Masalah penghadaman bukan hanya berlaku kepada orang dewasa sahaja, bahkan kanak-kanak juga turut mengalaminya. Masalah penghadaman seperti perut kembung atau perut berangin, cirit-birit, sembelit dan penyakit radang usus boleh berpunca daripada pelbagai faktor, termasuklah tabiat pemakanan. Sempena Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia, kami bawakan kepada anda tips untuk membantu mengekalkan kesihatan sistem penghadaman kanak-kanak. Semuanya adalah tentang tabiat pemakanan!
Hadkan Pengambilan Makanan Berat
Sesetengah makanan seperti daging adalah jenis makanan yang sukar dihadam dan memerlukan lebih tenaga untuk dicernakan. Justeru, makanan ini perlu diambil secara bersederhana dan tidak berlebihan bagi membantu sistem pencernaan berehat daripada melakukan kerja keras. Sebaik-baiknya, ajar anak anda untuk berehat daripada makan makanan sebegini sehari atau dua hari dan menggantikannya dengan sayuran serta makanan protein lain seperti kekacang.
Pengambilan Makanan Yang Sesuai
Tahukah anda, sesetengah makanan tidak sesuai untuk dimakan bersama? Hal ini kerana jika beberapa gabungan makanan diambil sekali gus akan menyebabkan masalah penghadaman. Konsep yang dikenali sebagai gabungan makanan ini adalah keadaan di mana tubuh anda memerlukan medium tertentu untuk menghadam sesetengah jenis makanan, dan pengambilan makanan yang tidak sesuai dalam satu hidangan akan melambatkan proses penghadaman. Contoh terbaik gabungan makanan yang sesuai untuk anak anda ialah ikan salmon bersama dengan sayur-sayuran bukan tenusu seperti brokoli atau kubis bunga. Sesetengah gabungan makanan seperti ini adalah kombinasi yang lengkap untuk membantu kanak-kanak memudahkan penghadaman mereka.
Elak Berselang-Seli Minum Semasa Makan
Amalan makan berselang-seli dengan minum air bukan sahaja dilakukan oleh kanak-kanak bahkan juga orang dewasa. Pengambilan makanan dan minuman sekali gus boleh memperlahankan penghadaman kerana jus pencernaan dicairkan oleh minuman yang diambil semasa makan. Jadi, biasakan anak anda untuk minum 15 minit sebelum makan atau 30-45 minit selepas habis makan.
Elak Beri Makanan Proses
Jangan ajar anak anda untuk makan makanan yang diproses seperti makanan segera kerana ini adalah salah satu punca utama dalam masalah penghadaman. Makanan seperti ini mengandungi lemak trans dan pengawet yang boleh mengganggu sistem penghadaman badan.
Dengan mempraktikkan tabiat pemakanan seperti di atas boleh membantu anak anda mengurangkan masalah atau penyakit yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Walau bagaimanapun, jika masalah ini berlanjutan meskipun anak anda sudah mengamalkan tips-tips yang diberikan, bawa si kecil anda berjumpa dengan doktor kanak-kanak untuk tindakan selanjutnya.