Pernahkah anda melihat anak anda mengalami gejala seperti gatal-gatal, bersin, sakit perut, kesukaran bernafas atau lain-lain masalah secara tiba-tiba? Jika gejala kesihatan ini timbul setelah makan, minum atau menyentuh sesuatu yang biasanya tidak membahayakan individu lain, bermakna anak anda mungkin mengalami alahan atau alergi.
Bayi boleh mengalami reaksi alahan disebabkan pelbagai punca. Alahan berlaku apabila sistem kekebalan tubuh badan bereaksi terhadap bahan yang tidak berbahaya seperti makanan dan minuman, habuk, krim, produk dan sebagainya. Antara gejala alahan yang sering dialami dalam kalangan bayi dan kanak-kanak ialah bersin, gatal-gatal, sakit perut, kesukaran bernafas yang menimbulkan asma dan sebagainya. Terdapat banyak kes alahan kronik dalam kalangan kanak-kanak sehingga membawa kepada maut!
Kebiasaannya, ibu bapa akan hanya merujuk masalah ke klinik atau hospital selepas mendapati munculnya tanda-tanda alahan pada anak mereka. Tetapi, kebanyakan ibu bapa tidak sedar bahawa masalah ini berlaku mungkin disebabkan alahan terhadap sesuatu seperti makanan dan produk yang diberikan kepada si kecil. Hanya doktor yang mampu mengenal pasti jika simptom yang dialami berkait dengan masalah alahan atau jangkitan.
Kenal Pasti Simptom & Alahan Kanak-Kanak
Reaksi alahan akan menunjukkan tanda-tandanya di bahagian tubuh secara spesifik. Contohnya, ruam di bahagian pipi, bengkak di bahagian mata, selesema pada hidung dan sebagainya.
Kulit
Kebiasaannya, tindak balas alahan pada kulit menyebabkan rasa kegatalan sehingga menimbulkan tanda kemerah-merahan, ruam, bintik-bintik dan bengkak di bahagian tertentu.
Sistem penghadaman
Gangguan sistem penghadaman yang berpunca dari alahan menimbulkan simptom yang berbeza. Ada kanak-kanak yang mengalami muntah-muntah, cirit-birit, kembung perut, angin dalam badan, kekejangan badan dan lain-lain.
Sistem pernafasan
Biasanya, ia menimbulkan tanda seperti selesema, batuk, bersin, asma yang menyebabkan kanak-kanak mengalami kesukaran bernafas dengan lancar. Selain itu, kanak-kanak mungkin menunjukkan simptom mata berair dan merah.
Info
Di Amerika Syarikat, alahan terhadap makanan seperti kerang, kacang, ikan, susu, telur, dan makanan lain meragut nyawa antara 150 hingga 200 kematian setiap tahun.
Jenis-Jenis Alahan
1. Alahan makanan
Kanak-kanak berusia antara 0 sehingga 3 tahun cenderung mengalami masalah alergi terhadap makanan. Kanak-kanak lelaki dikatakan lebih kerap mengalami alahan terhadap makanan berbanding kanak-kanak perempuan.
Pelbagai jenis makanan yang boleh menimbulkan alahan kepada kanak-kanak. Antaranya susu, protein, kekacang, telur, makanan laut, soya dan daging seperti daging ayam. Alahan terhadap makanan akan menimbulkan reaksi penghasilan sejenis bahan kimia dipanggil histamina. Reaksi ini akhirnya menimbulkan gejala alahan yang berbeza seperti gangguan sistem pernafasan, kegatalan pada kulit, dan gangguan pada sistem kardiovaskular.
Ibu bapa sering keliru untuk membezakan antara masalah alergi makanan dan penolakan terhadap makanan yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Ini disebabkan kedua-dua masalah ini menunjukkan simptom yang sama. Walaupun kedua-duanya menunjukkan reaksi yang sama, namun terdapat perbezaan di antara kedua-duanya.
Tiada penawar untuk alahan makanan. Sesetengah pakar berpendapat, salah satu cara terbaik mengelakkan alahan makanan dalam kalangan kanak-kanak ialah dengan memperkenalkan suatu jenis makanan seawal usia iaitu setelah mereka mencapai usia 4 sehingga 6 bulan. Alahan terhadap telur sebagai contoh, antara yang paling kerap dialami oleh kanak-kanak. Cuba perkenalkan hidangan telur seperti telur rebus atau memberikan bayi menikmati bahagian kuning telur rebus supaya mereka dapat membiasakan diri dengan telur.
Dapatkan nasihat daripada doktor sebelum memperkenalkan sesuatu makanan kepada bayi yang masih kecil. Makanan seperti kekacang perlu mendapat seliaan doktor sebelum diberikan kepada bayi. Jika anak anda didiagnosis mengalami alahan makanan oleh doktor sebaiknya, jauhkan makanan tersebut dari mereka.
Peringatan!
Sentiasa semak label kandungan bahan dalam produk makanan supaya terhindar daripada unsur alergen penyebab alahan kepada anak anda.
2. Alahan bermusim
Alahan bermusim juga dikenali sebagai alergi rhinitis. Ia juga dipanggil sebagai ‘demam hay’ atau ‘hay fever’. Alahan bermusim adalah gejala alergi yang berlaku pada masa-masa tertentu yang berpunca daripada unsur alam contohnya, pelepasan spora atau debunga oleh pokok-pokok dan bunga-bungaan. Lazimnya, kanak-kanak akan mengalami masalah terbersin dan mendengus.
3. Alergi dalaman
Persekitaran dalam rumah juga boleh menimbulkan alahan kepada bayi dan kanak-kanak. Salah satu alahan yang sering dirujuk kepada doktor ialah alahan terhadap mainan kegemaran. Persekitaran rumah yang dipenuhi habuk, debu, spora, asap rokok dan pewangi boleh menjadi pencetus alahan dalaman terhadap si manja.
Simptom alahan dalaman hampir menyamai simptom bermusim di mana, bayi dan kanak-kanak kerap mengalami gangguan pada sistem pernafasan seperti hidung berhingus dan tersumbat serta bersin secara berterusan.
Alergik dalaman boleh dikurangkan dengan cara mengurangkan risiko pencetus terutama di bahagian dalaman rumah. Antara langkah yang boleh diambil ialah:
- Tidak membiarkan haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing di dalam rumah.
- Sentiasa memastikan habuk dan debu dibersihkan setiap hari dengan cara menyapu dan menvakum lantai dan karpet.
- Membersihkan cadar dan tilam secara berkala iaitu setiap dua atau tiga minggu sekali. Gunakan lapisan tilam pelindung alergen untuk tilam dan bantal.
- Membersih dan mensteril barang permainan kanak-kanak dengan sabun, diikuti dengan rebusan dalam air panas.
- Jangan gunakan alat pelembap atau alat vape kerana ia boleh meningkatkan lembapan pada udara sekali gus menggalakkan pertumbuhan kulapuk, hama dan spora.
- Anda juga boleh menyediakan alat air purifier untuk menghasilkan ruang udara yang lebih sihat di persekitaran rumah.
4. Alahan haiwan peliharaan
Bulu haiwan peliharaan seperti kucing, anjing dan bulu burung sering menyebabkan alahan sehingga mengganggu sistem pernafasan. Bayi dan kanak-kanak yang alergi terhadap haiwan peliharaan akan mengalami batuk, selesema, bahkan gatal-gatal pada kulit. Alergi haiwan juga merupakan salah satu punca alergi dalaman. Bulu-bulu haiwan yang melekat pada kerusi sofa dan tilam agak sukar untuk dibersihkan kecuali, dengan penggunaan vakum.
Diagnosis Alahan Pada Bayi & Kanak-Kanak
Setelah mengenal pasti anak anda menunjukkan simptom tertentu, catatkan apa yang berlaku untuk memudahkan rujukan semula oleh pihak doktor. Doktor akan menentukan secara diagnosis sama ada si manja anda benar-benar mengalami simptom alahan atau penolakan terhadap makanan.
Kebiasaannya, doktor akan mendapatkan info berkaitan daripada ibu bapa. Antaranya bertanya mengenai sejarah alahan dari kalangan ahli keluarga, kaedah penyediaan makanan, keadaan persekitaran rumah dan sebagainya. Semua maklumat ini dapat membantu doktor menganalisis diagnosa dengan lebih tepat.
Rawatan Alahan
Setelah doktor mengenal pasti simptom dan punca alahan, anak anda akan diberikan rawatan mengikut jenis alergi yang dihadapi. Secara umumnya, doktor akan memberikan rawatan awal alahan melalui penggunaan ubat-ubatan. Antaranya membekalkan anda dengan pil antihistamine, bagi mengatasi masalah ruam pada kulit dan masalah hidung berhingus pada si manja anda.
Jika kanak-kanak tersebut menunjukkan tanda alahan pada sistem pernafasan seperti semput, doktor akan menggunakan alat penyedut steroid untuk mengembalikan pernafasan secara normal.
Bagi alahan yang mengancam nyawa, rawatan EpiPen akan diberikan sebagai rawatan kecemasan.
Sumber : PubMed melalui laman web www.ncbi.nlm.nih.gov dan www.webmd.com