Perkara Asas Tentang Penghadaman Bayi Baru Lahir

Saluran penghadaman bayi baru lahir belum berfungsi sepenuhnya dan terdedah kepada jangkitan. Apa-apa yang masuk ke dalam mulut si manja anda akan terus ke saluran pencernaan, di mana saluran tersebut masih belum bersedia untuk melawan bakteria dan patogen lain. Dalam tempoh enam bulan selepas lahir, sistem penghadaman bayi anda akan mengalami perubahan yang besar di mana ia boleh menghasilkan enzim untuk mencerna makanan dan antibodi untuk perlindungan dirinya.

Jangan pandang remeh masalah penghadaman bayi! Kebanyakan ibu bapa tidak lena tidur jika bayinya mengalami masalah penghadaman; tidak kiralah sembelit, cirit-birit mahupun sakit perut. Apa yang perlu anda lakukan jika berhadapan dengan masalah ini?

Sistem tubuh badan bayi, seperti penghadaman dan perkumuhan sedang berkembang, terutama semasa empat bulan pertama kelahirannya. Justeru, tidak hairanlah mengapa bayi hanya dibolehkan untuk minum susu sahaja semasa bulan terawal kelahirannya. Dua cara yang dapat membantu penghadaman bayi ketika ini adalah penyusuan susu ibu dan menghisap.


Info
Kebanyakan bayi akan mula mengalami masalah dengan sistem penghadaman mereka selepas bercerai susu, iaitu apabila sudah makan makanan separa pejal dan pejal.


Penyusuan Susu Ibu
Susu ibu mudah dicerna. Ia juga bertindak sebagai pelawas yang memastikan usus bergerak. Menghisap puting atau botol susu dapat membantu mengeluarkan enzim pencernaan dalam perut bayi dan juga melegakan usus. Bagi membantu ibu bapa mengetahui akan kesihatan penghadaman bayi mereka, perhatikan pada najisnya. Semasa enam hingga lapan minggu pertama, najis bayi anda sepatutnya berwarna kekuning-kuningan cair.

Apa anda perlu tahu tentang najis bayi?

  • Perkara paling utama jika anda ingin memastikan kesihatan sistem penghadaman bayi adalah dengan memantau najisnya.
  • Najis pertama bayi dipanggil meconium dan biasanya ia akan keluar dalam tempoh 48 jam pertama kelahirannya.
  • Warna najis bayi baru lahir juga berubah. Ia boleh jadi kehitam-hitaman atau kekuning-kuningan.
  • Kekerapan bayi membuang air besar juga tidak menentu. Ada yang kerap dan ada juga yang tidak membuang air besar seharian.
  • Bayi yang menyusu badan lazimnya akan membuang air besar 6-10 kali sehari dan kekerapan itu akan berkurangan menjelang minggu ke-3 kelahirannya.
  • Berbeza dengan bayi yang minum susu formula kerana pergerakan usus dan kekerapan pembuangan najis adalah bergantung kepada jenis susu formula yang diberikan.
  • Jika najis bayi anda keras dan dia mengalami kesukaran untuk membuang air besar, kemungkinan besar bayi anda sembelit. Bawanya berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.
  •  Jika anda mengesyaki bayi mengalami cirit-birit (tekstur najis bayi cair dan berulang kali membuang air besar), dapatkan rawatan segera dengan berjumpa pakar.

Tahukah anda?
Usus adalah organ penting dalam sistem penghadaman. Usus yang sihat amat penting untuk tumbesaran kanak-kanak kerana 80 peratus sel penghasil antibodi berada pada usus.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.