Katil bayi merupakan salah satu barang keperluan bayi termahal yang perlu anda sediakan sebelum si manja lahir. Dari harga serendah RM280 sehingga mencapai beribu-ribu ringgit, tentu anda ingin menjadikan pelaburan anda berbaloi. Alang-alang membeli, biarlah ianya tahan lama.
Anda mungkin tidak kisah untuk berbelanja lebih bagi menyediakan keperluan si manja. Namun, sudah tentu anda tidak mahu membazir dengan setiap barang keperluan yang telah dibeli. Katil bayi, meskipun harganya mahal namun boleh digunakan sehingga anak anda bersekolah. Itupun jika anda bijak memilih katil bayi terbaik untuk si kecil. Salah satu faktor lain yang perlu dititikberatkan semasa membeli katil bayi ialah keselamatan dan keselesaan bayi. Memilih katil yang salah boleh mengakibatkan bayi anda mengalami masalah tidak lena tidur dan mungkin juga berisiko untuk terjatuh. Jom lihat kriteria yang perlu anda ambil kira bagi memilih katil bayi yang terbaik.
5 Faktor Utama Memilih Katil Bayi:
1) Keselamatan
Kriteria paling penting jika hendak membeli katil bayi! Si manja anda akan meluangkan kebanyakan masanya dengan tidur, jadi sudah tentu katil bayi menjadi pilihan tempat tidur yang paling selesa dan empuk untuknya. Tambahan pula, anda tidak akan sepanjang masa bersama dengan si manja, terutama ketika dia sedang tidur.
Jadi, semasa memilih katil bayi, perhatikan pada bahagian bucu katil. Jika katil yang anda pilih mempunyai dinding atau pintu sekitar ruang katil yang jarang, keluasan bahagian tepi katil bayi tidak boleh melebihi 2 inci, bagi mengelakkan kaki, tangan atau kepala si manja tersepit di antara pintu katil.
2) Keluasan Katil
Adakah ruang bilik anda atau bayi cukup luas untuk meletakkan katil tersebut? Semasa membeli katil, jangan hanya melihat kepada kecantikan reka bentuknya sahaja. Bawa pita pengukur untuk mengetahui sama ada katil bayi anda cukup luas dan muat untuk menembusi pintu bilik anda atau bayi.
Kebanyakan ibu bapa terlepas pandang tentang aspek ukuran katil bayi. Akibatnya, katil yang dibeli tidak dapat memuaskan hati mereka. Meskipun ada katil bayi pasang siap yang banyak dijual di pasaran, namun jangan abaikan tentang keluasan katil tersebut dengan bilik.
3) Pintu Tarik
Terdapat pelbagai rekaan katil bayi yang ada di pasaran. Antara rekaan yang menjadi tumpuan ialah katil yang mempunyai pintu tarik di dinding katil. Sesetengah ibu bapa gemar memilih katil yang mempunyai pintu tarik kerana mudah untuk mengangkat atau meletakkan bayi ke dalam katil. Walau bagaimanapun, terdapat keburukan pada ciri ini. Semakin bayi anda besar, dikhuatiri dia akan menarik atau menolak bahagian pintu katil sehingga terbuka, sekali gus merisikokan bayi untuk terjatuh dari katil. Pilihlah pintu katil yang mempunyai sistem kunci yang kukuh ataupun carilah katil yang berpintu statik.