Tekanan bukanlah sesuatu yang baru dan kebanyakan wanita moden tentu mengalaminya dalam kehidupan seharian. Adakalanya tekanan itu ringan sahaja dan disebabkan oleh perkara remeh, dan ada kalanya seorang wanita terasa tekanan yang amat sangat akibat terkilan, hampa, risau dan lain-lain emosi negatif.
Tahukah anda bahawa kehamilan mampu menyebabkan seorang bakal ibu menghadapi pelbagai perasaan tertekan?
Berserta dengan simptom-simptom kehamilan yang lazim, komplikasi dan pelbagai pengaruh lain lagi didapati dapat menyebabkan seorang bakal ibu menghadapi tekanan. Akan tetapi, tekanan ini boleh diatasi biarpun semasa hamil.
Antara dugaan-dugaan yang akan dihadapi semasa hamil termasuklah:
- Payudara anda berasa sakit
- Anda terpaksa berkejar ke bilik air setiap lima minit kerana tidak tahan terkencing
- Anda sukar menemui posisi tidur yang betul disebabkan perut yang semakin membesar
- Sakit-sakit di bahagian-bahagian badan tertentu seperti di tumit kaki, pinggang, belakang, dan lain-lain.
Kesemua ini merupakan dugaan yang akan dihadapi semasa hamil. Ditambah pula emosi semasa hamil yang sensitif menyebabkan anda cepat berasa tertekan. Masalahnya, tekanan semasa hamil akan memberi kesan kepada anda dan juga kandungan. Oleh itu, penyelesaian adalah amat penting.
Mengapa berlakunya tekanan semasa hamil?
Secara tidak langsung, ibu hamil akan berasa tertekan disebabkan oleh simptom yang melanda mereka semasa kehamilan seperti loya, letih, kerap kencing, bengkak pada sesetengah bahagian badan dan sakit belakang. Selain itu, ketidakstabilan emosi yang disebabkan oleh perubahan hormon turut mempengaruhi ibu hamil untuk berasa stress. Perasaan takut dan berdebar untuk menghadapi saat bersalin, untuk menghadapi alam keibubapaan dan juga risau akan kesihatan bayi turut menyebabkan bakal ibu tertekan.
Bagaimana untuk tangani tekanan?
Jagalah diri dengan rapi.
Makan makanan yang berkhasiat secara kerap, dapatkan rehat yang secukupnya, lakukan senaman yang betul tanpa berlebih-lebihan, elakkan pengambilan alkohol, rokok ataupun dadah.
Cubalah mengawal perasaan negatif
Ingatlah bahawa normal untuk anda rasa tertekan, terutama semasa sesetengah waktu tertentu. Akan tetapi, cuba lihat kembali apa perkara yang menyebabkan anda tertekan. Cara ini dapat membantu anda menangani masalah tekanan, dan mungkin juga mengelak situasi-situasi tertentu di masa akan datang.
Elakkan respon yang negatif apabila tertekan.
Sesetengah perkara yang kita lakukan bagi menangani stress akan hanya menambahkan lagi tekanan. Contohnya, dengan menjauhkan diri daripada orang sekeliling, tidur berlebihan atau tidak cukup tidur kerana terlalu banyak memikir, makan tidak tentu masa atau terlalu banyak makan makanan ringan, merokok atau mengambil alkohol hanya akan menambahkan lagi tekanan anda. Cubalah mengambil langkah yang lebih positif untuk menangani perasaan stress seperti:
- Menarik nafas panjang dan menghembus perlahan-lahan semasa stress
- Mengira sambil sepuluh supaya perasaan marah itu surut
- Berjalan kaki untuk lima minit
- Mengalihkan perhatian kepada perkara yang lebih ceria
- Apa sahaja respon lain yang lebih positif
Buat jadual untuk diri sendiri
Kebanyakan wanita mempunyai masalah untuk mengelak atau mengatakan ‘tidak’ kepada permintaan orang lain. Semasa hamil inilah anda perlu mementingkan diri. Dengan meluangkan masa untuk diri sendiri dapat membantu anda untuk rasa relaks. Contohnya, anda boleh melakukan senaman, bermeditasi, terapi urutan, membaca buku ataupun mendengar muzik yang menghiburkan diri.
Jangan segan, mintalah pertolongan
Ingatlah bahawa sekeliling anda terdapat ramai yang boleh membantu dan menyokong anda. Jangan segan untuk meminta tolong mereka jika inginkan sesuatu. Malah, banyak kemudahan di luar yang disediakan khusus untuk wanita hamil.
Akhirnya, jika anda simptom-simptom tekanan berterusan sehingga lebih daripada dua minggu dan anda terus mengalami masalah tidur, kurang selera makan, rasa sedih tanpa sebab, menangis tak tentu arah atau hilang minat untuk melakukan aktiviti harian, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan nasihat, sokongan dan juga bantuan medikal jika perlu.