Elakkan Komplikasi Semasa Hamil

Wanita mudah terdedah kepada pelbagai komplikasi semasa kehamilan. Masalah-masalah ini boleh melibatkan kesihatan ibu hamil, bayi dalam kandungan atau kedua-duanya sekali. Bagi mengurangkan atau mengelakkan risiko komplikasi kehamilan, anda perlu menjaga kesihatan sejak dari sebelum hamil lagi.

Antara masalah kesihatan yang sering dihadapi oleh wanita hamil ialah:

Anemia
Anemia ialah keadaan di mana seseorang itu kekurangan sel darah merah. Wanita hamil yang mengalami anemia mungkin akan menunjukkan tanda-tanda seperti cepat letih dan lemah.
Punca: Kekurangan zat besi, folat, Vitamin B12, infeksi dan talasemia.
Implikasi: Anak yang dikandung mungkin akan menjadi kecil dan dilahirkan lebih awal daripada sepatutnya.
Cara mencegah: Wanita hamil perlu mendapatkan makanan tambahan zat besi dan asid folik bagi membantu tubuh membekalkan darah untuk menampung tumbesaran janin.

Kencing Kotor
Masalah kencing kotor atau Urinary Tract Infections (UTI) adalah disebabkan jangkitan kuman pada saluran air kencing.
Tanda-tanda: Sakit atau rasa terbakar semasa kencing, demam, letih atau seram sejuk, kerap berulang-alik ke tandas untuk membuang air kecil, tidak puas kencing, sakit di bahagian bawah abdomen, air kencing berbau atau kelihatan berwarna merah serta loya dan sakit belakang
Punca: Wanita hamil mudah mendapat kencing kotor kerana faktor perubahan hormon dan urethra (saluran yang membawa air kencing dari pundi kencing ke luar) yang pendek.
Implikasi: Jangkitan kuman pada buah pinggang dan boleh merebak ke seluruh peredaran darah sekali gus menyebabkan kematian. Selain itu, bayi yang dikandung juga akan mengalami risiko kelahiran awal dan kurang berat badan.
Cara mencegah: Minum air yang banyak iaitu 6 hingga 8 gelas sehari, menjaga kebersihan diri dan mengurangkan makanan yang manis. Pengambilan antibiotik, vitamin C, beta-karotene dan zink juga dapat membantu melawan jangkitan kuman tersebut.

Pre-Eklampsia
Pre-eklampsia adalah komplikasi serius yang dialami oleh kira-kira 5 peratus di kalangan wanita hamil. Anda disahkan mengalami pre-eklampsia jika tekanan darah tinggi dan protein pada urin, ginjal atau hati abnormal selepas 20 minggu kehamilan.
Implikasi: Kegagalan fungsi hati atau buah pinggang dan risiko masalah jantung (jika tidak dirawat). Ibu berkemungkinan mendapat sawan, plasenta tidak mendapat darah yang mencukupi, sekali gus menyebabkan bayi yang lahir kurang berat badan.
Cara mencegah: Kurangkan pengambilan makanan bergaram, kafein dan dapatkan posisi tidur yang betul seperti berbaring mengiring ke kiri bagi membolehkan aliran darah yang optimum. Ibu hamil perlu minum air kosong sekurang-kurangnya 8 gelas sehari, mendapatkan rehat yang mencukupi dan mengambil ubat atau suplemen tambahan yang disyorkan oleh doktor.


Sumber: www.cdc.gov, www.webmd.com, www.myhealth.gov.my

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.