Langkah Untuk Kurangkan Tekanan Semasa Hamil

Kehamilan boleh membuatkan bakal ibu tertekan. Dengan simptom kehamilan, komplikasi dan pelbagai pengaruh lain lagi menjadikan tekanan ibu hamil bertambah. Akan tetapi, tekanan ini boleh diatasi biarpun semasa anda hamil. Bagaimana? Teruskan membaca!

Payudara anda berasa sakit, anda terpaksa berkejar ke bilik air setiap lima minit kerana tidak tahan hendak terkencing dan anda sukar menemui posisi tidur yang betul disebabkan perut yang semakin membesar- Ini semua adalah dugaan yang anda akan rasai semasa hamil. Ditambah pula emosi semasa hamil yang sensitif menyebabkan anda cepat berasa tertekan. Masalahnya, tekanan semasa hamil akan memberi kesan kepada anda dan juga kandungan. Pun begitu, usah risau, Mama! Masalah tekanan ini boleh diatasi.

Mengapa berlakunya tekanan semasa hamil?
Secara tidak langsung, ibu hamil akan berasa tertekan disebabkan oleh simptom yang melanda mereka semasa kehamilan seperti loya, letih, kerap kencing, bengkak pada sesetengah bahagian badan dan sakit belakang. Selain itu, ketidakstabilan emosi yang disebabkan oleh perubahan hormon turut mempengaruhi ibu hamil untuk berasa stress. Perasaan takut dan berdebar untuk menghadapi saat bersalin, menjalani alam keibubapaan dan risau akan kesihatan bayi turut menyebabkan bakal ibu tertekan.

Bagaimana untuk tangani tekanan?

  • Jaga diri. Makan makanan yang berkhasiat secara kerap, dapatkan rehat yang secukupnya, lakukan senaman yang betul tanpa berlebih-lebihan, elakkan pengambilan alkohol, rokok ataupun dadah.
  • Jangan terlampau stress. Ingatlah bahawa normal untuk anda rasa tertekan, terutama semasa sesetengah waktu tertentu. Akan tetapi, cuba lihat kembali apa perkara yang menyebabkan anda tertekan. Cara ini dapat membantu anda menangani masalah tekanan.
  • Elakkan respon yang negatif apabila anda tertekan. Sesetengah perkara yang kita lakukan bagi menangani stress akan hanya menambahkan lagi tekanan. Contohnya, dengan menjauhkan diri daripada orang sekeliling, tidur, makan tidak tentu masa atau makan makanan ringan, merokok atau mengambil alkohol hanya akan menambahkan lagi tekanan anda.
  • Buat jadual untuk diri sendiri. Kebanyakan wanita mempunyai masalah untuk mengelak atau mengatakan ‘tidak’ kepada permintaan orang lain. Semasa hamil inilah anda perlu mementingkan diri. Dengan meluangkan masa untuk diri sendiri dapat membantu anda untuk rasa relaks. Contohnya, anda boleh melakukan senaman, meditasi, terapi urutan, membaca buku ataupun mendengar muzik yang mendamaikan.
  • Minta pertolongan. Ingatlah! Di sekeliling anda terdapat ramai yang boleh membantu dan menyokong anda. Jangan segan untuk meminta tolong mereka jika ingin melakukan sesuatu. Malah, banyak kemudahan di luar yang disediakan khusus untuk wanita hamil. Jika anda mengalami simptom-simptom ini berterusan sehingga lebih daripada dua minggu; masalah tidur, kurang selera makan, sedih, menangis atau hilang minat untuk melakukan aktiviti harian, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan nasihat.

Sumber: www.webmd.com

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.