Adik, Jom Main Di Luar!

Pada zaman dahulu, kanak-kanak banyak menghabiskan masa dengan bermain dengan rakan-rakan di luar rumah, sesuatu yang jarang dibenarkan kepada kanak-kanak hari ini disebabkan faktor keselamatan, kebersihan dan macam-macam lagi. Walau bagai mana pun, tidak dapat dinafikan bahawa bermain di luar menawarkan pelbagai manfaat istimewa bagi kanak-kanak, di mana kebanyakan ibu bapa pun setuju.

Hampir semua permainan dahulu melibatkan aktiviti di luar. Berbeza dengan budak zaman kini yang banyak meluangkan masa dengan aktiviti indoor seperti menonton televisyen dan bermain gajet. Perbezaan alam kanak-kanak zaman dahulu dan sekarang amat nyata sekali.

Kenangan zaman kanak-kanak tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Oleh itu, jangkamasa pendek ini tak patut di sia-siakan dengan aktiviti-aktiviti yang terhad atau di dalam rumah sahaja. Kanak-kanak dilahirkan dengan naluri semula jadi untuk bermain dan bersuka ria, oleh itu ibu bapa harus memberikan mereka peluang-peluang untuk bermain yang sihat dan bermanfaat.

Mengikut statistik, kanak-kanak zaman sekarang hanya meluangkan masa 30 minit sahaja di mana-mana taman permainan di luar rumah. Malah, lebih tujuh jam daripada waktu mereka setiap hari diluangkan untuk bermain gajet elektronik dan menonton televisyen. Keadaan di mana ibu bapa jarang meluangkan masa untuk membawa anak ke luar rumah juga merupakan salah satu punca berlakunya seperti ini. Namun, sudah tentunya faktor keselamatan juga antara punca ibu bapa tidak mahu anak bebas keluar bermain di luar rumah.

Justeru itu, tidak hairanlah jika semakin ramai kanak-kanak di Malaysia yang mengalami masalah kesihatan seperti obesiti kerana kurang bersenam, atau berlari, memanjat, melompat dan sebagainya, yang sepatutnya dilakukan oleh kanak-kanak. Lebih-lebih lagi, kanak-kanak yang hanya melakukan aktiviti indoor sahaja berpotensi mengalami gejala ADHD, di mana golongan ini akan mudah rasa tertekan kerana tidak berhubung dengan dunia luar.

Cuaca pula terlalu panas
Satu lagi punca ibu bapa ‘mengurung’ anak mereka di dalam rumah adalah untuk mengelakkan anak terkena selaran matahari. Masyarakat sentiasa diberitahu bahawa sinaran cahaya matahari tidak baik untuk kulit manusia, apatah lagi jika terkena kulit kanak-kanak. Walaupun kenyataan itu benar, namun kulit manusia juga memerlukan Vitamin D yang dibuat dengan bantuan sedikit cahaya matahari setiap hari. Vitamin D buatan semulajadi ini dapat membantu melindungi kanak-kanak daripada mengalami masalah tulang di masa hadapan, mengelakkan masalah rabun dekat, sakit jantung, diabetes dan beberapa lagi masalah kesihatan. Dilema juga, bukan?


Apa istimewanya bermain di luar?
Luar rumah merupakan tempat terbaik untuk kanak-kanak khususnya kanak-kanak prasekolah berlatih memantapkan kemahiran fizikal mereka. Melalui bermain di luar, kanak-kanak berpeluang melalui pengalaman menggunakan kemahiran motor dengan berlari atau melompat. Selain itu, bermain di luar juga memberi peluang kepada kanak-kanak untuk berlatih kemahiran seperti melontar, menangkap dan membaling bola dan lain lain jenis permainan yang tidak dapat dimain di dalam rumah..


Nak seribu daya…
Apa kata, sebelum membawa si kecil bermain di luar, ikuti beberapa tips berikutnya:

  1. Bawa anak anda bermain di luar pada waktu pagi, iaitu sebelum jam 9 pagi ataupun di waktu petang selepas jam 5.30 petang, dan bukannya semasa panas terik.
  2. Sebelum keluar rumah, gunakan losen pelindung matahari dengan SPF yang tinggi untuk anak anda untuk melindungi kulitnya. Gunakan losen tersebut untuk semua kawasan kulit yang terdedah.
  3. Pakai pakaian yang sesuai semasa membawa anak keluar melakukan aktiviti (bergantung kepada jenis aktiviti).
  4. Pakai pelindung matahari dengan kerap setiap dua jam sekali.
  5. Pakaikannya 15 hingga 30 minit sebelum keluar rumah atau berada di tempat yang terkena matahari.
  6. Pakaikan juga lip balm yang mengandungi SPF untuk melindungi bibir anak anda.
About Us | Contact Us
@2020 BabyTalkMalaysia.com. All Rights Reserved.