Mengajar si kecil mengenai kesopanan dan adab terutama di zaman moden ini bukanlah suatu perkara yang mudah. Majoriti ibu bapa berpendapat tugas ini semakin mencabar memandangkan pendedahan kanak-kanak dengan dunia luar dan ragam manusia yang semakin pelbagai. Sudah menjadi kewajipan ibu bapa untuk mendidik anak mereka bermula dari awal.
Seperti kata pepatah yang popular iaitu ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Semakin awal anda mendidik si kecil mengenai nilai kesopanan dan adab susila, semakin mudah untuk mereka menerima dan menerapkan didikan tersebut dalam diri mereka.
Apakah yang dimaksudkan dengan adab dan kesopanan?
Adab dan kesopanan meliputi pelbagai aspek kehidupan manusia. Adab dalam kamus Dewan Bahasa & Pustaka merujuk kepada budi pekerti yang halus, tertib, tingkah laku yang baik serta budi bahasa yang dipamerkan ketika berhubungan sesama manusia. Lawan kepada adab ialah tidak berbudi bahasa, tidak tahu menghormati, tidak tahu adat, kurang sopan dan seumpamanya.
Sopan pula membawa maksud berperangai elok dengan menunjukkan percakapan dan tingkah laku yang baik yang ditonjolkan melalui beberapa cara. Antaranya, menerusi gaya bercakap, gaya duduk, berjalan, berdiri, mimik muka dan sebagainya yang melibatkan sikap seseorang.
Adab dan kesopanan adalah berbeza bagi setiap bangsa dan agama di dunia ini. Walau bagaimanpun, terdapat perbezaan dari segi pengamalannya.
Adab akan mendidik si kecil menjadi ‘manusia’ apabila dewasa
Sekecil-kecil adab seperti membiasakan diri mengucapkan “Terima Kasih” apabila dibantu, merendah diri mengucapkan perkataan “Maafkan saya” apabila melakukan kesilapan atau mendahulukan perkataan “Tolong” apabila memerlukan bantuan adalah gambaran seseorang yang dididik dengan nilai adab dan sopan.
Tiga perkara asas ini jika mampu dibentuk lebih awal dalam diri anak-anak, maka, harapan untuk anda melihat mereka membesar menjadi “manusia” sudah tentu semakin cerah.
Adakah ketiga-tiga perkataan ini menjadi kebiasaan dalam ucapan seharian si kecil anda? Jika Tidak, maka penekanan yang sewajarnya harus diberikan dengan segera.
Mengapa penting mengajarkan kanak-kanak tentang adab?
Adab dan kesopanan yang dilihat pada diri seseorang kanak-kanak sebenarnya mencerminkan sikap ibu dan bapa itu sendiri. Seringkali apabila kita melihat seorang kanak-kanak yang beradab, perkara pertama yang akan terlintas di fikiran kita ialah “ Baiknya akhlak budak ini. Anak siapakah dia ini?”.
Hal ini menunjukkan betapa sikap kanak-kanak sama ada beradab atau sebaliknya akan meninggalkan kesan di hati orang lain yang melihatnya. Apabila mereka dipandang mulia kerana tingkah laku yang menyenangkan hati, maka yang mendapat nama baik tidak lain dan tidak bukan ialah ibu bapa kanak-kanak itu juga. Masyarakat akan memandang tinggi dan kagum apabila ibu bapa berjaya menerapkan nilai adab yang tinggi dalam diri anak-anak sehingga setiap masyarakat merasa senang dengan diri mereka.
Jika sebaliknya anak-anak bersikap kurang ajar, tidak beradab dan kurang menjaga lisan terhadap orang lain, maka ia juga akan meninggalkan nama buruk terhadap kedua ibu bapa. Masyarakat bukan sahaja memandang hina kepada kanak-kanak tersebut. Bahkan, ibu bapa akan dilabel dengan tuduhan yang buruk seperti “Tidak pandai mendidik anak”, “Anak kurang ajar”, “Budak jahat” dan sebagainya.
Penerapan nilai-nilai adab dalam diri anak-anak juga akan mempengaruhi perilaku sosial mereka setelah dewasa. Melengkapkan diri dengan adab ibarat tiket persediaan mereka apabila terjun ke dunia baru seperti alam pengajian di peringkat universiti, alam pekerjaan dan alam rumahtangga. Secara umumnya, kanak-kanak ini mungkin akan lebih berjaya mengharungi apa jua cabaran dalam dunia baru jika mereka mempunyai adab yang baik.
Di alam universiti, mereka akan disenangi oleh para pensyarah dan rakan-rakan. Ibu bapa yang berada di kampung pula tidak perlu bersusah hati kerana yakin dengan kemampuan anak mereka untuk menjaga diri dan nama baik keluarga dari terjebak dengan perilaku sosial yang buruk.
Di alam pekerjaan pula, mereka mungkin akan lebih mudah diterima bekerja dan dinaikkan pangkat. Ini kerana, dunia pekerjaan bukan sahaja dinilai dari segi keupayaan seseorang melaksanakan tugas. Malah, adab mereka terhadap pihak atasan, rakan sekerja dan pelanggan mampu memberikan imej yang baik dan menyenangkan hati.
Bagaimana ibu bapa boleh mendidik adab dalam diri anak-anak?
Anda sendiri perlu menjadi role model dengan mengamalkan ketinggian akhlak dan adab di depan anak-anak. Anak-anak yang masih kecil kebiasaannya akan berusaha meniru perilaku dan ucapan orang yang paling hampir dalam hidup mereka. Tidak lain dan tidak bukan ialah ibu bapa mereka sendiri.
Sebagai orang yang lebih dewasa, anda perlu lebih peka dan berhati-hati dalam setiap tingkah laku, gaya percakapan, gaya tindakan dan sebagainya apabila anak-anak yang masih kecil berada di hadapan mata.
Mendidik si kecil dengan nilai adab juga menuntut kesabaran yang tinggi. Adalah mustahil untuk anda mengajarkan dan menerapkan kesemua perlakuan adab dan sopan dalam satu malam. Proses ini ibarat pembelajaran sepanjang hayat di mana ia diajar berdasarkan situasi dan masa. Pengamalan adab yang diajar secara berulang-ulang akhirnya akan melekat dalam diri anak-anak sehinggakan mereka mungkin menjadi kekok apabila tidak mengamalkannya.
Asas-asas pembelajaran tentang adab
Peringkat asas pembelajaran tentang adab perlu menekankan dua perkara utama iaitu latihan ucapan dan menjaga tingkah laku. Kedua-dua perkara ini menjadi tunjang utama yang menentukan kejayaan seseorang tentang nilai adab. Berikut ialah antara asas-asas pembelajaran adab yang sering ditekankan oleh kebanyakan masyarakat di dunia tanpa mengira bangsa dan agama.
A) Adab dalam pengucapan
- Mengajarkan ucapan “Terima Kasih” apabila menerima pemberian dan pertolongan dari orang yang dikenali mahupun orang yang tidak dikenali. Ucapan ini akan membuatkan orang lain rasa dihargai atas sesuatu pertolongan yang dihulurkan.
- Mendahulukan perkataan “Tolong” setiap kali memerlukan bantuan dan memberikan arahan kepada sesiapa sahaja sama ada kepada ibu bapa, adik beradik, saudara mara, rakan sebaya dan orang-orang yang dihormati seperti guru di sekolah. Perkataan ini juga menggambarkan sikap merendah diri seseorang dalam situasi yang tepat.
- Membiasakan diri dengan ucapan “Minta maaf” apabila menyedari telah melakukan kesilapan, tanpa mengira kesalahan kecil atau besar. Perkataan ini mendidik kanak-kanak untuk menurunkan keegoan yang tinggi ketika dalam keadaan marah dan selepas melakukan kesalahan tertentu.
- Menahan diri daripada penggunaan kata-kata kesat seperti bodoh, gila sial, celaka dan sebagainya apabila dalam keadaan marah.
- Tidak memanggil nama orang lain dengan gelaran yang tidak baik dan menyakitkan hati.
- Menghulurkan pertolongan apabila melihat seseorang dalam keadaan kesukaran atau kesusahan.
B) Adab dalam menjaga tingkah laku
- Tidak menggunakan peralatan atau harta orang lain selain daripada selepas meminta izin daripada tuannya.
- Tidak mencelah perbualan orang dewasa melainkan jika berlaku keperluan yang mendesak. Jika mencelah, pastikan ia didahului dengan ucapan “Maafkan saya” supaya orang dewasa tersebut tidak merasa seolah-olah perbualan mereka dipotong.
- Tidak memandang rendah dan memberi komen yang buruk kepada seseorang sama ada ketika melihat kekurangan mereka dari segi harta, kecantikan, warna kulit, kepandaian dan sebagainya.
- Tidak masuk ke dalam rumah dan bilik individu termasuk bilik ibu dan bapa kecuali setelah meminta izin dan diberikan keizinan oleh tuan rumah atau tuan bilik. Fahamkan mereka tentang ruang peribadi termasuk bilik tidur ibu bapa, bilik tidur adik beradik dan adab ketika mengetuk pintu dan masuk ke dalam rumah seseorang sebagai tetamu.
- Tidak membuat bising, menyelerakkan dan merosakkan barangan semasa berada di rumah sesiapa sahaja termasuk rumah saudara mara dan rumah jiran.
- Tidak bergurau secara keterlaluan sehingga menimbulkan pergaduhan dan menyebabkan orang lain terasa hati dengan gurauan tersebut.
- Tutup mulut dan hidung ketika bersin atau batuk di hadapan orang ramai. Ingatkan anak-anak supaya tidak mengorek hidung ketika dikelilingi orang ramai.
- Menjaga mimik muka walaupun ketika tidak menyukai sesuatu. Contohnya, apabila tidak menyukai sesuatu makanan dan pemberian hadiah dari seseorang.
- Sentiasa menjaga kebersihan diri dan persekitaran.