Coklat & Kanak-kanak

Berapa ramai ibu bapa yang menghalang anak mereka untuk makan coklat? Alasannya adalah kerana coklat akan membuatkan gigi anak rosak dan merupakan makanan yang tidak berkhasiat. Benarkah hal ini?

Jarang kita dengar orang kurang menggemari coklat, begitu juga dengan kanak-kanak. Jadi, tidak perlulah anda merungut jika anak kecil anda turut menggemari coklat. Meskipun ramai ibu bapa yang tidak mahu mengajar anak mereka untuk makan coklat kerana bimbang akan kesan buruknya, namun ada sesuatu yang perlu ibu bapa tahu mengenai khasiat coklat kepada kanak-kanak.

Makan sedikit coklat sekali-sekala tidak akan memudaratkan anak anda. Malah, terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa coklat pekat dan koko dapat memberikan manfaat dari segi kesihatan. Hal ini bermakna, coklat juga memberikan kesan positif kepada kesihatan anak anda.


Info
Menurut Wikipedia, coklat adalah nama sebuah makanan yang diolah dari biji koko, dan coklat dihasilkan dari koko atau nama saintifiknya Theobroma cacao.


Mengapa sedikit coklat dapat membantu anak anda sihat?
Ibu bapa sering dimomokkan dengan cerita keburukan coklat terhadap kesihatan anak mereka. Antaranya ialah coklat dikatakan akan membuatkan gigi kanak-kanak rosak, menyebabkan anak menjadi gemuk dan juga lemak pada coklat boleh mengundang penyakit jantung.

Namun, tidak ramai yang tahu coklat mengandungi kandungan yang berkhasiat yang membantu anak mendapat nutrisi yang diperlukan oleh tubuh badan mereka. Antara kandungan yang terdapat dalam coklat ialah karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan tenaga.

Coklat turut mengandungi antioksidan yang membantu untuk melindungi tubuh daripada radikal bebas, selain dapat melegakan tekanan dan menenteramkan emosi. Malah antioksidan ini juga mampu membaiki dan menguatkan sistem imunisasi badan si manja.

Kebanyakan ibu bapa tidak mahu anak mengambil makanan coklat kerana khuatir akan kandungan kafein yang terdapat dalam coklat. Namun, tahukah anda, kandungan kafein dalam coklat adalah sangat kecil berbanding secawan kopi. Jadi, coklat tidak memudaratkan kesihatan kanak-kanak jika diambil dalam kuantiti yang sedikit.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.