Adakah Gaya Hidup Moden Ini Sesuai Untuk Kehamilan?

Kebanyakan pasangan pasti ingin dikurniakan zuriat dan juga tidak sabar untuk digelar ibu dan bapa, tetapi adakah mereka betul-betul bersedia untuk konsepsi dan kehamilan? Soalan ini memang penting memandangkan zaman ini yang serba moden dan canggih dalam semua aspek kecuali kesihatan manusia pada umumnya.

Pasti tidak mudah untuk mengaku jika gaya hidup seseorang tidak sesuai atau memudaratkan kesihatan. Tabiat-tabiat seperti merokok, makan dan minum sebarangan atau makan berlebihan, tidak bergerak dengan cukup dan juga melayan tekanan hidup semuanya mempunyai kesan buruk ke atas sistem reproduksi manusia. Untuk mereka yang sedang cuba untuk hamil, ingatlah bahawa tubuh badan hanya akan memberitahu anda tentang kehamilan selepas beberapa minggu berlakunya konsepsi! Oleh itu, jagalah tubuh badan dari awal-awal lagi, dan bertindaklah seperti memang sudah hamil.

Apa masalahnya jika merokok?
Masalahnya ialah, setiap batang rokok mempunyai beratus bahan toksik yang memudaratkan kesihatan dan nyawa manusia yang menghisapnya. Jika anda seorang perokok, ketahuilah bahawa tabiat ini mampu mengurangkan kualiti telur dan mungkin juga menyebabkan kemandulan. Perokok-perokok yang sedang cuba hamil namun asyik gagal, sila ambil perhatian! Jika pasangan lelaki pula yang merokok, pasangannya terdedah kepada asap rokok lalu menjadi perokok pasif yang tetap akan memudaratkan kesihatannya dan juga bayi dalam kandungannya jika dia sedang hamil.

Jangan terlalu bergantung kepada kopi dan teh
Kopi dan teh mengandungi kafein, sejenis perangsang yang mampu memudarakan kesihatan jika diambil secara berterusan. Ia juga amat menagihkan. Jika anda sedang cuba hamil ataupun sudah hamil, cubalah sedaya upaya untuk membendungkan ketagihan pada minuman berkafein. Jika betul-betul susah untuk diketepikan, hadkan pengambilan kepada secawan sehari.

Jaga berat badan
Masalahnya berat badan terlalu berat atau terlalu ringan bukannya sekadar menyukarkan konsepsi, tetapi lebih memudaratkan lagi ialah, jika konsepsi berlaku, kemungkinan besar kehamilan itu akan terjejas dengan bermacam-macam komplikasi. Tahukah anda, dalam kedua-dua kes, kekurangan zat vitamin dan galian menjadi faktor utama yang bakal memudaratkan kesihatan ibu dan bayi dalam kandungannya? Sasarlah untuk mencapai Indeks Massa Tubuh (BMI) yang sesuai supaya berada dalam lingkungan berat badan yang ideal.. Ukuran ini boleh didapati daripada mana-mana klinik.


Jangan abaikan pengambilan asid folik
Asid folik amat penting untuk wanita yang sedang cuba hamil dan juga yang sedang hamil. Asid folik ialah sejenis Vitamin B yang diperlukan untuk mencegah kecacatan tiub saraf dalam fetus yang sedang mengembang dalam rahim. Mulakan pengambilan supplemen asid folik sekurang-kurangnya enam minggu sebelum cuba hamil.


Bergeraklah lebih
Di zaman moden ini, kebanyakan kerja berasaskan komputer dan juga duduk membincang dalam bilik mesyuarat. Peluang untuk menggerakan tubuh badan semakin kurang selain anda rajin bertindak untuk bersenam atau bersukan. Tubuh badan manusia perlu bergerak supaya sihat, oleh itu, jika anda inginkan kehamilan yang sihat, bersenamlah. Nota penting: Dapatkan nasihat doktor jika anda belum pernah bersenam sebelum ini dan ingin bermula semasa hamil.

Makan apa tu?
Trend makan pada zaman ini memang mengundang masalah kepada kesihatan di mana terlalu banyak iklan yang memaparkan cadangan-cadangan yang cepat dan sedap. Kesemua ini menarik untuk mereka yang inginkan kemudahan makanan fast food, tetapi ia amat memudaratkan kesihatan, lebih-lebih lagi untuk ibu yang sedang hamil. Oleh itu, berikanlah perhatian yang sewajarnya kepada diet masing-masing dan lebihkan makanan-makanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang berwarna warni; bijirin penuh; susu dan makanan tenusu; daging serta ikan yang segar, dan sebagainya. Kurangkan pengambilan gula, garam, minyak dan juga makanan-makanan diproses seperti biskut, roti putih, makanan dalam tin dan sebagainya.

About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.