Kanak-kanak dilahirkan mempunyai imaginasi yang tinggi. Cara berfikir mereka biasanya dipengaruhi oleh faktor sekeliling seperti didikan ibu bapa, pengaruh pemikiran orang yang rapat dengan mereka dan media. Bagi melahirkan kanak-kanak yang kreatif, ibu bapa perlu memberi ruang kepada kanak-kanak. Mungkin ada beberapa perbuatan anda tanpa disedari menyebabkan pemikiran anak anda terbatas.
Anak banyak tanya
Menjadi tabi’e kanak-kanak untuk gemar bertanya berulang kali sehingga mereka puas hati. Soalan-soalan yang diajukan umpama polis menyoal siasat si pesalah ini ada kalanya membuatkan anda bosan dan malas untuk melayan perbualan dengan anak anda.
Namun, tahukah anda, bagi melahirkan kanak-kanak yang kreatif, soalan-soalan yang ada kalanya tidak masuk akal ini perlu dijawab oleh orang dewasa. Hal ini adalah bagi membiarkan anak anda berfikir sejenak dan mengaitkan jawapan dengan soalan yang diberikan. Reaksi anda yang tidak melayan pertanyaan anak secara tidak langsung menyekat pemikiran kreatif kanak-kanak.
Layani kreativiti anak
Kreatif bukan hanya tertumpu kepada cara anak melukis atau mencipta sesuatu, sebaliknya hal penyelesaian masalah turut merangkumi pemikiran yang kreatif. Berikan satu permasalahan untuk anak anda dan dengarlah jawapan yang akan diberikan. Contohnya, apa yang akan abang buat jika pasu bunga kesayangan ibu pecah? Jawapan daripada anak anda ada kalanya tidak logik tetapi layanilah caranya berfikir.
Buah fikiran sendiri
Ketika bermain juga anda boleh latih anak anda untuk bertindak kreatif. Contoh paling mudah, jika selalunya anda mengajar anak anda untuk membaling bola ke hadapan, mungkin anda boleh tanyakan pendapatnya mengenai cara permainan lain yang menggunakan bola.
Ingat! Jangan sekali-kali memperkecilkan idea yang mereka utarakan kerana akan menyebabkan anak tidak mahu lagi mengeluarkan buah fikiran mereka pada situasi yang lain.
Beri tanggungjawab
Tahukah anda, dengan memberi anak anda tanggungjawab boleh membuatkan mereka berfikiran kreatif? Contohnya, anda memberi mereka peluang untuk menghias bilik mereka atau memberi makan kepada binatang peliharaan. Latihan-latihan seperti ini akan membuatkan anak anda lebih matang dan meningkatkan ketangkasan daya berfikir mereka.
Berselerak
Semasa melakukan aktiviti kreatif, kanak-kanak akan membuatkan ruang yang bersih menjadi berselerak dan bersepah. Anda terpaksa tutup sebelah mata melihat ke’kreatif’an anak anda dengan memikirkan manfaatnya untuk perkembangan tumbesaran anak anda.
Bagi mengatasinya, sediakanlah ruang khas untuk anak anda mengeluarkan idea kreatif mereka di dalam satu bilik khas. Kerja-kerja seni yang melibatkan pensil warna, krayon ataupun warna air pasti membuatkan ruang bersepah. Namun, hasilnya anak anda akan berseronok dan otaknya juga akan berkembang.
Luangkan masa
Mendidik anak berfikiran kreatif bukan hanya perlu dilakukan di rumah sahaja, sebaliknya anda boleh mengadakan pendekatan di luar rumah juga bagi memberikan lebih gambaran kepada kanak-kanak. Contoh paling mudah adalah dengan membawa anak anda ke pantai.
Kanak-kanak cukup gemarkan aktiviti berpasir. Justeru itu, berilah peluang kepada anak anda untuk membina istana pasir impian mereka. Anda boleh membantu mereka dengan bertanyakan soalan-soalan yang akan membuatkan model pasir tersebut dihasilkan mengikut kreativiti mereka seperti, berapa bilik istana ini, berapa orang yang tinggal di sini ataupun mana pintu masuk istana. Soalan-soalan seperti ini sebenarnya membantu kanak-kanak untuk menghasilkan istana pasir mengikut imaginasi mereka sendiri dan juga idea bantuan daripada orang lain.