Berjemur di Tengah Panas

Tidak dapat dinafikan, cuaca di negara kita semakin lama semakin panas. Terbaharu, cuaca panas kering di Malaysia dianggarkan melebihi 33°C. Yang bagusnya jika cuaca panas, sudah tentu pakaian akan cepat kering. Akan tetapi, harus diingat bahawa pancaran terik cahaya matahari juga boleh memberi kesan kepada kesihatan kulit terutama bayi dan kanak-kanak.

Perlindungan daripada cahaya matahari adalah penting jika kita hendak mengelakkan sebarang masalah kesihatan yang melibatkan pendedahan berlebihan kepada sinaran ultraviolet (UV). Perlu diingat bahawa, sinaran cahaya UV matahari adalah penyebab utama kepada penyakit kanser kulit, selaran matahari, penuaan pramatang dan kerosakan mata. Sinaran UV merupakan tenaga yang dihasilkan daripada matahari. Sinaran UV ini bukanlah seperti pancaran matahari atau bahang yang kita boleh lihat dan rasa. Sebaliknya, deria kita tidak boleh mengesan radiasi UV, jadi anda tidak dapat lihat kerosakan yang berlaku sehinggalah ia melarat.

Fakta penting yang perlu anda tahu ialah kerosakan akibat sinaran UV kepada kanak-kanak boleh meningkatkan risiko kanser kulit. Bukan hanya bayi dan kanak-kanak sahaja yang mudah terkena sinaran UV, akan tetapi remaja, orang dewasa dan orang tua juga terdedah kepada risiko akibat pendedahan keterlaluan kepada sinaran berbahaya ini, apatah lagi jika kita meluangkan banyak masa di luar.

Ada yang menganggap bahawa orang yang berkulit gelap adalah kurang cenderung mengalami kerosakan kulit akibat cahaya matahari- namun, perkara ini adalah tidak benar! Mereka yang berkulit gelap juga boleh mendapat masalah selaran matahari, walaupun kurang nampak berbanding dengan mereka yang berkulit cerah. Meskipun tanda selaran matahari akan semakin pudar, namun kerosakan yang berlaku akan meningkatkan risiko menghidap kanser kulit. Berbicara tentang perlindungan matahari, sepatutnya, semua orang perlu mendapatkan perlindungan daripada cahaya matahari, tidak kira usia dan juga warna kulit!

Ajar Anak Dari Kecil
Ajar dari kecil bukan bermaksud anda perlu mengajar anak cara memberus gigi ataupun membasuh tangan sebelum makan. Namun, anda perlu mengajar si kecil cara untuk mengelakkan pendedahan berlebihan kepada cahaya matahari. Memandangkan kanak-kanak lebih mudah belajar daripada amalan harian, ibu bapa perlu mengambil peluang untuk mengajar tentang langkah mendapatkan sinaran cahaya matahari yang selamat pada kanak-kanak.


Bukan hanya kulit sahaja yang akan menerima kesan akibat pancaran UV. Sebaliknya, sinaran ini juga boleh menyebabkan penyakit yang melibatkan mata seperti photoconjunctivitis, photokeratitis, katarak dan kanser di sekeliling mata.


Contohnya, membantu anak memilih pakaian bertutup dan sesuai semasa berada di luar pada siang hari dan juga memakai krim atau losen perlindungan matahari pada tubuh dan muka. Semakin anak membesar, letakkan produk perlindungan matahari dalam beg mereka dan kerap ingatkan mereka untuk pakai sebelum keluar rumah dan apabila di luar.

Usaha ibu bapa sejak anak kecil boleh membantu menyelamatkan mereka daripada mengalami masalah kulit apabila besar nanti.

Cara Melindungi Keluarga Daripada Sinaran UV
Menyuruh anak-anak berkurung di rumah atau mengelakkan diri daripada pancaran cahaya matahari bukanlah satu tindakan yang bijak. Jangan lupa bahawa cahaya matahari merupakan sumber Vitamin D yang utama. Jadi, pendedahan kepada cahaya matahari yang mencukupi adalah penting terutama untuk kanak-kanak. Helahnya adalah untuk memastikan anda sekeluarga mendapat perlindungan matahari bagi mengelakkan pendedahan yang berlebihan dan juga menghalang sinaran UV yang berbahaya.

Berikut merupakan langkah-langkah yang boleh anda ikuti bagi melindungi keluarga daripada sinaran UV.

Pemakaian
Jika anda boleh melihat kulit, ini bermakna sinaran UV boleh terkena pada kulit anda. Jadi, cuba tutup sebanyak mungkin kulit anda yang terdedah dengan memakai pakaian yang longgar dan nipis. Cuaca di Malaysia tidak memerlukan anda memakai pakaian yang tebal meskipun anda perlu mencari outfit yang bertutup. Jadi, pilihlah pakaian yang diperbuat daripada kain kapas. Jika anak anda memakai baju singlet atau gaun dengan tali halus, jangan lupa untuk melapis pakaian anak anda dengan baju-t yang selesa sebelum membiarkannya bermain di luar.

Pakai topi
Pilih topi yang dapat melindungi kepala, muka, mata, telinga dan leher. Topi jenis bucket, wide-brimmed atau legionnaire adalah yang terbaik. Topi jenis besbol adalah tidak disarankan kerana tidak memberikan cukup perlindungan.

Bagi bayi pula, pilih topi jenis fabrik yang mudah renyuk apabila diletakkan di atas kepala mereka. Untuk anak kecil pula, pilih topi yang menepati saiz kepala mereka dan dapat melindungi muka serta bahagian leher. Topi jenis bucket adalah sesuai untuk kanak-kanak dan mestilah bercirikan silara yang luas dan bucu tepi sekurang-kurangnya 6cm.

Jika anda ingin memakaikan anak topi jenis wide-brimmed, bibir topi mestilah sekurang-kurangnya 7.5cm. Bagi topi jenis legionnaire pula, pilih penutup sisi dan bahagian atas hadapan yang boleh melindungi sisi muka anak anda.

Bukan semua kanak-kanak gemar memakai topi, jadi anda perlu mengajar kanak-kanak bahawa pemakaian topi adalah sebahagian penting jika mereka berada di luar rumah. Kanak-kanak akan memakai topi jika ibu bapa mereka pun melakukan perkara yang sama. Jadi, Mama & Papa, pakailah topi semasa berada di luar sebelum meyakinkan anak melakukannya.

Berada Di Tempat Teduh
Setiap orang tidak kira usia perlu mencari tempat berteduh jika berada di luar, bagi mengelakkan terus-menerus berada di bawah pancaran cahaya matahari. Bayi berusia bawah 12 bulan mempunyai kulit sensitif dan perlu dilindungi daripada pancaran cahaya matahari secara langsung.

Pokok merupakan tempat berlindung semula jadi terbaik yang mudah ditemui di luar. Namun, sebagai persediaan, bawalah payung bersama jika anda ingin melakukan aktiviti luar bersama keluarga.

Pakai Pelindung Matahari
Pelindung matahari sepatutnya menjadi sebahagian daripada rutin harian anda seisi keluarga anda. Pemakaian krim atau losen ini hanya mengambil sedikit masa sahaja, tetapi manfaatnya tidak terkira.

Panduan Memakai Pelindung Matahari

  • Pilih pelindung matahari yang selesa untuk anak anda dan mudah dipakai.
  • Apabila mencuba untuk memperkenalkan anak pada pelindung matahari baru, cuba ambil sedikit sapuan dahulu pada kulit si kecil untuk memastikan ianya sesuai untuk anak anda.
  • Banyak jenama pelindung matahari yang khusus untuk bayi dan anak kecil. Rumusan untuk bayi dan kanak-kanak ini sudah tentu lebih lembut berbanding pelindung matahari untuk orang dewasa. Jika anak anda berkulit sensitif, carilah pelindung matahari yang dirumus untuk jenis kulit tersebut.
  • Anda sudah boleh mula mengajar anak memakai sendiri pelindung matahari semasa umur mereka 3 tahun atau sebelum memasuki prasekolah, supaya mereka boleh memakai sendiri di sekolah sebelum melakukan aktiviti luar.
  • Letakkan pelindung matahari di dalam bilik air anda di rumah supaya kanak-kanak boleh mengenakan krim atau losen ini di hadapan cermin.
About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.