Prihatinkah anda akan kesihatan seisi keluarga anda? Jika ya, tentu anda sedar akan keberadaan bahan kimia yang ada pada kebanyakan produk seisi rumah anda. Mulakan langkah untuk meningkatkan kesihatan anda seisi keluarga dengan menggunakan produk-produk ‘hijau’ dan mesra alam. Berikut panduan untuk anda mulakan terutama jika anda kini sedang hamil!
Mulakan Sejak Dari Hamil
Anda tidak perlu menunggu sehingga bayi anda lahir untuk memulakan langkah ke arah kehijauan. Mulakan perubahan positif untuk si manja anda dan anda sendiri dengan mengikuti langkah seperti di bawah:
Makan sihat
Tahukah anda bahawa masih terdapat sisa bahan kimia berbahaya yang tertinggal pada makanan anda walaupun anda sudah mencucinya. Sisa bahan kimia ini boleh menyebabkan kecacatan kelahiran, asma dan kanser!
Menurut kajian, kadar masalah leukemia di kalangan kanak-kanak adalah lebih daripada empat kali ganda apabila racun serangga digunakan di rumah, contohnya apabila kanak-kanak itu tinggal di kawasan kebun di mana racun serangga banyak digunakan. Dalam daging pula, bukan hanya sisa racun sahaja yang ada bahkan hormon tumbesaran tiruan masih tertinggal pada daging. Malah, produk haiwan yang bukan organik boleh terdedah kepada radiasi. Sesetengah makanan yang perlu anda ambil ORGANIK termasuklah:
- Produk haiwan seperti telur, tenusu, ayam, daging dan sebagainya
- Beras (racun serangga lebih banyak dalam beras berbanding kebanyakan bijian lain)
- Makanan pati seperti makanan bayi, pes tomato, jus buah
Makanan Hasil Dirty Dozen
Makanan dirty dozen adalah makanan yang paling banyak tercemar dengan racun serangga dan sisa racun, yang mana amat sukar untuk dibersihkan. Jadi, anda disarankan untuk memilih makanan seperti di bawah hanya di bahagian organik di pasar raya.
- Epal
- Peach
- Nektarin
- Strawberi
- Anggur
- Daun saderi
- Bayam
- Timun
- Tomato ceri
- Ubi kentang
- Cili
- Kubis keriting
Kurangkan penggunaan plastik
Amat sukar untuk anda terus tidak menggunakan plastik secara sepenuhnya terutama apabila melibatkan penggunaan alatan dapur, bekas makanan dan sebagainya. Plastik dan hasil sampingan plastik berkaitan dengan masalah reproduktif iaitu estrogen tiruan, kecacatan kelahiran, gangguan neurologi, dan kanser. Melalui penggunaan plastik terdapatnya bahan-bahan berbahaya seperti phthalates, BPA, vinyl, dan styrene. Jadi, kurangkan penggunaan plastik dalam kehidupan harian anda.
Mula baca label
Ini bukan masanya untuk anda mengambil remeh akan penggunaan produk harian anda khususnya penjagaan kulit. Meskipun produk penjagaan kulit anda adalah daripada jenama terkenal, tetapi bukan bermakna ia selamat untuk diri anda terutama dalam keadaan anda sedang berbadan dua. Kebanyakan produk kecantikan konvensional mengandungi tahap endokrin yang tinggi yang boleh mempengaruhi sistem hormon, neurotoksin dan karsinogen. Dalam pada itu, anda juga harus teliti dengan produk bayi yang sering mendakwa bahawa produk mereka ‘semula jadi’, ‘selamat’ ataupun ‘lembut’, namun ia turut mengandungi racun berbahaya.
Apa yang anda gunakan pada kulit akan menyerap masuk ke saluran darah anda dan semasa kehamilan anda, ia akan memasuki plasenta (iaitu organ yang menghubungkan janin untuk menerima oksigen dan nutrisi daripada ibu). Realitinya, kebanyakan daripada kita mengenakan pelbagai jenis bahan kimia menerusi penggunaan produk penjagaan kulit yang kita gunakan selama ini.
Dalam memilih sesuatu produk, jika anda dapati baunya terlampau kuat, atau anda ragu-ragu akan kandungan yang digunakan, sebaiknya jangan gunakan produk tersebut. Atau anda juga boleh dapatkan pendapat pakar tentang penggunaan sesuatu produk.
Gunakan produk toiletries organik
Jika anda menggunakan kelengkapan dandanan diri (toiletries) organik seperti mandian badan, syampu dan pelembap badan, bermakna anda juga menyediakan ruang kepada bayi anda untuk selamat dan tidak alergi kepada sebarang produk semula jadi apabila dia lahir nanti.
Apabila Bayi Lahir
Sementara menantikan kelahiran bayi, anda sudah boleh membuat persiapan menyediakan kelengkapan barangan bayi. Berikut kami sediakan tips untuk anda mempraktikkan amalan hijau dalam penjagaan si manja.
Lampin pakai semula vs lampin pakai buang
Anda tidak boleh kata tidak pada lampin bayi kerana setiap bayi memang memerlukannya. Malah, jika boleh dikira, anda akan memperuntukkan beratus-ratus malah beribu-ribu helai lampin untuk kegunaan bayi baru lahir sehingga dia bercerai lampin. Namun, tahukah anda bahawa terdapat bahan kimia pada lampin. Ya, lampin pakai buang selalunya diperbuat daripada material bukan-terbiodegradasi, jadi lampin jika dibuang ke tempat pembuangan sampah tidak akan melupus dengan mudah.
Jika anda sayangkan alam sekitar, bertukarlah kepada lampin pakai semula atau lampin kain. Lampin kain moden kini menampilkan bukan sahaja corak yang cantik tetapi juga mesra alam. Lampin kain yang diperbuat daripada kain kapas semula jadi bukan sahaja bebas bahan kimia bahkan juga mesra kulit bayi. Kulit si manja anda akan lebih sihat kerana tidak terdedah dengan bahan kimia yang terdapat pada lampin pakai buang.
Susukan anak anda
Selepas bayi lahir, anda mempunyai dua pilihan sama ada untuk menyusukan bayi ataupun menawarkan bayi susu formula. Hanya terdapat satu cara sahaja untuk anda memberikan susu formula kepada si manja iaitu melalui botol susu. Namun, tahukah anda bahawa kebanyakan botol susu mengandungi sisa toksik seperti karbon dioksida yang boleh merosakkan alam sekitar. Jadi, anda digalakkan untuk menyusukan bayi secara terus (direct feeding) terutama jika anda memberikan si manja susu ibu. Semestinya, susu ibu adalah pilihan yang terbaik. Selain dapat mengelak daripada penggunaan botol yang tidak selamat, anda juga dapat merapatkan jalinan kasih sayang ibu dan anak.
Makanan bayi: Mengapa perlu beli jika anda boleh buat sendiri?
Makanan bayi komersil mungkin kelihatan menarik, dengan pelbagai perisa dan warna, malah paling penting, ia mudah disediakan. Pun begitu, pernahkah anda terfikir:
- Bahan apa yang digunakan untuk membuat makanan bayi komersil?
- Berapa lama makanan bayi komersil berada di rak pasar raya sebelum anda membelinya?
Bayi yang baru ingin mula merasa makanan pejal perlu diberikan makanan yang berkhasiat. Mungkin anda tidak tahu bahawa kebanyakan jenama makanan bayi (tidak terkecuali jenama terkenal) mengandungi pengawet dan pemekat makanan, yang mana tidak elok untuk jangka masa panjang jika diambil.
Selain itu, soal pemprosesan, pembungkusan, penyimpanan dan juga pengangkutan dalam pembuatan makanan bayi komersial ini perlu dipertimbangkan kerana kebanyakannya sudah pasti memberi kesan kepada alam sekitar.
Anda boleh mengurangkan permintaan terhadap makanan bayi komersil dengan cara membuat sendiri makanan bayi anda, yang tentunya mengandungi pelbagai nutrisi untuk si manja dengan pilihan sumber yang segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
Jika Terpaksa…
Jika anda perlu membeli makanan bayi, pilihlah makanan bayi organik kerana ia bukan sahaja bagus untuk bayi, malahan juga baik untuk alam sekitar. Makanan organik mengehadkan bayi terdedah kepada bahan berbahaya seperti racun serangga konvensional, baja kimia mahupun hormon tumbesaran atau antibiotik.
‘Hijaukan’ kelengkapan penjagaan diri bayi
Memandangkan kesedaran tentang amalan ‘mesra alam’ dan ‘hijau’ kini semakin meningkat, maka pelbagai jenama khususnya produk penjagaan bayi dihasilkan berdasarkan prinsip tersebut. Ini termasuklah dalam menghasilkan produk penjagaan diri bayi seperti bedak, losen, syampu, mandian badan, mainan, pakaian dan banyak lagi. Berikut merupakan tips untuk anda memilih produk penjagaan diri si manja:
- Bedak – Elakkan menggunakan bedak yang mengandungi talkum atau karsinogen dan carilah bedak yang diperbuat daripada mineral semula jadi.
- Losen – Fikirkan mengapa anda ingin memakaikan si manja losen? Adakah untuk melembapkan kulit bayi, sebagai pelindung cahaya matahari, pencegah serangga atau mengubati ruam lampin? Selain itu, pilih losen yang bertindak lembut pada kulit bayi. Kenal pasti kandungan bahan asli yang berkualiti yang dapat melindungi kulit bayi anda. Pilih juga losen yang bebas wangian.
- Minyak urut – Selain bertujuan untuk mengelakkan kembung perut bayi, minyak urut juga dapat merapatkan jalinan ikatan antara ibu dan bayi. Sesi mengurut bayi sebaik-baiknya dilakukan selepas waktu mandi atau sebelum bayi tidur. Ada minyak urut yang berfungsi untuk melegakan ruam lampin dan menghalang ruam baru daripada tumbuh. Pilih minyak urut yang mengandungi minyak lavender atau rosmeri yang berfungsi untuk memelihara kulit dan melawan bakteria. Selain itu, gabungan dua minyak ini juga boleh memudahkan minyak meresap ke dalam kulit dan mengekalkan lembapan supaya kulit kekal halus dan lembut.
- Pelindung matahari – Carilah pelindung matahari yang diformulasi khusus untuk bayi. Kandungannya pula perlulah tidak berminyak atau menyebabkan iritasi pada kulit si manja. Selain itu, pilihlah pelindung matahari yang bersifat bukan-komedogenik (tidak menghalang pori).
- Krim ruam lampin – Jika anak anda mengalami masalah ruam lampin, carilah krim ruam lampin yang mengandungi minyak Jojoba yang membolehkan kulit bernafas dan tiada karsinogenik. Krim campuran minyak Jojoba dan minyak asli vitamin E akan memberikan perlindungan yang diperlukan oleh kulit untuk bernafas.
- Syampu – Carilah syampu yang mengandungi emolien yang bertujuan melembapkan kulit kepala bayi, menghalang keguguran rambut di samping merangsang pertumbuhan rambut baru.
- Pencuci baju/detergen- Pencuci baju atau sabun basuh/ detergen untuk mencuci pakaian bayi perlulah tidak mengandungi bahan kimia.