Mengapa Perlu Jaga Makan Semasa Penyusuan

Semasa hamil atau selepas bersalin, anda masih perlu menitikberatkan amalan pemakanan anda. Tambahan pula jika anda sedang menyusukan anak. Penjagaan diet selepas bersalin bukan sahaja perlu untuk meningkatkan pengeluaran susu (bagi ibu yang menyusukan anak) tetapi juga untuk mengembalikan semula tenaga anda selepas proses bersalin.

Selepas bersalin, perkara paling penting yang perlu anda titikberatkan adalah bagi mengembalikan semula kekuatan dan tenaga dalam badan memandangkan sebagai ibu baru, anda bukan hanya akan menyusukan bayi sahaja tetapi juga menjaga dan menguruskan bayi. Justeru itu, penjagaan nutrisi selepas kelahiran adalah penting terutama kepada ibu yang menyusukan bayi kerana mereka memerlukan nutrisi terbaik untuk tubuh dan juga bayi.

Anda tidak perlu makan sebarang makanan khas semasa menyusukan bayi. Apa yang perlu anda ambil berat adalah mendapatkan pemakanan yang seimbang dan sihat. Antara makanan yang perlu anda ambil ialah:

  • Karbohidrat seperti roti dan nasi. Pilih makanan yang berbijirin penuh dan mengandungi fiber
  • Buah-buahan dan sayur-sayuran
  • Protein seperti daging, telur dan kekacang. Makan ikan sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Contoh ikan terbaik ialah ikan lemak seperti salmon
  • Makanan tenusu rendah lemak seperti yogurt atau susu rendah lemak
  • Bagi memastikan anda dan bayi mendapat keperluan nutrisi yang diperlukan, teruskan mengambil vitamin pranatal sehingga bayi anda bercerai susu

Tahukah anda?
Makan pelbagai makanan yang berbeza semasa penyusuan akan mengubah rasa susu badan anda. Hal ini akan mendedahkan bayi kepada pelbagai rasa sekali gus dapat membantunya untuk lebih mudah menerima makanan pejal nanti.


Ibu baru sering disogokkan cerita mengenai pengambilan lebih banyak makanan bagi ibu yang sedang menyusukan bayi. Hal ini kerana kebanyakan ibu mendapati selepas menyusukan anak, selera makan mereka akan semakin meningkat. Asalkan anda kekal mengambil diet yang sihat iaitu yang kaya dengan vitamin, protein dan fiber, tiada masalah. Walau bagaimanapun, carilah pelbagai jenis makanan yang berkhasiat bagi memastikan anda mendapat zat yang diperlukan oleh tubuh.

Berbeza pula halnya jika anda kurang selera makan. Ini mungkin petanda bahawa anda memerlukan sokongan emosi tambahan. Wanita yang berdepan dengan kemurungan selepas bersalin seringkali mengalami hilang selera makan. Sebaik-baiknya, berjumpalah dengan doktor anda bagi mendapatkan nasihat tentang cara menangani masalah anda ini.


Adakah saya perlukan lebih kalori semasa menyusukan anak?
Ya, anda perlukan tambahan 400 hingga 500 kalori sehari bagi mengekalkan tenaga. Anda boleh mengambil sekeping roti berbijirin penuh bersama satu sudu besar mentega kacang, sebiji pisang atau epal dan yogurt.


Minum itu perlu
Selain pemakanan, minuman juga penting untuk membantu penyusuan anda. Walaupun ada pendapat yang mengatakan anda perlu minum banyak air bagi meningkatkan lagi pengeluaran susu badan anda, namun secara faktanya, anda hanya perlu minum air secukupnya bagi menghilangkan dahaga. Tidak cukup air dalam badan akan menyebabkan anda dehidrasi. Malah jika anda minum lebih air juga, tidak akan mempengaruhi pengeluaran susu badan anda, sebaliknya anda akan jadi lebih haus.

Warna air kencing anda boleh menjadi petunjuk untuk memastikan sama ada anda cukup minum. Jika urin anda berwarna pudar atau terang, ini bermakna badan anda tiada masalah. Akan tetapi, jika warna air kencing anda kuning pekat dan berbau, anda mungkin mengalami dehidrasi. Tambahan pula jika anda kerap pitam. Justeru itu, anda perlu lebih banyak minum air jika mengalami tanda tersebut.

Berhati-hati dengan pengambilan minuman jus dan minuman bergula. Pengambilan banyak minuman bergula boleh menyebabkan berat badan anda meningkat sekali gus menghalang usaha anda untuk mengembalikan berat badan seperti sebelum hamil.


Bonus Tips
Elakkan minuman berkafein semasa anda sedang menyusukan bayi. Hadkan pengambilan kafein tidak lebih 300mg sehari atau dua cawan kopi sehari. Pengambilan kafein yang berlebihan akan mengganggu jadual tidur bayi anda.


Berpantang makan
Tahukah anda, apa yang anda makan akan mempengaruhi bayi anda? Kebanyakan bayi alah dengan protein susu lembu. Bayi yang mendapat alahan akan mengalami simptom-simptom berikut:

  • Gatal-gatal
  • Bengkak pada mata, muka dan bibir
  • Batuk
  • Sembelit
  • Refluks atau muntah
  • Hilang selera
  • Ekzema

Jika anak anda mengalami tanda-tanda tersebut sebaik sahaja menyusu, dapatkan nasihat daripada doktor anda. Jika anda ragu-ragu bahawa pemakanan anda mungkin akan memberi kesan kepada bayi, elakkan makanan atau minuman itu untuk jangka masa seminggu bagi melihat perbezaan pada si manja.

Elakkan makanan yang diperbuat daripada susu lembu, kacang tanah, soya, gandum, telur atau jagung. Sesetengah ibu menyusu memberitahu, dengan mengelakkan makanan yang berangin dan pedas seperti bawang merah atau kubis dapat melancarkan proses penyusuan- tetapi hal ini masih belum dapat dibuktikan lagi.


Tips Hangat
Bagi mengenal pasti sama ada anak anda mempunyai alahan terhadap pemakanan yang anda makan, buat jadual pemakanan. Senaraikan semua yang anda makan dan minum serta tuliskan nota kesan terhadap anak anda. Jika anda tidak mengambil makanan atau minuman tersebut, bagaimana pula kesannya terhadap anak anda. Jika tiada kesan, cuba lagi ambil makanan/minuman tersebut dan lihat kembali kesannya.


Suplemen untuk penyusuan
Suplemen harian yang disarankan adalah yang mengandungi 10 mikrogram (mcg) Vitamin D. Bayi yang menyusu memerlukan Vitamin D daripada susu badan ibu, justeru anda perlu mendapat Vitamin D yang mencukupi dalam diet anda.

Jika anda mengambil suplemen atau susu pranatal sebelum kehamilan, teruskan mengambilnya semasa penyusuan.


Sumber: www.mayoclinic.org

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.