TTC? 7 Makanan Ini Bagus untuk Telur Anda

“Sedapnya kek ni” “Teringinnya nak makan burger” “Masak maggi je lah hari ni”. Cuba imbas kembali corak pemakanan anda. Pasti jenis-jenis makanan yang disebutkan tadi menjadi pilihan anda, paling tidak pun seminggu sekali anda akan makan makanan tersebut. Tahukah anda bahawa makanan-makanan ini boleh memberi kesan kepada kesuburan anda. Teruskan membaca…

You are what you eat. Meskipun jika diterjemahkan maksudnya ialah anda adalah apa yang anda makan. Namun secara tersiratnya, maksud kepada ayat ini adalah, untuk mendapatkan badan yang sihat, anda perlu makan makanan yang berkhasiat. Dari aspek kesuburan, ramai pakar yang memberitahu bahawa faktor penting yang mempengaruhi kesuburan ialah umur. Namun, tidak dilupakan faktor pemakanan turut menyumbang kepada kesuburan. Makanan yang anda makan akan memberi kesan kepada kesihatan telur anda sama ada kesan positif ataupun negatif. Pemakanan sihat yang lengkap dengan nutrisi bakal menambah kualiti telur sekali gus meningkatkan peluang anda untuk hamil. Berikut kami sediakan makanan-makanan baik yang dapat membantu meningkatkan kualiti telur anda. Sudah tiba masanya untuk anda mengubah gaya pemakanan!

Ikan salmon – Minyak ikan yang terkandung di dalam ikan salmon adalah sumber asid lemak Omega-3 dan Omega-6 yang terbaik. Nutrisi ini memainkan peranan penting dalam melancarkan sistem pembiakan pada badan wanita dan meningkatkan aliran darah. Selain daripada salmon, minyak ikan juga terkandung dalam ikan makerel dan ikan sardin. Minyak ikan bukan sahaja baik untuk wanita tetapi juga lelaki bagi meningkatkan kualiti sperma.

Beri – Buah yang kaya dengan antioksidan ini dapat membantu untuk melindungi telur daripada radikal bebas, sekali gus menjadikan telur lebih sihat. Beri juga seringkali dikenali sebagai makanan super untuk golongan TTCians (golongan yang sedang mencuba untuk hamil). Pakar menyarankan supaya makan sekurang-kurangnya tiga bahagian beri setiap minggu. Beri sedap dimakan begitu sahaja, tetapi juga boleh dijadikan smoothie dan salad buah.

Sayuran hijau – Bayam, brokoli, salad dan sayuran hijau lain adalah kaya dengan folat, zat besi, kalsium dan vitamin A. Sayur-sayuran hijau mengandungi pelbagai vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh untuk berfungsi dengan baik. Amalkan makan sayuran hijau setiap hari.

Avokado – Buahan berwarna hijau zamrud ini merupakan superfood untuk wanita yang sedang mencuba untuk hamil. Kandungan lemak yang tinggi dalam buah ini dapat membantu anda untuk meningkatkan kesihatan telur. Anda perlu tahu bahawa tidak semua lemak adalah tidak baik untuk kesihatan, jadi avokado ini adalah jenis lemak yang baik untuk kesihatan anda, iaitu mengandungi lemak mono tak tepu. Kajian menunjukkan bahawa wanita yang mengambil makanan yang tinggi lemak mono tak tepu (seperti avokado) boleh menghasilkan telur yang sihat. Buah ini juga berfungsi membekalkan sumber vitamin E terbaik kepada badan selain daripada kaya dengan antioksidan. Dua komponen utama ini sangat penting dalam kesuburan wanita bagi membantu menyempurnakan fungsi ovulasi. Avokado boleh dimakan begitu sahaja atau diletakkan dalam salad, sandwic atau puri.

Halia – Halia dengan sifat anti-radang boleh membantu untuk meningkatkan peredaran darah, merangsang penghadaman yang sihat dan mengurangkan keradangan, sekali gus memberikan telur yang sihat dengan cara mencegah penyakit daripada mendekati sistem pembiakan. Halia juga membantu meringankan ketidakselesaan reproduktif, merangsang kitaran yang sihat dan mengurangkan inflamasi pada organ pembiakan, yang boleh memberi kesan kepada kesihatan telur. Terdapat pelbagai cara untuk menikmati halia dalam makanan anda seperti meminum jus halia ataupun memasukkan halia dalam masakan.

Madu – Khasiat madu untuk kesuburan sudah diyakini sejak beratus tahun dahulu lagi. Madu kaya dengan pelbagai sumber mineral dan asid amino yang dapat membantu mengekalkan kualiti kesihatan sistem pembiakan selain daripada berfungsi meningkatkan fungsi ovari untuk wanita.

Pisang – Buahan berwarna kuning ini mengandungi vitamin B6, iaitu salah satu vitamin penting dalam membantu konsepsi dan mengatur hormon. Kekurangan vitamin B6 boleh membawa kepada kitaran haid yang tidak teratur dan menghasilkan telur dan sperma yang lemah.

3 Suplemen ‘Wajib’ untuk Kesuburan
Ada beberapa suplemen yang perlu anda ambil untuk memastikan rahim dan tubuh anda bersedia untuk hamil. Dan, berikut adalah 3 suplemen penting yang anda perlu ambil.

Asid folik  
Suplemen wajib ambil jika sedang merancang untuk hamil. Pengambilan asid folik perlu bermula seawal tiga hingga enam bulan sebelum anda hamil. Anda digalakkan untuk mengambil 400mcg asid folik sehari. Pengambilan asid folik sebelum hamil dapat membantu pembentukan sistem saraf dan otak janin yang sihat semasa minggu-minggu terawal kehamilan.

Multivitamin
Jika anda memang mengamalkan pengambilan multivitamin, maka anda adalah bernasib baik. Pengambilan multivitamin adalah perlu bagi mengelakkan badan anda kekurangan nutrisi dan zat penting yang diperlukan oleh tubuh. Selain itu, kualiti telur dan sperma juga akan berkurangan jika tidak mengambil sebiji multivitamin setiap hari. Namun, carilah multivitamin yang diformulasi untuk mereka yang sedang mencuba untuk hamil iaitu multivitamin pranatal. Jangan beli multivitamin biasa kerana kandungan vitamin A yang berlebihan di dalamnya tidak baik untuk janin anda.

Minyak Ikan
Pengambilan fish oil atau minyak ikan yang mengandungi asid lemak Omega-3 adalah perlu kerana badan kita tidak boleh menghasilkan asid lemak Omega-3, sebaliknya ia hanya boleh didapati melalui makanan. Anda memerlukan minyak ikan sekurang-kurangnya 1000-2000mg setiap hari. Jadi, jika anda tidak boleh mendapatkan makanan yang mengandungi asid lemak ini setiap hari, maka pengambilan vitamin ini adalah amat disarankan. Asid lemak Omega-3 mengandungi DHA (asid dokosaheksaenoat) dan EPA (asid eikosapentaenoat) yang penting untuk menstabilkan hormon dalam badan, membaiki kitaran darah haid, memberikan lendiran serviks yang baik semasa ovulasi dan meningkatkan kualiti sperma bagi suami.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.