Cara Tradisional Redakan Demam

Pasti anda risau bukan jika si manja anda demam? Lebih-lebih lagi jika bayi anda demam panas. Cubalah cara tradisional untuk merawat demam atau sekurang-kurangnya meredakan demam anak anda. Namun, ingat! Petua tradisional ini hanya cadangan sahaja dan anda disarankan untuk membawa anak anda berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan.

  • Tanpa perlu mengeluarkan modal, anda boleh gunakan kaedah ini. Ambil beberapa helai daun bunga raya dan ramaskannya sehingga hancur. Sapukan lendir daun tadi pada kepala dan ubun-ubun bayi. Ulang beberapa kali sehingga demam anak anda kebah.
  • Ubi kayu diketahui oleh orang lama dapat menyejukkan badan. Ambil sebatang ubi kayu dan kupas kulitnya. Cuci ubi yang telah dikupas tadi sehingga bersih. Seterusnya, parut ubi kayu dan tempekkan parutan tadi di dahi anak anda.
  • Jika di rumah anda ada daun sirih, anda boleh lakukan kaedah ini. Ambil beberapa helai daun sirih dan sebiji buah pinang. Balutkan buah pinang di dalam daun sirih dan tumbukkannya sehingga hancur. Campurkan bahan yang hancur bersama sedikit air suam dan sapukan pada ubun-ubun anak anda bagi meredakan demamnya.
  • Ambil segenggam asam jawa dan rendamkannya ke dalam secawan kecil air. Ramaskan asam jawa dan sebatikannya dengan air tadi. Sapukan air asam jawa pada bahagian dahi dan tubuh anak anda. Biarkan asam jawa tadi kering di badan anak anda.
About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.