Permulaan Yang Baik Untuk Bakal Ibu

Berita kehamilan pasti menjadi perkara yang menggembirakan buat pasangan yang berkahwin. Bagi menjadikan 9 bulan alam kehamilan lancar, semestinya penjagaan rapi perlu dititikberatkan oleh bakal ibu. Kehamilan yang sihat akan melahirkan ibu yang gembira dan bayi yang sihat.

Sepanjang 9 bulan kehamilan, ibu hamil akan berdepan dengan pelbagai perubahan dan cabaran. Bersedialah dengan sebarang kemungkinan tentang perubahan pada diri anda dan juga bayi. Berikut kami himpunkan tips-tips untuk bakal ibu membuat persediaan bagi melayari alam kehamilan yang sihat dengan penuh keseronokan.

Makanan, Paling Utama! 
Aspek paling penting untuk kesihatan tubuh anda, terutamanya semasa anda hamil adalah pemakanan. Pemakanan yang betul dan secukupnya semasa hamil adalah penting untuk si manja anda membesar dan berkembang. Anda perlu mengambil lebih daripada 300 kalori sehari berbanding sebelum anda hamil. Meskipun semasa awal kandungan anda mungkin akan mengalami masalah mabuk kehamilan, namun teruskan mengambil makanan seimbang dan vitamin pranatal.

Berikut merupakan beberapa saranan bagi memastikan anda dan bayi sihat.

  1. Makan pelbagai jenis makanan bagi mendapatkan nutrisi yang anda dan bayi perlukan.
  2. Pilih makanan yang kaya dengan serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
  3. Pastikan anda mendapat vitamin dan mineral yang mencukupi dalam diet harian.
  4. Makan sekurang-kurangnya satu sumber daripada vitamin C, asid folik dan vitamin A semasa tempoh kehamilan anda.
  5. Elakkan juga daripada mengambil makanan berlemak dan mentah seperti daging atau ikan mentah.
  6. Kurangkan pengambilan kafein (tidak lebih 300mg sehari) dan minuman manis, serta jangan ambil alkohol semasa hamil.

Penting!
Ibu hamil perlu mengambil variasi makanan yang mengandungi protein, kalsium, asid folik, zat besi dan banyak lagi vitamin serta mineral bagi memastikan tumbesaran yang sihat untuk bayi dalam kandungan serta keperluan tubuh ibu hamil.


Nutrisi Mencukupi Dengan Vitamin Pranatal
Jika anda sedang merancang untuk hamil, anda dinasihatkan untuk mula mengambil vitamin pranatal sebagai persediaan kehamilan anda. Sungguhpun anda sudah disahkan hamil, anda masih perlu meneruskan pengambilan vitamin pranatal bagi memberikan tubuh anda dan juga bayi nutrisi yang diperlukan sepanjang kehamilan.

Contohnya, asid folik perlu diambil sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum kehamilan bagi mengelakkan bayi anda mengalami masalah kecacatan urat saraf. Selain itu, anda juga perlu mengambil vitamin yang mengandungi kalsium dan zat besi sejak awal kandungan.

Simptom Mengidam
Kira-kira dua pertiga daripada ibu hamil akan merasai simptom mengidam. Mengidam adalah simptom di mana secara tiba-tiba ibu rasa ingin makan sesuatu makanan. Semasa hamil, selera makan anda mungkin akan berubah. Contohnya, jika anda tidak makan durian, secara tiba-tiba semasa hamil anda teringin untuk makan buah tersebut. Dan tidak mustahil juga, jika anda seorang penggemar coklat, tetapi semasa hamil anda akan jadi tidak suka atau ingin termuntah jika makan coklat. Mengidam semasa hamil adalah normal, namun anda masih perlu memastikan makanan yang anda ambil menyediakan tenaga atau nutrien yang penting untuk perkembangan tubuh anda dan bayi. Jika anda mengalami masalah yang menghalang anda daripada mendapatkan hidangan yang seimbang, berjumpalah dengan doktor atau pakar pemakanan.

Kurang @ Terlebih Berat
Wanita hamil sering menggunakan alasan ‘makan untuk dua orang’ untuk menikmati pelbagai jenis makanan tanpa mengira jumlah kalori yang terdapat dalam makanan yang dimakan. Walau bagaimanapun, tidak mencapai berat yang sepatutnya juga akan memberikan risiko bayi kekurangan berat badan, yang sekali gus mencetuskan masalah lain dalam perkembangan si manja. Berikut merupakan rekomendasi yang disyorkan oleh Institut Perubatan (IOM) untuk panduan kenaikan berat semasa kehamilan.

Jika anda tergolong dalam kategori:

  • Kurang berat badan, berat anda perlu naik antara 12 – 18 kilogram
  • Berat badan normal, berat anda perlu naik antara 11 – 16 kilogram
  • Lebih berat badan, berat anda perlu naik antara 7 – 11 kilogram
  • Obesiti, berat anda perlu naik antara 5 – 9 kilogram

Ke mana perginya lebihan berat anda semasa hamil?

  • Bayi: 3 kilogram
  • Plasenta: 800 gram – 1.3 kilogram
  • Cecair amniotik: 800 gram – 1.3 kilogram
  • Payudara: 800 gram – 1.3 kilogram
  • Darah: 1.8 kilogram
  • Simpanan lemak untuk kelahiran dan penyusuan: 2.2 – 4 kilogram
  • Uterus: 800 gram – 2.3 kilogram

Jumlah keseluruhan: 10.2 – 15 kilogram


Secara keseluruhannya, berat badan anda perlu naik antara 900 gram hingga 1.8 kilogram semasa tiga bulan pertama anda hamil, dan 450 gram seminggu untuk minggu-minggu berikutnya.

Tips Mendapatkan Berat Yang Betul Semasa Hamil

  1. Kerap makan tetapi dalam kuantiti yang sedikit (lima hingga enam hidangan setiap hari).
  2. Jika anda ingin mengunyah, sediakan snek ringan yang berkhasiat seperti kekacang, kismis, biskut atau yogurt.
  3. Letakkan susu rendah lemak ke dalam kentang putar, telur hancur atau minuman anda.
  4. Sesekali, campurkan perasa dalam hidangan anda seperti mentega atau margerin, keju krim, gravy, tairu atau keju.

Bersenam 
Sekiranya anda tidak mengalami komplikasi kehamilan, rutin senaman harian dapat memberi banyak manfaat kepada anda. Kekal aktif adalah penting untuk bakal ibu. Tabiat bersenam dapat membantu anda meningkatkan tahap kesihatan badan dan seterusnya dapat membantu melancarkan proses kelahiran. Bersenam semasa hamil juga dapat membantu bakal ibu mengawal berat badan, memperbaiki peredaran, meningkatkan mood, mendapatkan tidur yang lebih lena, mengurangkan ketidakselesaan semasa hamil seperti sakit belakang dan kelesuan, meredakan tekanan serta membina tenaga yang diperlukan semasa proses kelahiran. Antara aktiviti yang boleh dilakukan oleh kebanyakan wanita hamil ialah pilates, yoga, berenang dan berjalan. Elakkan aktiviti berat seperti meluncur salji, menunggang kuda, bermain ragbi, bola keranjang, bola baling atau melompat.


Jumpa Pakar
Sebelum memulakan sebarang senaman, dapatkan nasihat daripada doktor anda tentang senaman yang boleh anda lakukan. Senaman berimpak rendah adalah lebih digalakkan kepada wanita hamil.


Senaman kegel
Senaman kegel dapat menguatkan otot pelvik, yang berfungsi menyokong pundi kencing, usus dan juga rahim anda. Lakukannya dengan betul kerana senaman mudah ini dapat membantu memudahkan kelahiran anda dan mengelakkan masalah berkaitan pundi kencing.

Semoga anda dapat melayari alam kehamilan dengan lancar dan menyeronokkan!


Sumber: www.webmd.com, www.parents.com

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.