Rahsia Rambut & Kulit Bayi Kekal Sihat

Sabun, syampu, produk mandian dan losen bayi mungkin mengandungi pewangi, bahan kimia seperti phthalates dan paraben atau minyak mineral yang boleh menyebabkan iritasi pada kulit si manja. Dengan mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk untuk bayi dapat membantu anda memastikan kulit mereka sihat dan selamat.

Mandian – Jangan Terlalu Kerap
Jika disebut tentang penjagaan kulit dan rambut bayi, pasti ramai yang berfikir bahawa penjagaan terhadap bayi perlu dilakukan dengan rapi. Namun, penjagaan yang rapi bukanlah bermakna anda perlu kerap memandikan bayi, bersyampu dan bersabun setiap hari. Mungkin anda terkejut dengan fakta ini! Namun, bayi khususnya bayi baru lahir tidak perlu dimandikan dengan kerap kerana perbuatan tersebut hanya akan menghilangkan minyak semula jadi yang melindungi kulit bayi. Bukan itu sahaja, kulit bayi juga akan mudah terjejas dan terdedah kepada sebarang potensi alergen, yang memungkinkan mereka mengalami masalah kulit seperti ekzema.

Bayi juga cenderung untuk terkencing dan perlu kerap ditukar lampin. Namun, selain daripada terkencing, bayi tidak berpeluh ataupun kotor sama seperti orang dewasa. Untuk bulan pertama selepas kelahiran si manja, memandikannya dua atau tiga kali seminggu sudah mencukupi bagi memastikan bayi anda bersih. Dalam pada itu, anda boleh membersihkan muka dan kawasan lampin bayi dengan menggunakan kain lembap yang bersih.

Panduan Memandikan Bayi

  1. Isikan tab mandi bayi/ besen mandian dengan air suam (bukan air panas dan bukan pula air sejuk). Sebelum mula memasukkan bayi, cuba rasa suhu air dahulu dengan menggunakan siku anda.
  2. Letakkan tuala mandian, sabun dan syampu berdekatan dengan anda (atau tempat yang mudah dicapai) supaya anda tidak perlu bergerak jauh daripada tab mandi.
  3. Bersihkan muka bayi dengan lembut menggunakan kain lembap. Gunakan bebola kapas atau kain lembap untuk membersihkan mata, luar telinga dan muka bayi. Pastikan anda berhati-hati dan buat dengan lembut semasa membersihkan mata dan hidung si manja.
  4. Gunakan kain yang bersabun untuk membersihkan badan bayi dari atas ke bawah dan depan ke belakang. Pilih mandian yang selamat dan mesra bayi.
  5. Pastikan anda membersihkan kesemua bahagian tubuh bayi kecuali bahagian lampin. Kawasan lampin adalah yang terakhir sekali untuk anda bersihkan.
  6. Lap badan bayi menggunakan tuala kering yang lembut.
  7. Gunakan losen atau minyak bayi untuk melembapkan kulit si manja dan memastikan kulitnya lembut serta terpelihara daripada kulit kering.

Cuci Rambut Si Manja:

  1. Sediakan secawan air untuk membasahkan kepala dan rambut bayi.
  2. Letakkan sedikit syampu pada tangan anda dan sapukannya pada rambut bayi. Gosok kepala bayi dengan syampu mengikut gerakan membulat.
  3. Sediakan lagi secawan air yang dipenuhi dengan air bersih untuk membilas kepala dan tubuh bayi.
  4. Semasa syampu kepala bayi, tampung kepala dan leher bayi dengan menggunakan sebelah tangan anda manakala sebelah tangan lagi menampung bahagian bawah tubuh bayi. Pastikan anda kendong bayi dengan betul supaya bayi tidak terlepas daripada tangan anda (akibat licin disebabkan syampu ataupun air).

Tahukah Anda?
Jika bayi anda mengalami masalah cradle cap atau kerak di kepala, anda boleh cuba hilangkannya dengan cara melakukan urutan lembut pada kepala bayi dengan menggunakan jari, berus lembut atau kain lembut berserta minyak bayi bagi membantu menghilangkan kerak-kerak yang ada.


Gunakan Produk Yang Betul
Pilihlah produk mandian dan penjagaan bayi yang betul untuk si manja anda. Jangan gunakan produk yang bukan direka untuk bayi, bermakna tidak mesra untuk kulit bayi! Ingatlah! Produk orang dewasa tidak boleh dipakaikan pada bayi kerana boleh menyebabkan kulit bayi kehilangan lembapan dan kelembutan. Selain itu, pastikan juga sisa mandian dibilas dengan bersih dan dikeringkan.

Apabila membeli produk bayi, pastikan anda memeriksa kandungan produk. Produk mandian bayi yang baik perlu mengandungi bahan semula jadi seperti ekstrak tumbuh-tumbuhan. Selain itu, ia perlu mengandungi ciri-ciri ‘tidak memedihkan mata’ supaya apabila produk dipakaikan pada tubuh bayi tidak akan memedihkan mata si manja.

Elakkan produk mandian bayi yang mengandungi bahan seperti di bawah:

  • Formaldehid
  • Fosfat
  • Propylene Glycol
  • SLS
  • Paraben
  • Minyak Mineral
  • Gluten
  • Phthalates

Kanak-Kanak Dan Kebersihan
Semakin anak anda membesar, anda akan terbiasa untuk melihat si kecil dalam keadaan kotor. Jadi, untuk mengelakkan jangkitan kuman dan bakteria, ibu bapa perlu mengajar kanak-kanak tentang kebersihan peribadi.

Mulakan Dengan Yang Asas
Apabila mengajar kanak-kanak melakukan sesuatu perkara, cara terbaik untuk memulakannya adalah dengan menunjukkan contoh yang betul seperti menggosok gigi atau membasuh tangan setiap kali selepas menggunakan tandas atau bermain dengan haiwan peliharaan. Jadi, ajar anak anda dari awal tentang cara asas menjaga kebersihan.

Perlindungan Daripada Kuman – Membasuh Tangan
Tangan kita menyentuh dan memindahkan kuman dari satu tempat ke tempat yang lain. Oleh itu, amat perlu untuk kita mengajar anak mencuci tangan bagi memastikan dia bersih dan sihat. Sebagai ibu bapa, anda tunjukkan cara untuk membasuh tangan yang betul kepada anak-anak kerana ibu bapalah role-model terbaik untuk anak mereka. Ajar si kecil basuh tangan sebelum makan, selepas keluar dari bilik air, selepas bermain di luar atau selepas bermain dengan binatang peliharaan.


Peringatan Untuk Ibu Bapa
Pastikan anak anda mencuci tangan dengan betul bagi menghilangkan kekotoran, daki dan kuman yang ada pada tangan mereka. Gunakan sabun buku atau sabun cecair yang mesra kanak-kanak!

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.