Rancangan Kelahiran Semula Jadi

Kebanyakan ibu hamil pasti ingin merasai pengalaman melahirkan bayi secara normal atau semula jadi tanpa perlu pembedahan. Walau bagaimanapun, tidak semua ibu berpeluang untuk merasai pengalaman itu.

Rasa cemas, takut, gementar dan sakit bercampur-baur semasa anda di dalam bilik bersalin. Meskipun ada antara ibu hamil yang menginginkan kelahiran normal, namun disebabkan rasa yang hadir menyebabkan mereka akhirnya terpaksa memilih pembedahan. Justeru, aspek persediaan sebelum kelahiran adalah penting bagi membantu anda berjaya dengan kelahiran normal. Kami sediakan pelan perancangan untuk memudahkan anda mendapatkan kelahiran bayi secara normal.

1. Hadiri kelas pranatal
Ibu hamil terutama kehamilan sulung perlu mempunyai ilmu tentang alam kehamilan, kelahiran dan penjagaan bayi. Bagi ibu yang ingin melahirkan secara normal, anda perlu mengikuti kelas pranatal yang akan membantu anda menghadapi persediaan sebelum kelahiran bayi. Melalui pakar yang bertauliah dan berkongsi pengalaman dengan ibu-ibu lain akan membuatkan anda rasa lebih tenang dan bersedia menjalani kelahiran, mengurangkan perasaan cemas seterusnya menyediakan anda untuk bersalin secara normal.

2. Pilih hospital yang menyarankan kelahiran normal
Ini antara aspek penting yang perlu anda ikuti untuk kelahiran semula jadi. Anda perlu berjumpa dengan pakar bagi mendapatkan sokongan tentang cara-cara menghadapi kelahiran secara normal dan persediaannya, termasuklah mengelakkan injuksi dan ubat kesakitan. Sebaik-baiknya, pilihlah doktor yang menggalakkan pesakitnya untuk bersalin normal.

3. Pelajari pelbagai teknik bersalin normal
Anda perlu menyiapkan diri dengan pengetahuan untuk kelahiran secara normal. Antaranya adalah dengan mengetahui teknik-teknik tertentu yang boleh menggalakkan anda untuk bersalin secara semula jadi dan memudahkan proses kelahiran bayi.

Antara teknik yang boleh anda cuba adalah melakukan aktiviti naik dan turun tangga semasa hampir hari kelahiran. Walau bagaimanapun, anda perlu berhati-hati melakukan kaedah ini kerana dikhuatiri berlaku kemalangan semasa anda naik dan turun tangga.

4. Persiapkan tenaga untuk kelahiran
Anda perlu bersedia dan persiapkan diri sebelum tempoh kelahiran. Pada minggu-minggu terakhir, dapatkan rehat dan tidur yang mencukupi. Pastikan pemakanan dan kesihatan anda terpelihara terutama hari-hari terakhir sebelum kelahiran. Belajar cara pernafasan yang betul untuk memudahkan bersalin secara normal.

5. Jangan tahan makan
Jangan membiarkan diri anda lapar sebelum ke bilik bersalin kerana anda memerlukan tenaga yang cukup untuk meneran semasa proses bersalin.

6. Jaga berat badan sepanjang hamil
Proses bersalin akan menjadi lebih mudah bagi wanita yang tidak terlalu berat. Wanita dengan berat yang seimbang semasa hamil mengalami kurang komplikasi dan kurang campur tangan perubatan. Ketika hamil, berat badan anda mungkin akan meningkat antara 12 kg hingga 15 kg. Namun, berjaga-jaga jika berat anda semakin melampau semasa trimester ketiga. Berat badan yang keterlaluan menyukarkan anda untuk bersalin normal.

7. Ambil positif, buang negatif
Selain persediaan fizikal, minda anda juga perlu bersedia. Sebaik sahaja anda disahkan hamil, janganlah mendengar cerita tentang pengalaman-pengalaman buruk orang lain semasa kelahiran. Tetapkan minda anda ke arah yang positif dan beritahu pada diri sendiri bahawa setiap orang mempunyai pengalaman yang berbeza.

8. Usah terburu-buru!
Tiada tempat yang lebih baik untuk berehat dan mencari keselesaan sebelum bersalin selain dari rumah. Justeru itu, jangan tergesa-gesa untuk pergi ke hospital sehinggalah waktu bersalin anda benar-benar tiba.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.