Mendengar pengalaman kebanyakan ibu yang sering memberitahu akan kesakitan semasa bersalin membuatkan ramai wanita hamil khususnya yang mengandungkan anak sulung berasa takut untuk bersalin. Perasaan takut itu terbawa-bawa sehinggalah detik kelahiran sehingga membuatkan ibu benar-benar merasai pengalaman sakit bersalin yang sebenar. Disebabkan hal itu, ada juga ibu yang fobia untuk hamil sekali lagi kerana takut untuk merasai semula kesakitan semasa bersalin.
Bukan semua wanita bertuah dapat melahirkan bayi mereka tanpa masalah. Lazimnya, setiap wanita hamil akan melalui pengalaman sakit hendak bersalin. Biarpun telah mempunyai pengalaman bersalin, namun si ibu akan melalui pengalaman kelahiran yang berbeza-beza. Walaubagaimanapun, bukan semua ibu akan merasai kesukaran dan kesakitan untuk melahirkan anak kerana terdapat beberapa teknik dan kaedah bagi mengurangkan sakit semasa bersalin.
Normal untuk ibu berasa sakit ketika melahirkan kerana otot anda ketika itu akan bekerja keras untuk mengeluarkan bayi di dalam rahim. Disebabkan kontraksi pada otot rahim dan tekanan pada serviks membuatkan anda merasai kesakitan yang kuat iaitu rasa tegang pada bahagian abdomen, pangkal paha dan belakang.
Info
Kesakitan semasa bersalin juga berpunca daripada tekanan pada kantung dan usus disebabkan kepala bayi semakin meregang ke arah tempat kelahiran dan vagina.
Perkara utama yang perlu ibu tahu ialah persiapkan diri anda untuk menghadapi kesakitan. Dengan cara merancang dan mengatur strategi sebelum merasai kesakitan bersalin akan membuatkan anda tenang dan bersedia apabila masanya sudah tiba.
Semasa hamil, lakukan senaman yang bersesuaian (mengikut saranan doktor anda) bagi membantu menguatkan otot dan mempersiapkan tubuh anda untuk menghadapi tekanan semasa bersalin. Senaman dapat membantu anda meningkatkan daya tahan tubuh, terutama jika anda perlu menghadapi tempoh kelahiran yang panjang. Walau bagaimanapun, minta nasihat daripada doktor anda tentang senaman yang selamat untuk anda dan kandungan.
Lebih elok lagi jika anda dan pasangan dapat menyertai kelas pranatal. Di sana, anda akan belajar pelbagai teknik yang berbeza bagi mengatasi kesakitan semasa bersalin, bermula dengan gambaran sehinggalah regangan untuk menguatkan otot yang dapat menyokong rahim anda. Terdapat dua kaedah popular untuk mengurangkan sakit bersalin di Amerika Syarikat iaitu teknik Lamaze dan kaedah Bradley.
Kaedah Lamaze
Kaedah Lamaze adalah teknik yang sering digunakan di Amerika Syarikat. Falsafah Lamaze mengajar wanita cara untuk mereka mengurangkan persepsi kesakitan dengan cara relaks, berlatih pernafasan, mengalih perhatian atau urutan.
Kaedah Bradley
Kaedah Bradley adalah keadaan di mana bapa kepada bayi atau suami menemani dan mengajar si ibu cara melahirkan semasa kelahiran. Teknik ini memfokuskan tentang senaman semasa hamil dan teknik pernafasan dalaman serta berehat.
8 cara untuk melegakan sakit bersalin
1. Bertenang
Persekitaran untuk kelahiran mestilah selamat untuk anda. Sementara menantikan detik kelahiran, anda boleh memperdengarkan alunan zikir atau lagu yang menenangkan. Selain itu, peralatan untuk bersalin juga mestilah yang dapat membantu anda memudahkan kelahiran seperti tilam yang lembut. Jika anda bercadang untuk bersalin dengan posisi yang berbeza, sediakan peralatan yang perlu seperti bola kelahiran atau bangku rendah. Walau bagaimanapun, pastikan polisi tempat anda bersalin membenarkan anda untuk mencuba posisi berbeza.
Pengambilan perlindungan perubatan untuk wanita hamil dan bayi dalam kandungan amat membantu sebagai persediaan sebelum anda bersalin.
2. Cari, cari dan cari
Pelajari tentang kelahiran melalui buku, majalah, laman sesawang, video, kelas pranatal atau berbincang dengan hospital kelahiran anda. Biasakan diri anda dengan prosedur di hospital yang anda pilih. Pelbagai informasi dapat membantu anda menghadapi keadaan semasa bersalin.
3. Luahkan
Adakah anda risau akan berasa sakit semasa bersalin, atau risau memikirkan jarum dan ubat yang akan diberikan ketika itu? Luahkan kerisauan anda kepada orang yang anda percaya atau pakar. Percayalah! Keadaan ini akan sedikit sebanyak membantu anda bersedia untuk mengatasi ketakutan anda.
4. Berlatih teknik pernafasan
Belajar teknik pernafasan yang betul untuk menghadapi kontraksi sebelum bersalin. Lepaskan tekanan pada setiap hembusan dan cuba juga menarik nafas laju pada setiap 2 atau 3 saat iaitu 20 hingga 30 kali seminit. Jika anda kehilangan tempo, minta pertolongan pasangan anda untuk membantu anda mendapatkan semula rentak melalui pergerakan mata, tangan atau kepala.
5. Gunakan gambaran dan visualisasi
Tumpukan perhatian anda pada sesuatu perkara yang boleh membuatkan anda gembira (seperti wajah pasangan anda, gambar yang dapat memberi inspirasi atau benda kegemaran anda). Keadaan ini dapat merangsang deria anda dan mengurangkan kesakitan. Selain itu, dengan mendengar muzik, suara yang menenangkan atau rakaman alunan ombak dan membayangkan anda berada pada persekitaran yang menenangkan juga dapat membantu mengurangkan kesakitan.
6. Hangatkan tubuh
Dengan mandi air panas juga dapat melegakan kesakitan kontraksi, dengan merehatkan minda anda ada kalanya dapat membantu untuk mempercepatkan proses kelahiran. Cara terbaik adalah dengan keadaan anda duduk di atas bangku dan halakan pancuran air panas terus ke abdomen anda atau bahagian belakang tubuh anda.
7. Bergerak
Bagi mempermudahkan proses kelahiran, banyakkan pergerakan terutama semasa menghampiri proses bersalin. Kontraksi akan lebih menyakitkan jika anda hanya berbaring di atas katil tanpa melakukan sebarang pergerakan. Anda boleh berjalan, bersandar, bergoyang atau mencangkung mengikut posisi yang anda selesa. Bagaimanapun, sentiasa berhati-hati pada setiap pergerakan anda!
8. Legakan dengan sentuhan atau urutan
Sama ada anda inginkan seseorang menggenggam tangan anda, membelai pipi atau rambut anda, atau mungkin juga menepuk-nepuk tangan atau bahu anda semasa kelahiran, terpulanglah. Keadaan ini dapat membantu anda semasa proses kelahiran terutama jika dilakukan oleh pasangan anda.
Sumber: kidshealth.org, www.fitpregnancy.com