atau meragam selama berjam-jam selepas menyusu1.

Ini adalah keadaan biasa dalam beberapa minggu dan bulan pertama hayat bayi kerana gelang otot pada dasar esofagus belum cukup matang. Ini mengakibatkan sebahagian daripada gabungan makanan, minuman dan asid daripada perut bayi naik semula menerusi esofagus, dan bukannya disalurkan kepada usus besar dan kecil, lantas menyakitkan salutan dinding esofagus. Oleh sebab gejala dan tanda GER seakan serupa dengan kolik, keadaan ini adakalanya dikelirukan dengan kolik2. Dalam budaya Cina, GER dalam istilah bahasa percakapan dikenali sebagai ‘tangisan seratus hari’ kerana ia biasanya berlaku dalam 100 hari pertama selepas kelahiran bayi.

Antara kaedah yang boleh membantu untuk melegakan si manja adalah mengurut perlahan perut bayi selama beberapa minit. Seorang pendukung urutan bayi, June Choo berkongsi beberapa petua urutan bayi yang boleh membantu melegakan bayi, termasuk si kecil yang kerap berasa tidak sedap perut.


Kajian mendapati bahawa urutan bayi juga memberikan manfaat tambahan3 seperti:

  1. Membolehkan anda membelai dan meluangkan masa dengan anak.
  2. Membantu si kecil relaks dan tidur.
  3. Mempengaruhi secara positif hormon bayi yang mengawal stres.
  4. Menggalakkan tumbesaran bagi bayi pramatang.

Mulakan Dengan Cara Yang Betul
Sebelum memulakan urutan, sentiasa hangatkan minyak menggunakan tangan sehingga mencecah suhu badan. Bercakap dengan bayi anda sebagai sebahagian daripada proses urutan dapat membantu mendorong si kecil supaya menantikan sesi urutan dan mengeratkan hubungan anda dengan bayi.

Satu gaya urutan perut yang popular ialah gaya Atas-Ke-Bawah. Letakkan kedua-dua belah tangan anda pada perut bayi dan secara perlahan tolak ke bawah dengan sedikit tekanan. Ia akan membantu membuang angin dalam perut bayi menerusi saluran usus. Anda boleh melakukan cara ini kira-kira empat hingga enam pusingan, tetapi perhatikan reaksi bayi terhadap urutan setiap kali sebelum meneruskannya.

Ada juga satu gaya urutan perut yang sangat istimewa yang dinamakan I Love You bagi mewakili satu set tiga langkah berterusan yang meniru bentuk huruf ‘I’, ‘L’ dan ‘U’. Urutan I Love You sesuai untuk bayi yang mempunyai angin berlebihan dalam perut ataupun sembelit, dan diilhamkan menurut susunan usus manusia yang terlilit mengikut arah jam.


  1. Huruf pertama ‘I’ memerlukan anda meletakkan tangan pada bahagian kanan perut bayi dan mengurut ke bawah sekali, seperti bentuk huruf ‘I’.
  2. Kemudian, teruskan dengan huruf ‘L’ dengan meletakkan tangan pada perut bayi dan perlahan-lahan menolak ke arah kanan secara mendatar kemudian menuju ke bawah, mengikut arah dalam-ke-luar, seakan membentuk huruf ‘L’ yang terbalik.
  3. Untuk huruf ‘U’, gerakannya seakan bentuk huruf ‘U’ yang terbalik, bermula daripada usus kecil dalam arah menghala ke luar.

Jadi, daripada ‘I’ ke ‘L’ ke ‘U’, gerakan urutan membantu mencipta gerakan menolak bagi membantu bayi menyahkan angin atau melegakan sembelit. Ibu bapa dinasihatkan supaya melakukan urutan ini secara lembut.

Empat hingga enam pusingan urutan ‘I Love You’ bagi setiap sesi adalah memadai untuk mendapatkan hasil. Walau bagaimanapun, seperti gaya urutan lain, ia bergantung kepada reaksi si kecil, sama ada dia menerima dan serasi dengan urutan berkenaan.


Sumber:
1. Great Ormond Street Hospital for Children, Feb 2014, http://www.gosh.nhs.uk/medical-information/gastro-oesophageal-reflux
2. WebMD, Is It Colic or Something Else?, https://www.webmd.com/parenting/baby/features/infant-digestive-conditions#1
3. Mayo Clinic, 17 April 2015, Infant massage: Understand this soothing therapy, http://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/infant-and-toddler-health/in-depth/infant-massage/art-20047151?pg=1


June Choo merupakan Pengarah Urusan Hong Yang Hoo Pharma Sdn Bhd, syarikat yang mengeluarkan produk minyak TYT. June membesar dalam sebuah keluarga yang percaya pada kuasa urutan bagi melegakan bayi dan beliau juga berpengetahuan luas dalam bidang urutan bayi, serta pernah mengambil kursus anjuran Persatuan Urutan Bayi Antarabangsa (IAIM) di Australia. Artikel ini disediakan oleh TYT.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.